Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Miringkan kepala anda untuk mendengar dengan lebih baik!

Anda hadapi kesukaran untuk mendengar sesuatu dengan baik? Anda boleh mencuba untuk miringkan kepala anda agar bunyi dapat memasuki telinga kanan anda.

Anggaran Waktu Membaca:
Miringkan kepala anda untuk mendengar dengan lebih baik!

(Gambar hiasan: factrange.com)

Diterbitkan : 21 Dec 2017 03:30PM Dikemas Kini : 21 Dec 2017 03:35PM

AMERIKA SYARIKAT: Anda hadapi kesukaran untuk mendengar sesuatu dengan baik? Anda boleh mencuba untuk miringkan kepala anda agar bunyi dapat memasuki telinga kanan anda.

Menurut satu kajian baru, apabila otak menampung terlalu banyak maklumat, manusia akan lebih cenderung untuk menggunakan telinga kanan untuk memproses maklumat audio.

Ini dinamakan 'dichotic right-ear advantage', satu istilah perubatan yang menggambarkan keupayaan telinga kanan manusia. Penemuan ini dibentangkan buat pertama kali pada tahun 1967.

UPAYA TELINGA KANAN LEBIH BAIK DI KALANGAN KANAK-KANAK

Keupayaan telinga kanan ini juga ditemukan dalam kalangan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 13 tahun dalam satu kajian yang diadakan pada 1973.

Apabila manusia mendengar bunyi-bunyi yang berbeza dalam setiap telinga, bunyi-bunyi ini akan bergabung dalam sistem pendengaran manusia. Namun, bagi kanak-kanak, proses ini sukar buat mereka. Oleh itu, mereka lebih cenderung untuk menggunakan keupayaan mendengar pada telinga kanan mereka.

Keupayaan mendengar telinga kanan manusia sebenarnya berkait kepada hemisfera kiri otak di mana pemprosesan bahasa berlaku.

Sistem pendengaran orang dewasa selalunya mampu memproses isyarat pendengaran dengan lebih baik. Oleh itu, keupayaan telinga kanan mereka akan berkurangan.

"Apabila kami semakin dewasa, kami dapat mengawal dengan lebih baik perhatian untuk memproses maklumat," kata Cik Aurora Weaver yang merupakan salah seorang pengarang bagi terbitan kajian ini.

Satu kajian pada 1974 juga menunjukkan bahawa kesukaran untuk mendengar juga meningkatkan keupayaan telinga kanan seseorang.

TELINGA KANAN SEHINGGA 40% LEBIH BAIK

Pada umumnya, keupayaan telinga kanan manusia dapat menampung maklumat lapan peratus lebih baik daripada telinga kiri. Bagi sesetengah individu, ia boleh mencecah sehingga 40 peratus lebih baik.

Hasil kajian mendedahkan bahawa keupayaan telinga kanan ini berkurangan apabila seseorang berusia 13 tahun, dan ini disebabkan kegiatan seharian mereka.

"Kemahiran kognitif, tentu saja, terjejas dengan berlakunya penuaan, penyakit, atau trauma. Kita perlu memahami dengan lebih baik kesan kognitif pada keupayaan mendengar," tambah Cik Weaver.

Pasukan penyelidik itu menyampaikan penemuan mereka dalam satu sidang di Amerika Syarikat.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan