Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pengetua sekolah manfaatkan bakat main gitar pupuk cinta Matematik pada murid

Bagaimana cara untuk menarik kanak-kanak menghafal sifir dengan mudah? Menurut seorang pengetua sekolah, menerusi irama lagu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengetua sekolah manfaatkan bakat main gitar pupuk cinta Matematik pada murid

Petikan gambar dari Video. (Gambar: Zukri Suzita/Facebook)

Diterbitkan : 29 Jan 2018 09:40PM Dikemas Kini : 29 Jan 2018 10:26PM

PASIR MAS, KELANTAN: Bagaimana cara untuk menarik kanak-kanak menghafal sifir dengan mudah? Menurut seorang pengetua sekolah, menerusi irama lagu.

Kepakarannya memetik gitar dimanfaatkan sepenuh oleh Pengetua Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum (SKBJ), Zukri Suzita Yaso bagi memudahkan anak didiknya menghafal sifir menggunakan irama lagu-lagu popular masa kini, lapor Sinar Harian.

Encik Zukri berkata, teknik yang digunakan sejak tahun lalu itu membantu murid-muridnya menghafal sifir dengan lebih mudah dan cepat.

"Apa yang mengejutkan saya, hanya dalam tempoh dua hari murid-murid ini berjaya menghafal sifir dan ini merupakan sesuatu yang positif.

"Saya akui bukan mudah untuk menghafal sifir, namun bila kita tukar dalam bentuk lagu murid-murid cepat dapat ingat.

"Bukan itu sahaja, mereka lebih seronok belajar melalui kaedah ini," katanya seperti yang dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, bagi menarik minat dan memudahkan hafalan sifir, beliau akan menggunakan lagu-lagu popular di corong-corong radio.

Katanya, lagu-lagu popular itu akan menguatkan lagi minat murid untuk menghafal sifir menggunakan kaedah tersebut.

"Sebagai contoh, untuk sifir tiga, saya gunakan lagu Anak Kampung yang telah diubah suai liriknya dengan susun atur sifir tersebut.

"Selain Anak Kampung, saya turut gunakan irama lagu Aisyah (Projektor Band) dan Tak Tun Tuang (Upiak Isil) untuk menarik minat murid menghafal sifir," katanya.

Encik Zukri berkata, lebih membanggakan lagi apabila beliau menerima respons positif daripada para ibu bapa yang menyambut baik kaedah tersebut, lapor Sinar Harian.

Katanya, respons tersebut memberikan beliau ilham untuk menghasilkan album bagi membantu murid sekolah rendah menghafal sifir.

"Tujuan utama kita adalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik.

"Bila suasana pembelajaran menjadi menarik secara tidak langsung dapat membantu merangsang perkembangan pelajaran anak-anak khususnya di SKBJ," katanya.

Encik Zukri berkata, idea untuk menggunakan muzik itu timbul sudah lama namun terpaksa 'dibekukan' buat sementara waktu kerana kekangan peralatan.

Katanya, selepas mempunyai peralatan mencukupi beliau mengambil keputusan untuk menghidupkan semula hasrat yang sudah lama disimpan itu.

"Saya harap idea ini dapat disebar luas ke seluruh sekolah bagi membantu murid-murid untuk minat pada Matematik," katanya. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan