Images
  • ocbc machine
    (Gambar: OCBC)

OCBC bakal sediakan kios khidmat digital; gantikan juruwang bank

SINGAPURA: Bank OCBC akan menyediakan lebih banyak kios khidmat digital yang juga bertindak sebagai "cawangan mini".

Khidmat juruwang bank pula akan dihentikan secara bertahap-tahap, menurut kenyataan media OCBC yang dikeluarkan hari ini (23 Jul).

Kios-kios khidmat digital ini akan menawarkan khidmat-khidmat yang sebelum ini hanya boleh dilakukan di kaunter seperti mengemas kini butiran peribadi dan menukar had bagi mengeluarkan wang tunai.

Buat masa ini, OCBC mempunyai 51 cawangan di Singapura dan menjelang 2020 pula, sekitar 35 daripada cawangan-cawangan itu akan dilengkapi dengan kios khidmat digital.

Meskipun dengan langkah ini ia bermakna jumlah juruwang bank akan berkurangan, OCBC memberi jaminan bahawa tiada juruwang akan hilang pekerjaan mereka akibat perubahan yang diperkenalkan ini.

Sebaliknya, separuh daripada juruwang OCBC akan dipindahkan ke peranan digital atau penasihat dalam masa dua tahun akan datang.

OCBC bagaimanapun tidak mendedahkan perangkaan mengenai jumlah juruwang yang bertugas di bank tersebut.

OCBC: PELANGGAN BOLEH JIMATKAN MASA

Program perintis ini dilancarkan pada bulan Mei di lapan cawangan OCBC, di mana mesin ATM dan kios khidmat digital baru disediakan.

Buat masa ini, mesin-mesin tersebut membolehkan para pelanggan untuk melakukan 15 daripada khidmat-khidmat kaunter paling kerap seperti deposit wang tunai, mengeluarkan wang tunai yang hadnya melebihi jumlah harian yang ditetapkan, memilih jenis mata wang yang dikeluarkan, deposit wang kertas dan duit syiling serta mengemas kini butiran peribadi pelanggan.

Menurut OCBC, mesin-mesin itu sudah membantu para pelanggan menjimatkan sehingga 10 minit semasa melakukan deposit duit syiling, manakala khidmat-khidmat lain seperti mengemas kini butiran peribadi mengambil masa kurang daripada 5 minit, berbanding purata 15 minit bagi khidmat-khidmat yang ditawarkan di kaunter bank.

Bank itu turut menyatakan bahawa lebih banyak ciri akan disediakan pada akan datang termasuk pengimbas wajah dan cap jari untuk pengesahan biometrik dan pad tandatangan. Pada tahun 2019, pelanggan juga boleh menukar cek dengan wang tunai dengan serta-merta menggunakan mesin ATM baru dan mengeluarkan wang sehingga S$200,000.

Pelanggan warga tua akan dibantu oleh kakitangan bank apabila menggunakan mesin-mesin itu, menurut OCBC.

Pemasangan mesin-mesin baru itu akan menelan belanja S$14 juta, menurut bank itu.

- CNA/KN/tq

Top