Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nasi beriani dalam buluh tampil kelainan

Selain nasi kandar, nasi beriani adalah antara makanan popular yang wajib dicuba sekiranya berkunjung ke Pulau Mutiara.

Anggaran Waktu Membaca:
Nasi beriani dalam buluh tampil kelainan

(Gambar: Penang Bamboo Briyani)

Diterbitkan : 21 May 2018 12:18AM Dikemas Kini : 21 May 2018 12:26AM

GEORGE TOWN: Selain nasi kandar, nasi beriani adalah antara makanan popular yang wajib dicuba sekiranya berkunjung ke Pulau Mutiara.

Kebiasaannya, nasi beriani yang dijual di kedai-kedai dimasak dalam periuk mahupun belanga, namun cef T. Gunaseelan, 26 tahun, menampilkan kelainan dengan memasak nasi tersebut di dalam buluh.

"Pulau Pinang memang terkenal dengan makanan. Saya lakukan penyelidikan dalam internet dan media sosial serta mendapat idea untuk memasak nasi beriani di dalam buluh.

“Orang ramai teruja apabila melihatnya. Pada mulanya saya cuba dengan kawan-kawan serta ibu bapa saya dan mereka kata idea nasi beriani dengan aroma buluh itu amat baik. Saya mulakan dengan  perkhidmatan katering terlebih dahulu sejak setahun lepas sebelum mengambil keputusan membuka gerai,” katanya kepada Bernama.

Selain menjalankan kajian, beliau turut menggunakan pengalamannya bekerja di hotel selama lima tahun bagi mendapatkan kelainan dan resipi terbaik sebelum mengambil keputusan berhenti kerja sebagai cef.

Encik Gunaseelan yang juga bekas pelajar Politeknik Seberang Perai itu berkata beliau turut mencuba nasi beriani daripada pelbagai kedai sebelum berjaya menghasilkan resipi terbaik hasil gabungan air tangannya dan ibu.

"Nasi yang sudah separuh masak saya masukkan dalam buluh dicampur sekali dengan kuah dan daging sebelum masak semula selama 45 hingga 50 minit. Saya akan kukus nasi ini, bila pelanggan tempah mereka akan dapat nasi yang panas," katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu kini mengusahakan gerai makan yang dibuka setiap hari kecuali Rabu bersama ibunya sepenuh masa, bermula dari 11.00 pagi hingga 3.00 petang dan dilanjutkan hingga 7.00 malam sempena sambutan Ramadan.

Beliau berkata pelanggan Muslim tidak perlu bimbang untuk menikmati nasi beriani dari gerainya itu kerana ayam dan daging yang digunakan diperoleh dari pembekal Muslim.

Sambutan yang diterima kata beliau sangat menggalakkan sehingga pihaknya terpaksa menambah bilangan buluh yang kebanyakannya diambil dari Balik Pulau, Sungai Ara, Telur Kumbar dan Kulim, Kedah, bagi menampung permintaan tinggi termasuk ketika Ramadan ini.

Encik Gunaseelan juga merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka tempahan set nasi beriani ayam, kambing dan ikan berharga antara RM11.00 (S$3.70) dan RM13.00 (S$4.40) yang boleh didapati di gerainya itu bagi penghantaran dari rumah ke rumah.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan