Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nenek dilarang ke tandas, terpaksa duduk dalam pesawat dengan pakaian basah kuyup

Seorang nenek berusia 87 tahun terpaksa menahan malu dan duduk dalam pesawat dengan pakaiannya basah kuyup akibat terkencing.

Anggaran Waktu Membaca:
Nenek dilarang ke tandas, terpaksa duduk dalam pesawat dengan pakaian basah kuyup

Gambar hiasan. (Gambar: THIERRY ZOCCOLAN / AFP)

Diterbitkan : 04 Apr 2017 08:59PM Dikemas Kini : 04 Apr 2017 09:03PM

LONDON: Seorang nenek berusia 87 tahun terpaksa menahan malu dan duduk dalam pesawat dengan pakaiannya basah kuyup akibat terkencing.

Ini gara-gara pramugari pesawat British Airways itu tidak membenarkan wanita tua tersebut pergi ke tandas, dakwa anak perempuan wanita itu kepada Daily Mail.

WANG PAMPASAN £40 DITAWARKAN

Lebih menyedihkan, wanita tua itu, Kocharik Tsamouzian, menerima satu lagi tamparan hebat setelah syarikat British Airways menawarkannya wang pampasan hanya £40 (S$70).

Tawaran wang pampasan yang tidak seberapa itu sudah dikecam anak perempuan beliau, Aida Behroozi, sebagai satu "penghinaan".

Kejadian itu berlaku dalam penerbangan selama 13 jam dari Los Angeles ke London, yang tertangguh selama 90 minit.

Cik Behroozi, 62 tahun, memberitahu Daily Mail bahawa ibunya itu tiba di lapangan terbang Heathrow dengan pakaiannya basah kuyup dan kelihatan tertekan.

Namun beliau hanya mendiamkan diri dalam perjalanan pulang ke rumah kerana terlalu malu untuk menceritakan apa yang terjadi di hadapan suami anaknya itu.

Ibunya itu hanya memberitahu apa yang berlaku ketika mereka pulang ke rumah.

"IA SATU PENGHINAAN"

"Mereka menawarkan wang pampasan hanya £40. Ia satu penghinaan. Saya berang sekali. Saya menulis emel dan saya meminta bercakap dengan mana-mana kakitangannya. Ia benar-benar menghina, saya tidak mahu ambil £4,000 pun daripada kamu...saya mahu kenyataan meminta maaf yang betul," kata Cik Behroozi.

Malah, beliau menjadi lebih berang setelah diberitahu wang pampasan £40 itu sebenarnya bukan untuk insiden ibunya dilarang menggunakan tandas, tetapi kerana alat hiburan dalam pesawat tidak berfungsi.

Menceritakan lanjut, Cik Behroozi berkata ibunya, yang tinggal di Los Angeles, pergi ke London pada 22 Disember untuk meraikan Krismas bersama beliau.

Beliau memberitahu Daily Mail, ibunya naik berang apabila dilarang ke tandas, hingga bangun dari tempat duduknya dan berkata "Saya akan ke tandas sama ada anda suka atau tidak."

Namun pramugari bernama Mandy itu berdiri di hadapannya dan berkata "Anda tidak akan ke tandas," dakwa Cik Behroozi.

Beliau berkata ibunya mengalami kesakitan di ginjalnya kerana tahan kencing terlalu lama, hingga akhirnya tidak dapat menahannya.

"Beliau bukan tidak boleh menahan air kencing, beliau tidak mengalami sebarang masalah, tetapi beliau wanita tua dan apabila anda perlu pergi (buang air kecil), anda perlu pergi," ujarnya kepada Daily Mail.

RESPONS BRITISH AIRWAYS 

Sementara itu, British Airways mengiktiraf insiden itu dan sudah meminta maaf "pelanggan kami mengalami pengalaman yang begitu menganggu perasaan."

Jurucakap itu menyatakan bahawa di bawah peraturan keselamatan Penguasa Penerbangan Awam, semua penumpang mesti kekal di tempat duduk masing-masing dengan tali keledar dipasang, selepas pesawat sudah mula bergerak.

"Keselamatan para penumpang sentiasa diutamakan kami," menurut jurucakap British Airways kepada Daily Mail.

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan