Images
  • durian rambutan
    Muhammad Dury Yan dan Nur Rambutt'an (Gambar: Facebook/Bagan Serai Kampung HalamanKu)

Nama dua beradik Durry Yan dan Nur Rambutt'an jadi tular

SUNGAI PETANI: Identiti pengenalan diri dua beradik yang nama mereka mirip kepada buah-buahan tempatan menjadi hangat di media sosial.

Dokumen pengenalan diri milik Muhammad Dhury Yan yang lahir pada 21 Ogos 2012 dan adiknya, Nur Rambutt'an yang lahir pada 14 Mac 2017 menjadi bualan hingga tular seluruh Malaysia.

Astro Awani melaporkan bapa mereka, Abi Amin Mahayadin, 40, mengakui terkejut dan kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang menularkannya.

Menurutnya, sejak menjadi tular, beliau menerima kecaman hebat dari netizen namun mengambil pendekatan positif kerana memikirkan tindakan menamakan kedua-dua anaknya adalah keputusan keluarga.

"Nama ni dapat dari orang-orang lama, depa (mereka) orang baik-baik, ada pertalian keluarga juga, macam pangkat tok-tok, jadi kami ikut sahaja," katanya.

Menurut Astro Awani lagi, Encik Abi berkata ia sama-sekali tiada kaitan dengan nama buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan.

Difahamkan, Muhammad Durry Yan diberi gelaran Yan dalam keluarga manakala Nur Rambutt'an digelar Adik An atau Nora.

Kedua-dua beradik ini juga baru sahaja menerima kelahiran seorang adik lelaki berusia 20 hari yang belum diberi nama, tambah Astro Awani.

"Yang baru ni tak dak nama lagi, tunggu tok depa bagi," katanya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan masyarakat menghormati keputusan keluarga itu tanpa meninggalkan sebarang persepsi sehingga menjejaskan masa depan anak-anaknya.

Astro Awani menukil akhbar Sinar Harian yang sempat menemu bual Yan dan Adik An. Kedua-dua anak kecil mengakui sukakan buah-buahan tempatan termasuk durian dan rambutan.

Yan berkata, dia suka makan durian dan mengakui adiknya juga sukakan buah rambutan.

- Agensi berita/TQ/tq

Top