Images
  • clock
    Gambar hiasan. 

Mungkin ini yang buat anda sukar tidur

PARIS: Jadual seharian anda tidak menentu? Anda berisiko mengalami emosi tidak menentu - dari rasa kesunyian, kemurungan serius ke gangguan bipolar. Demikian menurut hasil kajian sebuah pasukan penyelidik baru-baru ini.

Kajian paling menyeluruh itu melibatkan lebih 91,000 peserta, yang juga terkait dengan gangguan pada “ritma sirkadia” tubuh serta fungsi kognitif seperti daya ingatan dan tumpuan.

‘Pencatat masa sirkadian’ yang rumit menentukan pola tidur jaga, pengeluaran hormon dan suhu badan seseorang.

Kajian sebelum ini mendapati gangguan pada ritma ini akan menjejas kesihatan mental, namun ini tidak dapat dimuktamadkan: kebanyakan data dikeluarkan secara persendirian, jumlah peserta yang ambil bahagian kecil dan beberapa faktor tidak diambil kira.

Namun, dalam kajian terkini, sebuah pasukan antarabangsa yang diterajui ahli psikologi Laura Lyall, mengkaji data - dari pusat data Britain, yang menyimpan data tinjauan kesihatan jangka panjang - 91,105 orang berusia antara 37 hingga 73 tahun.

Para peserta memakai akselerometer yang mengukur corak kegiatan seseorang. Data yang dikumpul kemudian dibandingkan dengan sejarah kesihatan mental mereka, yang juga dicatat dalam data Biobank Britain.

Para individu dengan rekod yang menunjukkan jadual kehidupan seharian yang tidak teratur dan tetap - bekerja pada sebelah malam, misalnya, atau sering mangalami gangguan ritma harian - juga lebih berisiko berdepan dengan emosi tidak menentu, sering berasa tidak bahagia dan mengalami masalah-masalah kognitif lain.

“BURUNG HANTU” DAN MEREKA YANG BERSENGKANG MATA

Hasil kajian relevan meskipun mengambil kira faktor lain termasuk lanjut usia, gaya hidup tidak sihat, masalah kegemukan dan trauma sejak kecil. Demikian seperti yang diterbitkan dalam satu jurnal perubatan, The Lancet Psychiatry.

Kajian itu namun tidak dapat memastikan jika gangguan pada jadual seharian kita meningkatkan risiko gangguan mental atau sebaliknya.

Bagaimanapun, hasil kajian "mengukuhkan idea bahawa ia berkaitan," kata Cik Lyall.

Ukur pola tidur jaga seseorang mungkin berguna dalam membantu mereka yang berisiko mengalami kemurungan atau gangguan bipolar.

Kajian ini, bagaimanapun, dilakukan ke atas peserta yang berusia purata 62 tahun.

"75 peratus gangguan mental pula bermula sejak usia 24 tahun," kata penyelidik Universiti Oxford, Encik Aiden Doherty, yang mengulas tentang kajian yang dijalankan.

"Sistem sirkadian menjalani perubahan ketika seseorang menjalani usia remaja, di mana mereka sering mengalami gangguan emosi," tambah beliau.

Manusia disifatkan sebagai "burung hantu" ataupun "burung lark" yang memberi gambaran "chronotype" masing-masing bagi menentukan sama ada mereka dapat berfungsi lebih baik pada waktu malam atau siang hari.

Tahun lalu, Hadiah Nobel perubatan disampaikan kepada tiga saintis Amerika Syarikat yang mengambil inisiatif untuk memberi pencerahan tentang bagaimana sistem sirkadian berfungsi. 

- CNA/AQ/aq

Top