Images
  • garuda main 1
    (Gambar: Garuda Indonesia/Facebook)

Penerbangan langsung kini ditawarkan dari S'pura ke Pulau 'Laskar Pelangi'

BERITAmediacorp: Syarikat penerbangan Garuda Indonesia mulai 29 Oktober melancarkan penerbangan yang membawa secara langsung para penumpang dari Singapura ke Tanjung Pandan di Pulau Belitung.

Jika anda terpinga-pinga tentang di manakah terletaknya Pulau Belitung dan apakah keistimewaannya, ia sebenarnya sebuah pulau di Indonesia yang seakan-akan Maldives. Malah, dengan kecantikan pantai-pantai di pulau itu setanding dengan Maldives, Pulau Belitung disebut-sebut sebagai “Maldives of Indonesia” oleh para penduduk tempatan.


Mungkin kalau anda membawa anak-anak anda ke pulau itu sempena musim cuti sekolah kelak, boleh jadi mereka juga akan mendapat inspirasi sebelum melangkah ke peringkat pendidikan selanjutnya pada tahun depan.

Di Pulau Belitung inilah penggambaran filem Laskar Pelangi dijalankan. Filem itu mengisahkan perjuangan sepuluh kanak-kanak yang hidup susah untuk menimba ilmu.


(Gambar: Laskar Pelangi/Facebook)

Penerbangan sulung Garuda pada 29 Okt, menerima sambutan menggalakkan dengan muatan penerbangan penuh membawa para pelancong dari Singapura ke pulau berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian BERITAmediacorp selepas meninjau-ninjau laman Garuda Indonesia, harga tiket penerbangan ulang-alik antara Singapura dengan Belitung bermula dari sekitar S$300 (termasuk yuran dan cukai).

Khidmat ke pulau itu ditawarkan empat kali seminggu, iaitu pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad. Penerbangan dari Singapura ke pulau tersebut mengambil masa sekitar sejam.

S'PURA SATU-SATUNYA NEGARA YANG BAWA PENUMPANG LANGSUNG KE BELITUNG

Garuda Indonesia melancarkan khidmat penerbangan ke Tanjung Pandan sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memacu ekonomi, perniagaan dan sektor pelancongan Indonesia.


Pesawat jenis Bombardier CRJ – 1000 yang membawa para penumpang ulang-alik Singapura dan Belitung. (Gambar: BERITAmediacorp)

"Operasi penerbangan ini bagi menyokong program pemerintah Indonesia dalam mempromosikan 10 Destinasi Utama negara, di mana salah satunya adalah Tanjung Kelayang, Belitung," kata Pengarah Operasi Garuda Indonesia Bambang Adisurya Angkasa.

Pengurus Negara di Pejabat Pelancongan Indonesia (Singapura) Sulaiman Shehdek pula memberitahu BERITA, Indonesia menyasarkan 20 juta pelancong ke negaranya menjelang 2019. Bagi tahun ini sahaja, pemerintah Indonesia menetapkan sasaran menarik 17 juta pelancong. Sejauh ini, ia yakin akan mencapai sasaran itu.


Pengurus Negara di Pejabat Pelancongan Indonesia (Singapura) Sulaiman Shehdek (kanan). (Gambar: Facebook)

Mengulas lebih lanjut, Encik Sulaiman berkata penerbangan langsung itu membuat pulau Indonesia tersebut mudah didatangi para pelancong. Sebelum ini, hanya ada penerbangan langsung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan Tanjung Pinang ke pulau tersebut.

Ini sekaligus bermakna, Singapura adalah satu-satunya negara di Asia selain Indonesia yang menawarkan penerbangan langsung ke Belitung.


Anda berpeluang melakukan kegiatan 'island hopping' di Belitung. Antaranya ke Pulau Langkoas. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Dahulu, wisatawan perlu melalui Jakarta untuk ke pulau Belitung. Dengan adanya penerbangan ini, ia membantu untuk mengurangkan waktu perjalanan sehingga lima atau enam jam," ujar Encik Sulaiman.

SALING MEMANFAATKAN, BERPOTENSI PIKAT RAMAI PELANCONG KE S'PURA

Indonesia merupakan pasaran terbesar Changi di mana terdapat lebih lapan juta pergerakan penumpang bagi tempoh setahun, sehingga September 2018. Belitung menjadi bandar ke-14 bagi laluan dari Singapura ke Indonesia.

Maka itu, Encik Sulaiman percaya dengan adanya penerbangan langsung ke pulau kecil itu, ia tidak sahaja merancakkan ekonomi di pulau Belitung, tetapi juga menarik lebih ramai pelancong ke Singapura.


Rumah yang diperbuat daripada kayu jati menjadi antara tempat penginapan alternatif apabila anda berkunjung ke Belitung. (Gambar: BERITAmediacorp)

"Indonesia dan Singapura boleh saling melengkapi. Kita fikirkan sahaja tentang konsep 'twinning destination' (pelancong ke dua destinasi berbeza sepanjang tempoh percutian). Misalnya, pelancong boleh meluangkan dua malam di Singapura, dua malam di Bintan," jelas Encik Sulaiman.

"Kita bukan bersaing. Kita saling membantu atau melengkapi."


Kawasan tepi pantai menjadi tempat yang sering dikunjungi Instagrammers. 

Ternyata, banyak ejen-ejen pelancongan tempatan juga sudah mempromosikan pulau Belitung sebagai destinasi pelancongan. Malah, BERITA diberitahu, 50 peratus tiket bagi penerbangan sulung ke pulau itu ditempah melalui khidmat ejen pelancongan.

Buat masa ini, Garuda Indonesia menawarkan 84 penerbangan setiap minggu bagi perjalanan dari Singapura ke bandar-bandar Indonesia - Jakarta, Surabaya dan Denpasar. 

- BERITAmediacorp/aq

Top