Images
  • briyani
    (Gambar: BERNAMA)

Martin Yan iktiraf Pulau Pinang pusat makanan jalanan global

GEORGE TOWN: Seorang Master Chef selebriti Amerika Syarikat, Martin Yan mengiktiraf Pulau Pinang sebagai sebuah pusat makanan jalanan global pada Ahad (7 Okt).

Encik Yan yang dilahirkan di China merupakan seorang jururunding dan pengajar jurumasak yang amat dihormati, memuji tukang-tukang masak di Pulau Pinang yang terus mengekalkan gaya masakan jalanan selama lebih seratus tahun.

"Buat sekian lama, mereka masih memasak makanan jalanan, dan itu adalah baik. Seseorang hanya mampu berbuat demikian jika mereka memasak makanan dengan sepenuh hati dan minat untuk pelanggan.

"Saya bersetuju sepenuhnya Pulau Pinang dilabel sebagai syurga makanan jalanan," katanya kepada para wartawan selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menutup pertandingan masakan, 'Battle of the Chef 2018' di George Town pada Ahad.

Beliau berkata makanan jalanan adalah unik kerana orang ramai boleh melihat makanan disediakan di hadapan mereka dan menikmatinya dengan segera.

"Makanan yang disediakan di jalanan dianggap makanan jalanan tetapi jika disediakan di restoran atau hotel ia boleh menjadi makanan 'Bertaraf Michelin'," katanya.

Beliau berkata penyediaan makanan jalanan adalah unik dan ada restoran yang mula mengguna pakai konsep dapur terbuka.

Sementara itu, Encik Chow berharap Persatuan Jurumasak Pulau Pinang dapat mendapat manfaat daripada Encik Yan dalam seni kulinari untuk melonjakkan lagi pelancongan berasaskan makanan.

Battle of the Chef yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada Ahad adalah edisi ke-17 pertandingan itu dan acara seterusnya dijangka berlangsung pada 2020.

- BERNAMA/TQ/tq

Top