Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Permintaan tinggi bagi songkok gaya Tun selepas PRU14

Songkok 'gaya Tun' yang dijual di Kompleks Pekan Rabu bukanlah jenama yang asing lagi di Kedah kerana ia diketahui ramai merupakan songkok kegemaran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sejak dahulu lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan tinggi bagi songkok gaya Tun selepas PRU14

Encik Sardi Dahar menunjukkan songkok Style Tun M yang diusahakannya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Jun 2018 11:55AM Dikemas Kini : 02 Jun 2018 11:58AM

ALOR SETAR: Songkok 'gaya Tun' yang dijual di Kompleks Pekan Rabu bukanlah jenama yang asing lagi di Kedah kerana ia diketahui ramai merupakan songkok kegemaran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sejak dahulu lagi.

Dihasilkan Sardi Sahar, 60, reka bentuk songkok yang diilham pada 2002 itu menggunakan kain baldu tebal dari Korea serta mempunyai ciri menarik iaitu boleh dilipat dengan hanya menekap bahagian tepi songkok tanpa menjejaskan atau merosakkan bentuknya.

“Setiap kali Ramadan memang Dr Mahathir tak pernah lepas berkunjung ke Pekan Rabu untuk membeli songkok di sini. Sebelum ini songkok ini biasa saja tapi pada 2002 saya mengubah suai songkok ini supaya ia boleh dilipat dan lebih ringan. Saya menunjukkannya kepada Tun, dan beliau menyukainya.”

“Malah saya juga amat terharu pada 2008 kerana Dr Mahathir benarkan saya gunakan gambarnya pada kotak songkok ini tanpa meminta sebarang bayaran. Hanya dia pesan agar saya menjaga kualiti songkok,” katanya Encik Sardi.

Beliau berkata songkok berharga RM120 (S$40) itu mendapat permintaan tinggi setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri. Malah selepas Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri buat kali kedua, permintaan songkok itu meningkat sekitar 30 peratus.

Dalam pada itu, seorang pelanggan Datuk Bahador A Rahaman yang datang bersama anaknya, Muhammad Adam Danial, 10, berkata beliau adalah pelanggan tetap kedai itu dan amat meminati hasil kerja tangan Encik Sardi yang kemas.

“Hari ini saya belikan songkok untuk anak saya kerana saya suka buatannya kalau pakai tidak panas dan berpeluh malah yang paling penting tidak mengecut kalau letak dalam kereta,” katanya yang berasal dari Langkawi.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan