Images
  • doctor generic
    (Gambar hiasan: Mediacorp)

Membesar di kawasan menghijau boleh kurangkan masalah pernafasan

NORWAY: Satu kajian terkini yang dibentangkan di Kongres Antarabangsa Persatuan Pernafasan Eropah 2018 mendapati bahawa peluang membesar di kawasan-kawasan yang dipenuhi kehijauan mungkin ada kaitan dengan pengurangan masalah sistem pernafasan ketika sudah dewasa.

Dapatan terbaru itu hasil daripada kajian antarabangsa RHINESSA, yang menyelidik kesihatan paru-paru dib kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di tujuh negara Eropah.

Ia dijalankan oleh para pengkaji di Jabatan Perubatan Pekerjaan di Hospital Universiti Haukeland, di Norway.

Para pengkaji mengumpulkan data dari seramai 5,415 peserta yang berusia antara 18 dengan 52 tahun yang mengambil bahagian dalam kajian RHINESSA di Norway, Iceland, Sweden, dan Estonia. Mereka kemudian meneliti sejauh mana para peserta terdedah kepada tempat-tempat tinggal "menghijau" semasa mereka kanak-kanak lagi.

Maklumat mengenai pendedahan kepada pencemaran udara dari masa mereka dilahirkan sehingga berusia 18 tahun, termasuk dua saiz jirim dan gas dioksida nitrogen, turut dikumpulkan daripada 4,414 peserta yang mengambil bahagian dalam kajian di pusat-pusat Sweden.

Kumpulan itu kemudian menilai jumlah peserta yang mengalami lebih daripada tiga masalah pernafasan seperti, sesak nafas, batuk malam, 'wheezing' atau pernafasan berbunyi serta sakit semput yang bermula apabila berusia 10 tahun.

Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai akses ke ruang-ruang hijau dekat dengan rumah mereka kurang mengalami masalah pernafasan apabila dewasa manakala mereka yang terdedah kepada pencemaran udara, lebih berkemungkinan mengalami masalah pernafasan apabila dewasa kelak.

- Agensi berita/NA/tq

Top