Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nangka kahwin cempedak - nangcem - tanaman lumayan bagi sebahagian pekebun Sarawak

Penduduk dari Rumah (Rh) Patrick Bana, rumah panjang 48 pintu yang dihuni lebih 300 orang di Sungai Serakit, berjaya menanam nangcem di tanah seluas 48 hektar (120 ekar) serta boleh disifatkan sebagai paling berjaya di Sarawak.

Anggaran Waktu Membaca:
Nangka kahwin cempedak - nangcem - tanaman lumayan bagi sebahagian pekebun Sarawak

Seorang penduduk menunjukkan nangcem yang ditanam. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Dec 2018 12:49AM Dikemas Kini : 02 Dec 2018 12:54AM

BINTULU, SARAWAK: Peribahasa 'cempedak dah jadi nangka' sering diguna pakai untuk menggambarkan sesuatu yang sudah berlaku tetapi tidak dapat diubah, namun peribahasa itu kurang sesuai digunakan di sekitar kawasan Sungai Serakit di sini kerana baka kacukan nangka cempedak atau 'nangchem' sememangnya wujud, hidup subur serta diusahakan secara besar-besaran.

Penduduk dari Rumah (Rh) Patrick Bana, rumah panjang 48 pintu yang dihuni lebih 300 orang di Sungai Serakit, berjaya menanam nangcem di tanah seluas 48 hektar (120 ekar) serta boleh disifatkan sebagai paling berjaya di Sarawak.

Seorang pemilik kebun, Bana Japang, 79 tahun, berkata penanaman nangcem di kawasan tersebut merupakan kerjasama penduduk Rh Patrick Bana dengan Jabatan Pertanian Sarawak sejak tahun 2000. 

"Benih nangcem dibekalkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak. Buah ini memberi pendapatan yang boleh dikatakan lumayan kepada penduduk di kawasan ini, disebabkan itu rata-rata penghuni di rumah panjang 48 pintu ini telah menyertai skim ladang kontrak nangcem.

"Nangcem yang sudah masak kami jual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). FAMA beli pada harga RM2 sekilogram, ada juga nangcem yang kami jual terus kepada pelanggan di sekitar kawasan ini," katanya kepada Bernama di sini.

Encik Bana, bekas tuai rumah ini berkata nangcem sedap dengan rasa lemak dan manis kerana memiliki tekstur buah nangka dan cempedak.

"Nangcem tidak bermusim, sentiasa mengeluarkan hasil dan setiap kali tuaian kira-kira lima tan hasil dapat diperolehi. FAMA pula sangat membantu pekebun nangcem di sini, berapa tan hasil diperolehi mereka akan membelinya, tidak salah saya katakan tanam nangcem beri pulangan lebih lumayan berbanding harga terkini kelapa sawit," katanya yang mengusahakan kebun tersebut bersama anak-anak dan pekerja.

Encik Bana yang menanam lebih 100 pokok nangcem berkata kejayaan penanaman nangcem di kawasan tersebut, memberi peluang buat dirinya untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) beberapa tahun lalu untuk mempromosikan keunikan buah tersebut.

Seorang lagi pekebun, Encik Antalai Sulau, 60 tahun, berkata tidak sukar untuk menanam nangcem kerana bentuk muka bumi serta tanah di kawasan tersebut amat bersesuaian.

"Nangcem pernah cuba ditanam di beberapa lagi kawasan sekitar, namun kurang menjadi. Mungkin disebabkan kawasan ini berbukit ianya hidup subur dan mengeluarkan hasil yang baik.

“Tidak sukar untuk tanam nangcem, tetapi perkara asas seperti membaja, meracun perlu juga dibuat, paling utama buah perlu dibungkus kerana kadangkala ada lalat buah yang boleh merosakkan nangcem," katanya.

Encik Antalai yang menanam sejumlah 60 pokok nangchem berkata buah yang masak dan sesuai dipetik dianggarkan seberat kira-kira lima kilogram hingga 15 kilogram.

"Ada beberapa varieti nangcem yang ditanam di sini seperti Nangcem CH28, Mas Gading dan Sri Gading. Nangcem yang sesuai untuk djual biasanya seberat kira-kira lima hingga 15 kilogram, saya pernah juga jual nangchem seberat 27 kilogram," katanya yang mengusahakan kebun tersebut bersama isteri.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan