Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pesta Alek Gadang 2018 & pelancaran buku Rosnani Jamil

Persatuan Minangkabau Singapura (PMS) akan mengadakan sebuah acara gah Alek Gadang 2018 - Minangkabau Singapura pada 15 Disember nanti, bertempat di Wisma Geylang Serai (WGS). Dalam bahasa Minang, Alek Gadang berasal dari perkataan beralek gadang atau dalam bahasa Melayunya, Pesta Besar.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Alek Gadang 2018 & pelancaran buku Rosnani Jamil

(Gambar: Facebook/Singapore Minangkabau Association)

Diterbitkan : 06 Dec 2018 12:07AM Dikemas Kini : 06 Dec 2018 02:04AM

BERITAmediacorp: Persatuan Minangkabau Singapura (PMS) akan mengadakan sebuah acara gah Alek Gadang 2018 - Minangkabau Singapura pada 15 Disember nanti, bertempat di Wisma Geylang Serai (WGS). Dalam bahasa Minang, Alek Gadang berasal dari perkataan beralek gadang atau dalam bahasa Melayunya, Pesta Besar.

Acara sehari itu dipadatkan dengan pelbagai acara menarik seperti memperkenalkan juadah terkenal dari negara itu seperti rendang, kalio, gulai tunjang, satay Padang dan bermacam lagi. Acara menarik ini terbagi kepada dua bahagian:

Yang pertama ialah Kampung Minang bermula dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Ia dibuka secara percuma kepada orang awam.

Bahagian kedua pula jamuan makan malam secara eksklusif, dimeriahkan lagi dengan acara persembahan hiburan oleh penyanyi Nash dari Malaysia, dan beberapa penyanyi Minang, tarian susun piring, serta permainan KIM dan pelancaran buku. Acara ini bermula pada jam 5.00 hingga ke malam.

PERKENAL BUDAYA, PERMAINAN TRADISI MINANG

Permainan KIM adalah sebuah permainan tradisi orang Minang. Bak permainan bingo, namun para peserta perlu mendengar lagu yang dimainkan dengan teliti, kerana dari lagu tersebut, tersembunyi nombor-nombor yang ingin disampaikan.

Menurut Presiden Persatuan Minangkabau Singapura, Encik Marah Hoessain Salim, acara Alek Gadang 2018 adalah untuk memperkenalkan adat budaya orang Minang yang penuh dengan keindahan kepada masyarakat setempat. Beliau juga berpendapat, amatlah penting untuk menjunjung adat serta mendukung budaya, khususnya bagi orang-orang Minang sendiri.

Presiden Persatuan Minangkabau Singapura Encik Marah Hoessain Salim (kanan), bersama Dato' Rosnani Jamil (Gambar: BERITAmediacorp)

Presiden Persatuan Minangkabau Singapura Marah Hoessain Salim (kanan) bersama Rosnani Jamil (Gambar: BERITAmediacorp)

“Sumbangan orang-orang Minang kepada negara Singapura bukanlah baru. Bahkan ramai ahli-ahli berprofil tinggi di sini, berketurunan Minang. Orang Minang memang terkenal dengan sikap dilplomasinya dan peradaban yang luhur dan tinggi serta sanggup bekerja keras.

“Jadi dengan acara-acara sedemikian, pihak kami berharap, khususnya pada generasi-generasi yang baru agar dapat terus memartabatkan adat Minang dan kesenian, sekaligus bergerak maju kehadapan bersama warga-warga yang lain, di Singapura ini,” ujar Encik Marah Hoessain.

Ramai pedagang asal Minangkabau ini berhijrah ke Singapura, seawal abad yang ke-20 lagi. Mereka memulakan hidup baru di sini dan kebanyakannya bermula dengan berniaga.

Antara insan-insan berpengaruh berdarah dan berketurunan dari Minangkabau adalah Presiden Pertama Singapura, Encik Yusof Ishak, Zubir Said, penulis lagu kebangsaan, Majulah Singapura, termasuk juga wira Melayu, Leftenan Adnan Saidi.

PELANCARAN BUKU ROSNANI JAMIL

Antara acara menarik lain adalah pelancaran buku dari seniwati veteran, Rosnani Jamil. Buku tersebut berjudul ‘Sumbangsih Kehidupan Dato’ Rosnani Jamil Dari Geringging ke Kota London’, cetakan Malaysia.

Buku ini ditulis oleh Rosnani sendiri dengan bantuan olahan dari Allahyarhamah Bakyah Mahmud dan Sarimah Husin.

Buku 'Sumbangsih Kehidupan Dato’ Rosnani Jamil Dari Geringging ke Kota London'

Kulit buku 'Sumbangsih Kehidupan Dato’ Rosnani Jamil Dari Geringging ke Kota London’

Menurut Rosnani, atau nama sebenarnya, Rosnani Ludin, buku ini bakal di lancarkan di Singapura dahulu berbanding di negara lain. Ini kerana Singapura mempunyai banyak kenanagan manis ketika beliau masih berkarya dan mencipta nama di Shaw Brothers, di Jalan Ampas suatu ketika dulu.

Artis veteran itu yang mesra menggelarkan dirinya sebagai ‘Mak’, menyifatkan Singapura sebagai negara yang banyak menaikkan namanya ke persada hiburan dan ke dunia perfileman Melayu, dan dikenali sehingga kini.

WAJAR DILANCARKAN DI SINGAPURA KERANA…

“Mak rasa Singapura adalah tempat di mana Mak membesar dan mencari rezeki dengan berseni dulu. Jadi, Mak rasa adalah wajar untuk Mak melancarkan buku ini di sini. Walaupun buku ini mempunyai banyak halangan untuk diterbitkan pada awalnya, namun Mak gembira kerana akhirnya dapat juga diterbitkan dan dilancarkan di Wisma Geylang Serai nanti,” ujar Rosnani yang juga merupakan anak kelahiran Padang, Indonesia.

(Gambar ihsan: Wisma Geylang Serai)

Rosnani Jamil (Gambar ihsan: Rosnani Jamil)

Beliau yang berusia 83 tahun ini berasa bangga dan berbesar hati, kerana dapat menghasilkan bukunya sendiri dan yang pertama berbuat demikian, berbanding artis-artis seangkatan yang lain. Isteri kepada Pengarah filem Jamil Sulong ini memberitahu, beliau menghabiskan kira-kira lima hingga enam tahun untuk menulis dan menghasilkan buku ini.

Setebal 144 halaman, ia bakal dijual pada harga S$55 di hari pelancaran nanti. Dianggarkan 300 hadirin akan menghadiri acara makan malam tersebut.

Orang ramai yang berminat untuk menghadiri acara makan eksklusif ini, boleh membeli tiket berharga $50 dengan mengirim emel kepada minangassociation.sg [at] gmail.com

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan