Images
  • Manja Shenty
    Majalah Manja edisi bulan Disember. (Gambar: Facebook/ Manja Magazine)

Manja: Dari Majalah ke kaca TV; edisi terakhir Disember ini

SINGAPURA: Majalah Manja diterjemahkan ke program TV dan bakal menembusi kaca televisyen anda bermula 4 Januari depan.

Penghijrahan ini bagi menyediakan produk yang lebih relevan kepada masyarakat Melayu sejajar dengan peredaran landskap media dan corak pembacaan pengguna sekarang.

MANJA TV TAMPILKAN HOS BARU

Jika sebelum ini anda membelek Manja untuk mendapatkan berita fesyen dan gaya hidup, kini, pelakon Shenty Feliziana selaku pengacara, akan membawa penonton mengikuti pelbagai trend masa kini dan berita hiburan.

Dalam segmen makan, penonton diajak mencuba resepi-resipi baru dari Cef Sarah Samsul Ariffin, anak kepada cef popular, Siti Masturah Alwi.

YAKIN MANJA TV AKAN DAPAT SAMBUTAN

Ketua Penyiaran Melayu Cik Zakiah Halim yakin Manja TV bakal mendapat sambutan ekoran terbitan majalah itu sendiri sudah mendapat tempat di hati pembaca.

“Manja telah menjadi majalah hiburan dan juga gaya hidup yang agak ikonik di singapura selama lebih 16 tahun,"katanya dalam wawancara dengan wartawan BeritaMediacorp.

"Jadi kami merasakan sudah tiba masanya untuk membuat sedikit perubahan. Namun begitu, ada beberapa segmen seperti Stailista, Makan Tube, yang bakal dikekalkan. Tapi pada waktu yang sama, kami juga mengharapkan untuk menyuntik kesegaran agar dapat memenuhi citarasa generasi masa kini.”

Penonton juga boleh mengunjungi Toggle dan laman Facebook Suria untuk menyaksikan video-video eksklusif.

Rancangan 13 episod itu bakal menemui penonton setiap Rabu jam 9 malam, bermula 4 Januari.

Edisi cetak terakhir Manja bagi bulan Disember pula mula dijual esok (24 Nov). 

- BERITAMediacorp/ru

Top