Images
  • mcd burger
    Burger Ha Ha Cheong Gai yang mengandungi peha ayam diperap pes udang. (Gambar: McDonald's)

McDonald's sambut Hari Kebangsaan dengan burger kari dan pelbagai hidangan 'penjaja'

SINGAPURA: Sempena menyambut Hari Kebangsaan yang menjelang, restoran makanan segera McDonald's sekali lagi akan melancarkan menu istimewa yang diilhamkan daripada makanan tempatan kegemaran ramai buat tempoh yang terhad.

Kali ini, antara menu yang ditawarkan adalah Burger Kari Sarapan atau 'Breakfast Curry Burger' mengandungi daging McChicken yang disalut sos kari McDonald's dan dihidangkan dengan keju dan telur mata lembu.

Burger ini boleh dibeli pada waktu sarapan di hampir kesemua cawangan McDonald's dan menerusi khidmat penghantaran.


Bagi peminat pencuci mulut pula, McDonald's akan menawarkan sekali lagi Kek Kueh Salat yang popular yang dijual di semua cawangan McCafe. Ini menyusuli pelancaran aiskrim berperisa durian minggu lalu, iaitu D24 Durian McFlurry.

Dua lagi hidangan istimewa dilancarkan sempena ulang tahun Singapura ke-53 tahun ini, iaitu Burger Ayam Ha Ha Cheong Gai dan paha (drumlets) Ayam Ha Ha Cheong Gai yang berupa ayam diperap dengan pes udang.


Burger Ayam Ha Ha Cheong Gai, yang dilancarkan juga sempena Festival Makanan Singapura 2018, mengandungi paha ayam yang diperap dengan pes udang serta disalut habuk roti dan sos mayones berperisa udang.

Menu baru itu dilancarkan hari ini (10 Jul) dan boleh didapati di semua cawangan McDonald's dan menerusi khidmat penghantaran.

Ini merupakan kali kedua McDonald's melancarkan menu yang diilhamkan citarasa setempat. Ogos tahun lalu, rangkaian restoran tersebut melancarkan burger Nasi Lemak dan Chendol McFlurry yang begitu laris sehingga habis dijual dalam masa dua minggu.

- CNA/TQ/tq

Top