Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Perubahan iklim boleh jejas kesihatan mental

Susie Burke, seorang ahli psikologi, baru-baru ini menceritakan bagaimana seorang wanita mendapatkan khidmat kaunseling selepas melahirkan anak sulungnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan iklim boleh jejas kesihatan mental

Peningkatan pada suhu cuaca, walaupun setakat 1 hingga 2 darjah Selsius, boleh meninggalkan kesan buruk terhadap dunia. (Gambar: Mark Ralston/AFP)

Diterbitkan : 13 Nov 2018 06:50PM Dikemas Kini : 02 Dec 2018 10:18PM

AUSTRALIA: Susie Burke, seorang ahli psikologi, baru-baru ini menceritakan bagaimana seorang wanita mendapatkan khidmat kaunseling selepas melahirkan anak sulungnya.

Namun, ia bukan kerana beliau mengalami kemurungan selepas bersalin. Wanita itu sebaliknya mendapatkan khidmat kaunseling kerana beliau sedang "bergelut dengan apa yang dilakukannya."

Wanita itu merasakan anaknya dilahirkan dalam "dunia yang beliau tahu akan berdepan dengan lebih banyak masalah dan kurang selamat," kata Dr Burke kepada agensi Deutsche Welle, seperti yang dipetik oleh USAToday.

Dr Burke, yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi alam sekitar, merawat para pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Baru-baru ini, beliau membentuk hotline percuma yang diberi nama "Rangkaian Sokongan Psikologi Perubahan Iklim," yang membolehkan rakyat Australia untuk menghubungi pakar psikologi bagi mengongsi perasaan mereka mengenai perubahan iklim.

KEBIMBANGAN, KESEDIHAN DAN RASA BERSALAH

Rasa kehilangan, kesedihan dan perubahan adalah sesuatu yang mungkin dilalui setiap individu di dunia yang terjejas oleh perubahan iklim. Litupan ais semakin cair, bermacam-macam jenis haiwan semakin pupus dan cuaca pula tidak menentu.

Kita semakin menyedari kesan perubahan-perubahan tersebut terhadap kesihatan fisiologi kita - sama ada ia menyebabkan kematian ataupun kecederaan akibat keadaan cuaca buruk, ataupun menjejas dan mengurangkan mutu air, udara dan makanan.

Menurut laporan USAToday, bidang psikologi alam sekitar mendapati bahawa perubahan iklim juga boleh meninggalkan kesan ketara terhadap kesihatan mental kita.

Malah Dr Burke mendapati bahawa para pesakit mengalami "kebimbangan dan kemurungan serta rasa kurang berdaya dan putus asa, serta kemarahan dan rasa serba salah".

MASALAH YANG KURANG DIKETAHUI

Perubahan ketara terbukti menjejas individu di peringkat emosi, namun ia bukan sesuatu yang sering dibincangkan.

Kesihatan berjuta-juta orang di seluruh dunia terjejas akibat pemanasan bumi dengan para saintis menyifatkannya sebagai ancaman terbesar abad ke-21, namun hanya sedikit tumpuan yang diberikan kepada kesihatan mental.

Untuk menangani cabaran kesihatan mental yang tercetus akibat perubahan iklim dengan cara yang menyeluruh, Ashlee Cunsolo, seorang penyelidik dan pengarah institut yang mempelajari tentang budaya orang asli di Kanada, berhujah bahawa kesihatan mental harus melibatkan penggubalan dasar.

USAToday menukil Cik Cunsolo sebagai berkata bahawa ini memerlukan "perubahan masyarakat secara besar-besaran" mengenai bagaimana perubahan iklim ditakrif dan kesan-kesan jangka panjangnya.

Para ahli saintis iklim sebelum ini memberi amaran bahawa peningkatan pada suhu cuaca, walaupun setakat 1 hingga 2 darjah Selsius, boleh meninggalkan kesan buruk terhadap dunia sehingga menjadikan sesetengah kawasan tidak sesuai untuk didiami. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan