Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Perkahwinan bawah umur: Cinta murni atau diperdaya?

Cinta atau diperdaya? Inilah persoalan yang membelenggu isu perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak perempuan di negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya pasangan mereka adalah lelaki dewasa yang jauh lebih berumur.

Anggaran Waktu Membaca:
Perkahwinan bawah umur: Cinta murni atau diperdaya?

(Gambar hiasan: Reuters)

Diterbitkan : 09 Jul 2018 11:21PM Dikemas Kini : 10 Jul 2018 12:06AM

KUALA LUMPUR: Cinta atau diperdaya? Inilah persoalan yang membelenggu isu perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak perempuan di negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya pasangan mereka adalah lelaki dewasa yang jauh lebih berumur.

Ramai yang berpendapat kanak-kanak perempuan tidak wajar dijadikan isteri pada usia terlalu muda, di mana mereka sepatutnya masih di bangku sekolah serta dalam jagaan dan bimbingan ibu bapa.

Mereka juga belum tahu banyak perkara terutamanya yang berkaitan dengan tanggungjawab sebagai isteri.

Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan bahawa kanak-kanak di Malaysia adalah mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah.

Pakar Psikologi Klinikal di sebuah klinik swasta di Bangi, Cik Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar berkata kanak-kanak perempuan lazimnya tidak menyedari bahawa mereka menjadi mangsa dalam sesuatu ‘hubungan terlarang’.

Ini kerana, pasangannya ‘mempersiapkan’ kanak-kanak perempuan berkenaan dalam jangka masa tertentu sebelum membawa mereka ke tahap perhubungan seterusnya.

“Antara taktik berkenaan ialah dengan bersikap baik terhadap kanak-kanak, sering memujinya, memberi hadiah serta meyakinkan mereka bahawa perlakuan seksual adalah sesuatu yang biasa dalam sesuatu perhubungan,” katanya.

SECARA PSIKOLOGI BELUM BERSEDIA KAHWIN MUDA

Cik Azlina menjelaskan intelek kanak-kanak perempuan selalunya mula berkembang dari usia 13 tahun, dan ini menyebabkan pemikiran mereka lebih mudah ‘menerima’ kata-kata atau ‘idea’ yang diberi kepada mereka.

(Gambar: Mohd Rasfan/ AFP)

(Gambar-gambar: Mohd Rasfan/ AFP)

Perkembangan intelek itu melibatkan tiga kemahiran iaitu berunding, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

“Kemahiran ini biasanya dibangunkan semasa berusia 13 hingga 18 tahun,” kata Cik Azlina, yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam menangani kes sosial remaja seperti kehamilan luar nikah, lari dari rumah, penderaan seksual, murtad dan lain-lain.

Justeru itu, beliau berpendapat kanak-kanak perempuan sama sekali belum bersedia dari segi psikologi untuk berkahwin.

“Mungkin seseorang anak perempuan itu kita katakan matang sebab dia boleh membantu ibu bapanya, dia boleh buat kerja rumah, jaga adik dan sebagainya, tetapi sebenarnya dia tidak mampu untuk menghadapi dinamik hubungan suami isteri dan pengaruh keluarga.

“Mereka akan terdedah kepada penderaan mental tanpa mereka sedari dan akan menganggap diri mereka yang bersalah jika dimarahi atas sesuatu kesalahan,” jelas beliau sambil menekankan bahawa kanak-kanak yang dalam peringkat umur muda belum benar-benar memahami realiti kehidupan serta tidak tahu tentang hak-hak mereka.

Mereka belum cukup matang untuk menghadapi situasi di mana mereka dibuli oleh individu seperti suami yang tidak bertanggungjawab, madu, ibu mertua atau saudara ipar.

PERKEMBANGAN BIOLOGI KANAK-KANAK PEREMPUAN

Selain itu, Cik Azlina menekankan bahawa perkembangan psikologi kanak-kanak perempuan sangat dipengaruhi oleh perkembangan biologi mereka.

Kanak-kanak perempuan yang berumur antara 10 hingga 12 tahun akan mengalami haid di mana sistem reproduktif mereka baru sahaja berfungsi mengeluarkan ovum.

“Walaupun dianggap baligh dan boleh mengandung jika melakukan hubungan seks, namun ovari mereka masih belum cukup kuat.

(Gambar: Mohd Rasfan/ AFP)

“Rahim mereka cenderung mengalami kecederaan semasa hubungan seks serta risiko lain seperti keguguran. Hal ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal malah boleh meninggalkan kesan psikologi.

“Dan jika melahirkan anak, adakah mereka sudah bersedia untuk menanggung tanggungjawab sebagai seorang ibu?” soal Cik Azlina.

BUKAN ISU BARU

Isu perkahwinan bawah umur, khususnya yang melibatkan pasangan Islam, bukanlah perkara baru dan sering menarik perhatian masyarakat.

Antara kes yang pernah mendapat perhatian ramai dan menimbulkan kontroversi adalah perkahwinan antara Nor Fazira Saad, 12 tahun, dan Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, di Kedah pada 2014.

Turut mendapat tumpuan ramai adalah perkahwinan pelajar tingkatan lima Nur Izzati Amiera Ishak, 17, dengan teman lelakinya Muhd. Muaz Mislan, 15, di Johor pada 2014.

Jika kebiasaannya perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan remaja, kes yang berlaku di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat kerana melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan budak perempuan berumur 11 tahun.

Rata-rata tidak bersetuju dengan perkahwinan itu, yang didakwa dilangsungkan dengan kebenaran dan restu ibu bapa budak perempuan berkenaan di Kampung Padang Nyor berdekatan Sungai Golok, Thailand, pada pertengahan Jun lalu, sehingga ada yang mengaitkan perbuatan itu dengan fidofilia.

Namun, ada juga yang menerima perkahwinan bawah umur berdasarkan agama.

RELA ATAU MANGSA?

Mufti Perlis Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, yang mengulas isu itu menerusi laman Facebook beliau, menjelaskannya berdasarkan pendapat Mazhab Al-Syafi’i selain menghuraikan dalil-dalil dalam Islam yang mensyaratkan kerelaan wanita dalam suatu perkahwinan.

Namun, katanya, kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya.

(Gambar: Manan Vatsyayana/ AFP)

(Gambar: Manan Vatsyayana/ AFP)

“Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela.

“Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama. Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan perlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya,” jelasnya.

Dr Mohd Asri berkata wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan dan mahu memperoleh keuntungan tertentu daripada perkahwinan juga tidak layak menjadi wali.

“Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa,” katanya.

HUKUMAN RINGAN

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang pula berkata perkahwinan pasangan itu melanggar banyak peraturan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah menikahkan anak bawah umur iaitu bawah umur 16 tahun tanpa kebenaran Mahkamah Syariah bagi bapa atau wali pengantin perempuan; kesalahan berpoligami tanpa kebenaran bagi pengantin lelaki; dan kesalahan bersubahat bagi semua yang hadir di majlis tersebut termasuk ibu, saksi dan ejen yang membawa mereka bernikah di selatan Thailand.

Setiap kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 (S$330) atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

“Bagaimanapun, hukuman yang dikenakan adalah terlalu ringan dan dilihat tidak berkesan untuk mencegah perbuatan seumpama itu daripada berulang,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerajaan-kerajaan negeri mengkaji semula hukuman denda dan penjara bagi kesalahan menikahkan anak bawah umur dan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran dari denda maksimum RM1,000 (S$330) kepada RM5,000 (S$1,680) dan mengenakan hukuman penjara dari enam bulan kepada tiga tahun.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan