Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mati pucuk mungkin simptom sakit jantung

Menurut pakar perubatan, disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk yang menjejas kehidupan seksual berjuta-juta lelaki di seluruh dunia, boleh menjadi petanda atau amaran awal berkaitan penyakit jantung.

Anggaran Waktu Membaca:
Mati pucuk mungkin simptom sakit jantung

Gambar fail seorang doktor. (Gambar: AFP/Joe Raedle)

Diterbitkan : 27 Jul 2018 12:06PM Dikemas Kini : 27 Jul 2018 12:14PM

KUALA LUMPUR: Disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk merupakan masalah kesihatan yang menjejas kehidupan seksual berjuta-juta lelaki di seluruh dunia. Keadaan ini boleh menjadi petanda atau amaran awal berkaitan penyakit jantung, kata pakar perubatan.

Pakar Urologi Pusat Pakar UM (UMSC) Profesor Madya Dr Ong Teng Aik berkata: “Jika seseorang lelaki itu mengalami ED, dia tidak boleh mengabaikan tentangnya. Ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius, yang bukan sahaja melibatkan zakar tetapi juga jantung atau otak.

Sekiranya darah kurang disalurkan ke organ tertentu, maka organ berkenaan akan menghadapi masalah.

"Jika darah kurang disalurkan ke zakar, seseorang lelaki itu akan mengalami ED dan jika darah kurang disalurkan ke jantung, dia mungkin mengalami serangan jantung. Sekiranya kurang bekalan darah ke otak, dia boleh diserang angin ahmar, " jelasnya.

INSIDEN ED

ED berlaku akibat peningkatan usia dan lazimnya dialami mereka yang sudah berumur, kata Dr Ong, yang memetik kajian saintifik bandar-luar bandar yang dijalankan beliau dan pasukannya di Malaysia pada 2008 dengan melibatkan 350 orang dewasa.

Tujuh puluh peratus daripada responden itu, yang berumur antara 50 hingga 60 tahun, mengalami ED.

Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah berkata ED menjadi semakin teruk dengan peningkatan usia selain ia berkait rapat dengan penyakit jantung.

"Janganlah keliru antara ED atau mati pucuk dengan libido (nafsu berahi) atau keinginan mendesak. Ramai yang mempunyai libido atau keinginan mendesak untuk melakukan hubungan seksual, tetapi mereka tidak dapat mengekalkan ketegangan ereksi dengan secukupnya," katanya kepada Bernama semasa temu bual itu.

Beliau berkata kebanyakan pesakitnya yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung pasti bertanya tentang apa yang akan berlaku pada gaya hidup mereka nanti, hubungan dengan pasangan atau sama ada mereka boleh bersukan.

PESAKIT BERISIKO TINGGI

Ini mendorong Dr Ramesh dan pasukannya untuk menjalankan kajian pada 2005 di pusat itu, yang kemudiannya dibentangkan di Washington pada 2008.

Daripada kajian terhadap 510 pesakit lelaki berisiko tinggi yang berumur antara 36 hingga 92 tahun dan mempunyai penyakit jantung, sebanyak 90 peratus didapati mengalami ED.

"Dua pertiga daripada mereka sebenarnya menyatakan bahawa ED penting untuk menjalani kehidupan (seksual) yang memuaskan. Berdasarkan sejarah kesihatan mereka, masalah ED bermula sebelum mereka menghidapi penyakit jantung," kata Dr Ramesh.

Beliau berkata gangguan seksual tidak memberi kesan langsung kepada jantung kerana ia mungkin berlaku akibat sebab lain termasuk trauma pada tulang belakang, ubat-ubatan tertentu yang boleh menjejas kumpulan usia lebih muda serta mereka yang mengalami masalah psikologi.

Serangan jantung mempunyai kaitan dengan saluran darah ke jantung manakala serangan angin ahmar pula berkaitan dengan saluran darah ke otak. Semua saluran darah bersaiz kecil.

ATHEROSKLEROSIS - LEMAK DALAM SALURAN DARAH

Dr Ramesh berkata jika lemak mula terbentuk di dalam saluran darah atau apa yang disebut sebagai aterosklerosis, perfusi aliran darah ke organ seperti zakar akan berkurangan dan pesakit boleh mengalami disfungsi erektil.

Atherosklerosis adalah gangguan umum yang menjejaskan arteri organ-organ pada kadar yang sama.

"Kadang kala anda mungkin tidak tahu yang ia mula terbentuk secara perlahan-lahan di dalam jantung. Apa yang sebenarnya berlaku adalah pesakit-pesakit ini akhirnya menunjukkan beberapa simptom selepas bertahun-tahun mengalami ED," jelasnya.

"Secara puratanya, ED mendahului penyakit jantung dalam masa kira-kira tiga tahun. Ramai pesakit yang jantungnya tersumbat sering mengalami serangan jantung secara tiba-tiba dan ini dapat dicegah jika kita dapat menyaring mereka yang mengalami pra-ED. Walaupun ED tidak membunuh, tetapi penyakit jantung boleh menyebabkan kematian," tegasnya.

SEBABKAN KEMATIAN

Dr Ramesh juga memberitahu bahawa jika pesakit mempunyai ED, doktor akan memeriksa sama ada jantungnya dalam keadaan baik. Pemeriksaan itu mudah dan kos efektif serta dapat mencegah kematian dan kehilangan pendapatan akibat serangan jantung.

"Sebaik sahaja seseorang diserang sakit jantung, dia mungkin mengalami kegagalan jantung. Walaupun selamat, kehidupan peribadinya mungkin terjejas malah dia mungkin tidak dapat bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga,” katanya.

Mengenai sama ada ED juga mempunyai kaitan dengan penyakit lain, Dr Ramesh berkata kebanyakan pesakit mempunyai apa yang dikenali sebagai morbiditi bersama. Mereka mudah menghidapi penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi.

"Kami mendapati selepas mereka yang mengalami ED menjalani ujian darah, barulah mereka tahu yang mereka menghidapi kencing manis atau tekanan darah tinggi.

“Secara umumnya mereka sakit dan berpotensi menjadi lebih sakit berbanding orang lain. Adanya ED menunjukkan keadaan kesihatan yang tidak baik," kata beliau.

MENDERITA BERTAHUN-TAHUN

Dr Ong berkata: "Ramai pesakit yang menderita bertahun-tahun lamanya. Mereka mula mengalami ED sebelum mengetahui yang mereka juga menghidapi penyakit jantung. Jadi, jika kita dapat mengenal pasti pesakit-pesakit ini, kita dapat membantu mereka lebih awal. Inilah mesej utama kami.”

Ditanya sama ada ED memberi kesan kepada golongan muda, beliau berkata insiden itu rendah kerana mereka tidak mengalami manifestasi penyakit saluran darah pada usia muda seperti aterosklerosis.

"Apabila semakin berusia, mereka akan menghadapi masalah dengan saluran darah, menghidapi kencing manis, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi," kata Dr Ong.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan