Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Minyak kelapa mungkin kurangkan risiko penyakit jantung?

Yang pasti, apabila menyentuh tentang minyak kelapa, masyarakat dunia sukar untuk mencapai kata sepakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Minyak kelapa mungkin kurangkan risiko penyakit jantung?

Minyak kelapa semakin menjadi pilihan alternatif popular di kalangan penduduk Singapura. (Gambar: Monica Kotwani)

Diterbitkan : 12 Jan 2018 01:13AM Dikemas Kini : 21 Jan 2018 11:18PM

AMERIKA SYARIKAT: Ada yang menyifatkannya sebagai 'superfood' (makanan berkhasiat), setengah orang pula mengatakan ia adalah lemak tepu, sebahagian yang lain memujinya sebagai produk kecantikan menyeluruh dan ada juga yang mencatu jumlah kalorinya.

Yang pasti, apabila menyentuh tentang minyak kelapa, masyarakat dunia sukar untuk mencapai kata sepakat.

Dengan kandungan lemak tepunya yang lebih banyak berbanding mentega dan lemak babi, pakar-pakar sudah lama membahaskan sama ada mengambil atau menggunakan minyak kelapa boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan, lapor laman Independent.

Sekarang, satu kajian yang dijalankan oleh para pengkaji Universiti Cambridge mendapati bahawa minyak kelapa mungkin boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar jika ia diambil setiap hari selama empat minggu, lapor laman Independent.

Sebagai sebahagian daripada siri BBC2 Trust Me I'm a Doctor (Percayalah, Saya seorang Doktor), Profesor Kay-Tee Khaw dan Profesor Nita Forouhi merekrut 94 sukarelawan dalam lingkungan usia antara 50 dengan 75.

Tiada satu pun dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah mengalami penyakit jantung ataupun kencing manis.

Para sukarelawan itu kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap individu diminta mengambil 50 gram (kira-kira tiga sudu makan) minyak kelapa, minyak zaitun perahan pertama (extra virgin) atau mentega tanpa garam setiap hari selama empat minggu.

Ahli sains ingin melihat sejauh mana pengambilan lemak-lemak itu secara kerap akan menjejas kadar kolestrol para sukarelawan. Dapatannya, mengejutkan.

Kadar kolestrol lipoprotein rendah kepadatan (LDL) atau "kolestrol yang tidak baik untuk tubuh", naik 10 peratus bagi kumpulan yang mengambil mentega.

Kadar kolestrol LDL bagi yang mengambil minyak zaitun pula berkurangan sedikit namun
kadar kolestrol lipoprotein tinggi kepadatan (HDL) (kolestrol baik untuk tubuh) naik lima peratus. Ini kerana ia mengandungi bahan-bahan yang melindungi tubuh, lapor laman Independent.

Sementara itu, mereka yang mengambil minyak kelapa mengalami kenaikan paling tinggi pada kadar HDL, dengan purata 15 peratus.

Ini menyebabkan para pengkaji percaya bahawa minyak kelapa yang dikatakan sebagai 'superfood' itu mungkin berkhasiat kerana ia mungkin mengurangkan risiko seseorang menghidapi penyakit jantung atau mengalami angin ahmar.

Sekalipun dapatannya menunjukkan potensi, Profesor Khaw menekankan bahawa kajian itu hanyalah bagi jangka pendek dan mengubah tabiat pemakanan semata-mata berdasarkan dapatan itu adalah "perbuatan tidak bertanggungjawab".

"Saya rasa keputusan untuk mengambil satu-satu jenis minyak bukan bergantung setakat kepada kesan kesihatannya," beliau memberitahu BBC.  

Sumber : Agensi berita/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan