Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Nasi ganja' - menu baru di Tawau

Jikalau anda makan ganja, terutama di Singapura atau Malaysia, silap hari bulan mungkin tali gantung jawabnya.

Anggaran Waktu Membaca:
'Nasi ganja' - menu baru di Tawau

Hidangan nasi ganja yang ditawarkan di warung Cafe Ibu di Tawau. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Sep 2018 12:22AM Dikemas Kini : 21 Sep 2018 12:27AM

TAWAU: Jikalau anda makan ganja, terutama di Singapura atau Malaysia, silap hari bulan mungkin tali gantung jawabnya.

Namun jika anda makan 'nasi ganja' ini, walau sepinggan penuh, tiada apa-apa hukuman dikenakan ke atas anda.

Inilah dia hidangan bernama nasi ganja. Antara kedai makan yang menjual nasi ganja di Malaysia termasuklah warung Cafe Ibu di Batu 8, Jalan Ranggu di Tawau sejak awal tahun ini.

Nasi ganja bersambal lalap yang menjadi satu tarikan baru bagi para penduduk sekitar daerah itu.

Pemilik warung, Rohana Talib, berkata kelainan nasi ganja Tawau ini terletak pada sambal tomato, telur mata atau telur masin, ayam goreng serta nasinya yang dicampur lima perasa kuah.

"Resipi nasi ganja ini disaji mengikut selera orang Tawau serta sambal lalap yang ditambah untuk kelainan dan dijual dengan harga RM6 (S$2.00) sahaja," kata Cik Rohana.

Menurut beliau, minat suaminya Abd Hamid Mohd Noor terhadap menu nasi ganja di Perak mendorong beliau untuk mengolah resipi sendiri dan menjualnya di Cafe Ibu.

"Suami saya sangat minat dengan menu ini dan jika berkunjung ke Perak, suami hanya akan cari dan makan nasi ganja," tambah beliau.

Dalam pada itu, Cik Rohana berkata menu berkenaan mendapat sambutan baik dari penduduk setempat serta penduduk daerah luar.

"Respon pelanggan baik, sehingga ada pelanggan mengukir perkataan sedap di pinggan selesai makan," kata Cik Rohana yang mula berniaga nasi ganja sejak Ramadan lalu dengan bantuan dua pekerja di warung tersebut.

Beliau berkata terdapat perancangan lain untuk mengembangkan perniagaan makanannya termasuk nasi ganja Tawau ini, iaitu berniaga menggunakan trak makanan.

"Kaedah berniaga ini dilihat lebih santai dan boleh mencari pelanggan tetap tidak pada satu tempat sahaja," katanya lagi.

Nama nasi ganja itu dikatakan berasal dari sebuah restoran nasi kandar di Ipoh Perak, di mana orang rasa ngantuk selepas makan nasi yang dijual di sana. Malah ada yang ketagih makan nasi tersebut kerana enak rasanya, sehingga digelarkan 'nasi ganja'.

Lantaran itulah makanan tersebut digelar nasi ganja, sehingga pernah diperiksa pihak berkuasa kerana disyaki ada dicampur ganja. Namun ternyata dadah tersebut tidak digunakan.

Maka itu sehingga kini, nasi ganja kekal dijual dan kini sudah menjalar ke Sabah. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan