Images
  • depression
    Gambar hiasan. (Gambar: merdeka.com)

Makan 'junk food' meningkatkan risiko kemurungan, kenapa?

LONDON: Sering makan 'junk food' atau makanan rendah khasiat bukan sahaja menimbulkan pelbagai penyakit. Satu kajian baru mendapati ia juga meningkatkan risiko seseorang itu mengalami kemurungan.

The Guardian melaporkan bahawa para pengkaji dari United Kingdom, Sepanyol dan Australia memeriksa 41 kajian yang dijalankan sebelum ini, yang mempunyai kaitan antara diet dengan masalah kemurungan, dengan lebih 32,000 peserta dari UK, Amerika Syarikat, Perancis, Sepanyol dan Australia.

Ketua kajian tersebut, Dr Camille Lassale, berkata bahawa diet yang buruk boleh mengakibatkan radang sistematik, yang boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami kemurungan.

Makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi, gula atau diproses terlalu lama boleh mengakibatkan keradangan dalam tubuh, yang dikenali juga sebagai radang sistematik.

Merokok, pencemaran, obesiti dan kurang bersenam boleh mencetuskan keradangan.

Apabila molekul-molekul yang boleh mencetuskan keradangan disalurkan ke bahagian otak, ia boleh menjejas molekul yang mengawal perasaan seseorang.

Menurut Dr. Cosmo Hallstrom, seorang pakar mengenai kemurungan dari Royal College of Psychiatrists di London, kimia dalam perut sama seperti yang terdapat dalam otak. "Jadi, tidak mengejutkan jika bahan-bahan yang boleh mempengaruhi perut juga boleh mempengaruhi otak," beliau menambah.

Para pengkaji berkata diet yang tidak berkhasiat juga mempunyai kaitan dengan kemurungan pada tahap awal, sambil mengatakan bahawa kajian tersebut mengecualikan individu-individu yang mengalami kemurungan pada awal kajian itu.

- Agensi berita/NA/na

Top