Images
  • social meida
    Pesakit barah disaran elak guna media sosial secara berlebihan dan sebaliknya isi masa dengan menambah ilmu tentang penyakit. (Gambar: Kai Pfaffenbach/Reuters)

Media sosial boleh luntur semangat pesakit barah

KUALA LUMPUR: Bagi penghidap barah atau penyakit berbahaya lain yang berkongsi pengalaman dan rawatan mereka di media sosial, mereka boleh patah semangat dengan gurauan dan tohmahan di ruangan komen media sosial.

Mengulas lanjut, seorang pesakit barah yang kini dalam proses penyembuhan, James Oh, berkata platform media sosial boleh bertukar menjadi toksik dan memberi kesan negatif kepada pesakit.

“Pengguna media sosial (penghidap barah) berkongsi keadaan mereka sama ada ketika menerima rawatan atau dalam wad. Namun, ia mengundang pelbagai tohmahan sehingga melemahkan semangat pesakit.

"Bagi saya, perkara seumpama ini tidak patut berlaku sebaliknya masyarakat perlu menjaga adab bercakap walau sekadar di laman sosial," katanya ketika ditemui selepas pelancaran bukunya yang bertajuk 'Cancer: My Wake Up Call’ pada Khamis (15 Nov).

Berkongsi pengalaman melawan barah perut, Encik Oh berkata untuk menjauhi elemen negatif itu, pesakit barah perlu mengelak daripada ketagihan media sosial dan sebaliknya mengisi masa terluang ketika menjalani rawatan dengan membaca atau mencari maklumat mengenai penyakit itu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata beliau, yang disahkan menghidap barah perut tahap tiga pada Julai lalu, mengambil sikap menjauhkan diri daripada sebarang elemen negatif dan mendekatkan diri dengan masyarakat pesakit barah.

"Saya mula menulis buku ini ketika menerima kira-kira 12 jenis rawatan. Ia ambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk siapkan penulisan," kata anak kelahiran Pulau Pinang, yang kini menjalani rawatan tradisional terapi akupuntur.

Encik Oh berkata buku 'Cancer: My Wake Up Call' setebal 97 muka surat itu berkisar tentang perjalanan beliau ketika disahkan menghidap barah serta rawatan yang diterima. Ia dijual pada harga RM50 (S$16.40) senaskah yang boleh didapati di mana-mana kedai buku terkenal.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara (PNM), Nafisah Ahmad, berkata sebagai tanda sokongan semangat terhadap Encik Oh, pihak PNM bersetuju membeli sebanyak 509 naskah buku tersebut untuk diedarkan ke perpustakaan desa seluruh negara bermula tahun hadapan.

“Perkongsian daripada James ini amat berguna kepada kita semua. Apa sahaja penyakit perlu dihadapi dengan cekal malah perlu diingat, keluarga terdekat berperanan sebagai pembakar semangat,” katanya, yang juga memiliki anggota keluarga yang menghidap barah.

PNM sehingga kini mempunyai 892 buku berkaitan barah, kata Cik Nafisah. 

- BERNAMA/AI/ai

Top