Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Menyelongkar strategi ‘Maldives Indonesia’; pulau kecil dengan pesona tersendiri

Saiznya lebih kecil berbanding Singapura. Jumlah penduduknya pula sekitar 400,000 orang saja. Tiada taman permainan mahupun restoran-restoran terkemuka yang membuka cawangan di pulau ini. Hanya setakat sebuah cawangan KFC.

Anggaran Waktu Membaca:
Menyelongkar strategi ‘Maldives Indonesia’; pulau kecil dengan pesona tersendiri

Tempat makan di salah satu pulau berdekatan Belitung. (Gambar: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Saiznya lebih kecil berbanding Singapura. Jumlah penduduknya pula sekitar 400,000 orang saja. Tiada taman permainan mahupun restoran-restoran terkemuka yang membuka cawangan di pulau ini. Hanya setakat sebuah cawangan KFC.

Namun, Pulau Belitung mempunyai daya tarikannya yang tersendiri sehingga ia berjaya memikat hati para pelancong dari merata dunia. Malah, para pelancong dari sejauh China, Amerika dan Eropah sanggup ke pulau yang secara strategik terletak di laluan Sumatera ini.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Salah satu keistimewaan di pulau ini tidak lain dan tidak bukan adalah pantai-pantainya yang dihiasi dengan hamparan pasir putih dan air jernih sehingga ia mendapat jolokan "Maldives of Indonesia". Lebih unik lagi, ia terletak di tengah-tengah 200 pulau lain.

Maka tidak hairanlah, pulau ini disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 destinasi 'Bali Baru' Indonesia dalam program Kementerian Parawisata yang dilakarkan bagi mencapai sasarannya untuk memikat 20 juta pelancong menjelang 2019.

Dengan keunikan pulau itu jugalah, pihak berkuasa giat membangunkan sektor ekopelancongan di pulau tersebut. 'Island hopping' atau kunjungan dari pulau ke pulau di sekitarnya pula dijadikan sebagai antara kegiatan utama bagi para pelancong.

KONSEP EKOPELANCONGAN BELITUNG

Hakikatnya, Belitung hanya mula menjadi popular dan tertambat di bibir para pelancong, pencinta alam dan seni selepas filem Laskar Pelangi yang ditayangkan pada 2008 mendapat perhatian ramai. Filem itu mengisahkan perjuangan 10 kanak-kanak untuk menimba ilmu.

Sebelum ini, ia hanya sebuah kawasan perlombongan timah.

Encik Tito Oktavialdi. 

"Laskar Pelangi itu satu asas buat kita untuk bergerak. Dahulu ini daerah pulau yang miskin. Sepuluh tahun kemudian, kesan Laskar Pelangi masih terasa. Kerana apa? Ia menghidupkan kota-kota yang mati, ekonominya mula bergerak," kata Encik Tito Oktavialdi, seorang penduduk asal Belitung yang kini bekerja sebagai seorang pemandu pelancong.

Rakyat tempatan pada awalnya ke Belitung untuk bergambar di tapak penggambaran filem tersebut, termasuk di replika Sekolah Muhammadiyah.

Menariknya, walaupun filem itu tidak lagi hangat dibicarakan, kian ramai terus berkunjung ke pulau tersebut. Lonjakan jumlah pelancong disaksikan pada sekitar 2010, dua tahun selepas filem Laskar Pelangi menemui penonton.

Selepas menjelajah ke pulau Belitung, BERITAmediacorp mendapati hampir kesemua daya tarikan yang ditawarkan tertumpu kepada konsep ekopelancongan.

Ekopelancongan merujuk kepada industri pelancongan yang berasaskan alam semula jadi.

Seperti destinasi-destinasi lain, terdapat juga hotel berbintang yang dibuka di Belitung. Antaranya termasuk Hotel Marriott, BW Suite (yang dahulunya dikenali sebagai Aston) dan tidak lama lagi Sheraton.

Hotel Fairfield by Marriott Belitung.

Uniknya, ada juga tempat penginapan alternatif yang ditawarkan di pulau-pulau sekitarnya.

Misalnya, dengan hanya menaiki bot selama 15 minit, anda akan tiba di Pulau Leebong di mana semua tempat penginapan diperbuat daripada kayu jati. Tidak hanya asas rumah tersebut, perabot-perabotnya juga semua diperbuat daripada kayu jati. Buluh pula digunakan sebagai paip dalam bilik air.

Tetapi masih ada elemen-elemen kemodenan bandar yang diterapkan dalam reka bentuk rumah kayu jati bagi para pengunjung - termasuk penghawa dingin dan tab mandi. Pastinya, ini akan membuat para pelancong seakan-akan menginap di hotel lima bintang di tengah-tengah keindahan alam semula jadi.

SAMBUTAN BAGI 'ISLAND HOPPING' MEMBERANGSANGKAN

Semasa menjelajah ke pulau-pulau di sekitar Pulau Belitung, BERITAmediacorp berkesempatan bertemu dengan beberapa nelayan dan warga tempatan yang bekerja di pulau-pulau itu.

Rata-rata, ramai mengakui jumlah pelancong di pulau itu terus meningkat dan ini jelas merubah kehidupan mereka secara positif.

Bot-bot yang membawa para pelancong. 

Malah, kehidupan "ratusan nelayan" menjadi semakin bertambah baik kerana mereka kini mempunyai kerja sampingan. Antaranya termasuk Encik Haryanto Arbain, 41 tahun, yang menjadi pengemudi bot pelancong sebagai pekerjaan sampingan.

"Ada 16 bot yang aktif membawa para penumpang setiap hari dari pulau ke pulau. Pernah, ada 155 pelancong dalam sehari," kata Encik Haryanto sambil tersenyum lebar.

Namun, ini tidak mendorong para pengelola pulau-pulau di sekitar Belitung untuk menjalankan pembangunan pesat.

"Kami tidak ingin membuka terlalu banyak kemudahan di Pulau Leebong ini," kata pengelola Pulau Leebong, Encik Yudhy Gozelie.

"Sebabnya, kami ingin para pengunjung menikmati sendiri keindahan semula jadi pulau ini. Keluarga boleh bersantai. Ibu bapa tidak perlu khuatir jika anak-anak main di pantai kerana laut di sini juga tidak dalam, mendatar," tambah beliau.

BUKAN SEKADAR PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR

Selain Pulau Leebong, para pengunjung juga seringkali berkunjung ke pulau-pulau lain seperti Pulau Lengkoas dan Tanjung Kelayang di Belitung.

Bahkan, semasa 'island hopping', para pengunjung berpeluang melakukan kegiatan snorkel dan mendayung kayak. Pada saat itulah, mereka dapat melihat sendiri keindahan laut di sekitar Belitung yang dipenuhi dengan spesies tumbuhan laut dan ikan-ikan.

Kurang tujuh bulan lalu, syarikat Billiton turut membuka Eco Beach Tent, iaitu sebuah lokasi seakan-akan resort di Tanjung Kelayang, sebuah kawasan di pantai Belitung.

"Bahan-bahan yang dipakai untuk membangunkan tempat penginapan di sini adalah bahan-bahan kitar semula dan 'upcycle'. Misalnya, atap-atap rumah diperbuat daripada bahan yang sebelum ini dari hartanah hotel-hotel di Jakarta," kata Cik Ria Indra, seorang pegawai pemasaran di Beach Tent.

Kaedah 'upcycle' sedikit berbeza daripada kaedah kitar semula yang biasa. 'Upcycle' bermaksud semua bahan hanya diubah dan digunakan tanpa sebarang proses kimia atau kitar semula; sekaligus mengurangkan lagi pengeluaran karbon atau sebarang bentuk pencemaran.

Tempat beristirahat dan makan bagi para pelancong menyaksikan matahari terbenam. 

Tempat penginapan itu dibangunkan dengan terperinci sekali sehingga sistem pemanasan air juga menggunakan sumber-sumber semula jadi. Pengunjung hanya perlu menunggu antara lima hingga 10 minit untuk mandi dengan air panas kerana sistem pemanasan airnya menggunakan sabut kelapa!

AJAK PELANCONG KENALI FLORA-FAUNA, BERDEPAN CABARAN

Selain menjalankan usaha-usaha mengekalkan keanggunan pulau-pulaunya, para penduduk tempatan giat mengajak para pelancong ke tempat-tempat semula jadinya.

Jika anda ke Bukit Peramun misalnya, anda akan menemui bermacam-macam spesies tumbuhan yang digunakan dukun-dukun tempatan. Pastinya, selepas mendaki bukit itu, anda juga dapat menyaksikan pemandangan yang sangat indah lagi memuaskan.

Pemandangan di puncak Bukit Peramun. 

Pengalaman anda akan lebih manis lagi jika anda berjaya mengesan spesies monyet Tarsius yang kian terancam.

"Kita menjaga 'geotourism' ini kerana ia salah satu dari bentuk budaya yang cocok untuk Belitung di mana kita mempunyai keunikan geologi, biologi dan budaya yang kita jaga, sehingga orang tidak akan pernah bosan untuk datang ke wilayah ini," kata Encik Veri Yadi seorang ahli geologi asal Belitung.

Pastinya, ada cabaran bagi setiap usaha.

BERITAmediacorp difahamkan masih ada dalam kalangan pelancong yang kadang-kala membuang sampah sembarangan di pulau itu.

"Saya sedih lihat sampah dan plastik yang dibuang ke laut sehingga kadang-kadang kita, akhirnya bilang sama para tetamu: 'Come on, let’s pick up the trash' (Ayuh pungut sampah itu.)," kata Cik Ria.

Tidak itu sahaja, para pelabur dan peniaga tempatan juga perlu terus-menerus mencari cara mengekalkan keindahan pulau itu meski perlu menawarkan kemudahan dan daya tarikan untuk menjana pendapatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan