Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Masih ada pesakit yang enggan jalani rawatan barah

Dengan kemajuan teknologi, pesakit barah boleh menerima rawatan. Malah, jika dikesan awal, mereka boleh dirawat. Namun, ia sudah menjadi suatu perkara biasa bagi para pesakit untuk menolak rawatan yang sedia ada.

Anggaran Waktu Membaca:
Masih ada pesakit yang enggan jalani rawatan barah

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 30 Apr 2018 12:33PM Dikemas Kini : 30 Apr 2018 12:36PM

SINGAPURA: Dengan kemajuan teknologi, pesakit barah boleh menerima rawatan. Malah, jika dikesan awal, mereka boleh dirawat. Namun, ia sudah menjadi suatu perkara biasa bagi para pesakit untuk menolak rawatan yang sedia ada.

Menurut seorang pakar onkologi di Pusat Barah Singapura, Dr Ravindran Kanesvaran, sekitar 20 peratus pesakit menolak untuk menjalani rawatan semasa pertama kali bertemu dengan doktor masing-masing atas pelbagai sebab.

Sesetengah pesakit memilih untuk menyerah kepada takdir. Ada juga bertanggapan negatif terhadap rawatan yang ditawarkan dan berfikir bahawa keadaan mereka akan semakin memburuk selepas menjalani rawatan. Anggota keluarga dan penjaga mereka juga kadangkala menjadi 'halangan' bagi mereka untuk mendapatkan rawatan.

Seorang pakar perubatan di hospis Persatuan Barah Singapura (SCS), Dr Teoh Ren Shang, mendedahkan, pesakit yang sering menolak rawatan juga tidak selalunya pesakit yang mengalami barah peringkat akhir seperti yang dijangkakan. Sebilangan mereka juga masih di peringkat awal penyakit barah dan mereka menolak untuk menjalani rawatan, kata beliau.

Sesetengah pesakit yang percaya bahawa rawatan akan memburukkan keadaan mereka mungkin memilih untuk mendapatkan rawatan alternatif (CAM), tambah beliau. Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pesakitnya yang memerlukan jagaan paliatif memilih untuk mendapatkan gabungan rawatan CAM dan mengambil ubat-ubatan.

Ini bukan sesuatu yang unik hanya di Singapura saja. Satu kajian di Kanada misalnya, mendapati lebih separuh pesakit barah payu dara (58 peratus) yang disarankan untuk menjalani rawatan oleh doktor, memilih untuk menjalani rawatan lain.

Namun, yang membimbangkan, satu lagi kajian mendapati mereka yang menolak rawatan seperti disarankan oleh pakar doktor, peluang untuk hidup lebih tipis daripada pesakit lain. Peluang mereka untuk terus hidup selama lima tahun lagi hanya 43 peratus manakala pesakit lain mempunyai peluang sebanyak 82 peratus.

Pesakit yang hanya bergantung kepada CAM "mungkin terdengar tentang kesan sampingan yang tidak diinginkan daripada rawatan-rawatan yang mereka perlu jalani, daripada teman-teman atau orang tersayang". "Mereka yang menyampaikannya mungkin mengalami pengalaman di mana seseorang kenalan mereka meninggal dunia lebih cepat daripada yang dijangkakan. Namun, pandangan ini tidak tepat, kerana punca kematian mereka adalah penyakit barah itu sendiri, bukan rawatan yang dijalaninya," kata Dr Teoh.

Satu lagi tanggapan salah pesakit ialah kesakitan mereka akan melarat selepas menjalani rawatan, kata Dr Kanesvaran.

KEMURUNGAN YANG TIDAK DIKESAN AKAN PENGARUHI KEPUTUSAN

Kemurungan juga berpotensi mempengaruhi keputusan pesakit.

"Tetapi, dengan pengambilan ubat-ubatan, emosi mereka akan lebih baik dan pesakit akan dapat menerima rawatan dengan lebih baik. Kaunseling daripada pekerja sosial perubatan juga sangat berguna," kata Dr Kanesvaran. Beliau mengendalikan program di NCCS yang menjalankan pemeriksaan ke atas para pesakit barah lanjut usia yang berisiko mengalami kemurungan.

Menurutnya, warga emas lebih berisiko mengalami kemurungan atas sebab-sebab seperti kurang berinteraksi dengan orang lain, masalah kewangan dan mengalami beberapa masalah kesihatan. Di Singapura, pemeriksaan jarang dijalankan ke atas pesakit bagi mengesan jika mereka mengalami kemurungan.

"Jika rawatan dapat membantu anda, tetapi anda menolaknya kerana rasa tertekan, anda perlu menjalani rawatan untuk masalah kemurungan (dahulu). Ini dapat mempengaruhi keputusan anda, dan meningkatkan peluang anda untuk bertahan hidup selain mempunyai mutu kehidupan lebih baik," kata Dr Kanesvaran.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan