Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nikmati suasana musim salji di Ice Cafe

Bagi mereka yang tidak pernah merasai suasana musim salji, sebuah kafe di Pulau Pinang memberi peluang kepada anda merasai sendiri kedinginan musim salji ala Eropah dengan suhu mencapai 10 darjah Celsius.

Anggaran Waktu Membaca:
Nikmati suasana musim salji di Ice Cafe

Para pelanggan berpeluang menikmati pelbagai sajian di Ice Cafe di Lebuh Victoria, George Town, Pulau Pinang. (Gambar-Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Nov 2018 04:05PM Dikemas Kini : 25 Nov 2018 04:11PM

GEORGE TOWN: Bagi mereka yang tidak pernah merasai suasana musim salji, sebuah kafe di Pulau Pinang memberi peluang kepada anda merasai sendiri kedinginan musim salji ala Eropah dengan suhu mencapai 10 darjah Celsius.

Inilah keunikan Ice Cafe di Lebuh Victoria di George Town, di mana ia bukan sekadar ais pada nama atau papan tanda semata-mata tetapi ais merupakan konsep dan tema kafe itu.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Ice Cafe, Hazlami Rosli, berkata tema konsep ais pada kafe itu merupakan yang pertama di Malaysia, di mana pengunjung dapat menikmati pelbagai sajian hidangan bertemankan pemandangan seolah-olah sedang berada di Kutub Utara.

“Dengan suhu 10 darjah Celsius, pengunjung berpeluang merasai pelbagai menu pencuci mulut seperti aiskrim, buah-buahan serta kek lazat yang disajikan oleh kafe tersebut. Malahan, menu yang ditampilkan punya cita rasa tersendiri.

“Kita mahu pelanggan bukan sahaja rasa sejuk, tetapi suasana persekitarannya juga sejuk seperti ala ‘frozen’. Jika kita lihat dalam kafe ini, ada salji. Jadi kita mahu bawa konsep itu," kata Encik Hazlami kepada agensi berita Bernama baru-baru ini.

MAKANAN TRADISIONAL ANTARA MENU ICE CAFE

"Istimewanya di sini menunya adalah lain dari yang lain. Kami mencipta sendiri menu tersebut. Kami cuba mengetengahkan makanan-makanan tradisional dan makanan lazim di Pulau Pinang seperti aiskrim kandar. Selalu di Pulau Pinang terkenal dengan nasi kandar, di sini kami pamerkan aiskrim kandar di mana rencahnya lebih kurang sama dengan nasi kandar tetapi versi aiskrim.

"Begitu juga dengan kiwi grape di mana mangkuk hidangan kita buat daripada ais, betul-betul ais, itu keistimewaan Ice Cafe yang tiada di tempat lain," katanya yang bakal memperkenalkan menu terbaru iaitu ais krim tom yam.

Selain menu, Encik Hazlami berkata pengunjung juga berpeluang merakam gambar dan detik indah di dalam kafe itu yang persekitarannya bersuasanakan kiub ais dan salji.

Encik Hazlami berkata pihaknya turut merancang untuk membuka kafe bertemakan konsep sama di Kuala lumpur atau Melaka pada masa akan datang.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan