Images
  • putri muslimah1
    Uyaina Arshad dari Malaysia Juara Putri Muslimah Asia 2018. (Gambar: Petikan skrin dari video Youtube/Indosiar)

Pengacara M'sia Uyaina Arshad Juara Puteri Muslimah Asia 2018

JAKARTA: Personaliti pengacara Wanita Hari Ini (WHI) TV3 Naseha Uyaina Arshad mengharumkan nama Malaysia selepas berjaya menjuarai Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018, anjuran stesen TV Indosiar di Jakarta, pada Isnin malam (7 Mei).

Dalam petikan laporan Harian Metro, Uyaina menewaskan dua lagi calon iaitu Hanifah Razan, pemenang tempat kedua dari Indonesia dan Avida Lale dari Turki,yang memenangi tempat ketiga, selepas mereka terpilih ke peringkat tiga terbaik.


Hanifah Razan (Indonesia), Uyaina Arshad (Malaysia) dan Avida Lale (Turki). (Gambar: Petikan skrin dari Youtube/Indosiar)

“Ini penganjuran pertama dan saya memenanginya. Ia membuatkan kemenangan ini cukup manis dan bermakna dalam hidup saya.

“Diangkat sebagai Puteri Muslimah Asia 2018, pastinya saya cuba memikul tanggungjawab ini untuk mengangkat martabat wanita Islam agar menjadi pemangkin kepada masyarakat,” katanya kepada Harian Metro sebaik sahaja ditemui selepas diumumkan sebagai pemenang.

Antara lain, Anugerah Puteri Muslimah Persahabatan Asia 2018 pula dimenangi Mala Daud dari Brunei Darussalam, Puteri Muslimah Berbakat Asia 2018 (Beyza Demir - Turki) dan Puteri Muslimah Favorit Asia 2018 (Avida Lale - Turki).

Turut menjadi juri pertandingan ialah Erra Fazira (Malaysia), Marina Yusoff (Singapura), Yenny Wahid (Indonesia), Siti Rahmawati (Turki) dan Daffy (Brunei Darussalam).

Uyaina memenangi hadiah berupa wang tunai berjumlah RM30,000 (S$10,150), tiara dan trofi, lapor Harian Metro.

Aishah Rahim turut mewakili Singapura sebagai salah seorang finalis dalam pertandingan tersebut.

Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 menghimpunkan 18 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Turki dan Timor Leste.

- Agensi berita/IM/im

Top