Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemenang tempat ketiga tilawah antarabangsa Widadul Wahidah bertegas qari, qariah tidak semestinya murid madrasah

Pada usia seawal empat tahun, Widadul Wahidah Mahamod, atau Widad, sudah diajak ibunya untuk menghafal surah-surah Al-Quran.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemenang tempat ketiga tilawah antarabangsa Widadul Wahidah bertegas qari, qariah tidak semestinya murid madrasah

Widad (kanan) bersama seorang qari di satu majlis tilawah. (Gambar: Widadul Wahidah Mahamod)

SINGAPURA: Pada usia seawal empat tahun, Widadul Wahidah Mahamod, atau Widad, sudah diajak ibunya untuk menghafal surah-surah Al-Quran. Dua tahun kemudian, ibunya memasukkannya ke dalam kelas tahfiz. Widad selanjutnya memasuki Madrasah Alsagoff Al-Arabiah di mana beliau mula mengikuti kelas Taranum di luar kurikulum darjah pada 2006 untuk memperhalusi bacaan Al-Quran.

Apabila ditanya BERITAMediacorp sama ada latarbelakangnya ada memainkan peranan yang mendorong beliau menjadi seorang qariah, Widad, 24 tahun, sebaliknya menegaskan bahawa seorang qari atau qariah tidak semestinya dari madrasah saja.

"Saya juga tahu tentang beberapa qari dan qariah lain dari sistem pendidikan sekular. Jadi tidak semestinya, qariah datang dari sebuah madrasah," kata Widad.

Namun, tambah beliau, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat membaca Al-Quran pada anak-anak mereka.

Widad menduduki tempat ketiga di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-60 pada hujung minggu lalu (12 Mei). Meskipun tidak menang, Widad tetap bersyukur kerana mampu menduduki tempat ketiga dalam penampilan sulung di majlis tilawah peringkat antarabangsa dan hanya mempunyai selama sebulan untuk membuat persiapan.

(Gambar fail Widad di Majlis Musabaqah Tilawah dan Tahfiz Al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran MUIS)

Majlis tilawah yang berlangsung selama enam hari, bermula Isnin lalu (7 Mei) di Pusat Dagangan Dunia Putra dan disertai 61 peserta daripada 47 negara, dengan 21 negara menyertai kategori Tilawah Al-Quran dan 26 negara bagi kategori Hafazan Al-Quran.

Widad mewakili Singapura selepas muncul juara dalam pertandingan peringkat kebangsaan di Singapura anjuran MUIS pada lewat Mac lalu.

IBU BAPA MAINKAN PERANAN PENTING

Mengulas dengan lebih lanjut, Widad berkata, dorongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam pencapaiannya.

"Kadangkala saya memang rasa tidak ingin ikuti kelas-kelas untuk terus memperelok bacaan saya. Tetapi mereka tidak putus-putus memberi sokongan. Ibu sering menemani saya jika saya ada pertandingan. Ayah saya pula ulang-alik hantar saya ke kelas-kelas Al-Quran," ujar Widad.

Widad menjelaskan, dengan sokongan ibu bapa dan asatizah-asatizahnya, minat beliau membaca Al-Quran semakin menebal.

Cik Widadul Wahidah Mahamod bersama ayahnya. (Gambar: MUIS) 

(Widad bersama ayahnya. Gambar: MUIS)

Sebelum ini, Widad pernah bertanding di majlis tilawah di Brunei Darussalam dan Melaka. Namun beliau terpaksa berpuas hati dengan hadiah sagu hati.

ANGGAP AL-QURAN SEBAGAI SEBAHAGIAN KEHIDUPAN, BUKAN KEGIATAN TAMBAHAN

Pelibatannya dalam pertandingan dan kelas-kelas Al-Quran semuanya atas inisiatifnya sendiri kerana benar-benar berminat membaca Al-Quran.

"Meski saya penat bertugas seharian, saya berasa tenang ketika membaca Al-Quran. Ia membuat saya berasa seolah-olah dalam dunia lain, ia seperti satu terapi untuk saya," kata Widad.

Widad kini bertugas sebagai penyelaras kelas-kelas aLIVE di Masjid Yusof Ishak.

Apabila diminta pandangannya mengenai minat kanak-kanak terhadap bacaan Al-Quran pula, Widad selanjutnya berkata ia agak merisaukan kerana melalui pengamatannya, sesetengah kanak-kanak tidak diberi pendedahan yang mencukupi kepada pembacaan Al-Quran.

(Gambar: Widadul Wahidah Mahamod)

(Gambar: Widadul Wahidah Mahamod)

"Memang ibu bapa menghantar mereka ke kelas-kelas agama, dan mereka mengaji dalam kelas. Tetapi, ada yang tidak membaca Al-Quran di luar kelas, bermula dengan bacaan, hafalan dan tafsiran," kata beliau.

"Jangan lihat pembacaan Al-Quran sebagai satu (kegiatan) tambahan, tetapi sebahagian daripada kehidupan kita."

HARAP DAPAT TERUS IKUT SERTA DALAM MAJLIS TILAWAH

Dalam pada itu, Widad berharap beliau akan dapat terus mewakili negara dalam pertandingan seperti ini pada masa akan datang. Malah beliau bertekad untuk terus memperbaiki bacaannya.

"Semasa Majlis Tilawah di Malaysia, saya berpeluang untuk meraih peluang baru, khususnya dalam bidang Tarannum Al-Quran. Selain berkenalan dengan sahabat-sahabat dari seluruh pelusuk dunia, Majlis Tilawah ini juga memberi inspirasi dan membakar semangat untuk terus mempertingkatkan diri," kata Widad.

Tahun lalu, seorang qariah Singapura, A'tii Qah Suhaimi juga menduduki tempat yang sama pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-59 di Kuala Lumpur. Peserta dari Brunei menduduki tempat kedua, sementara johannya pula adalah peserta tuan rumah.

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan