Images
  • ikan kembung
    Ikan kembung (Gambar: Shutterstock)

Makan ikan kurangkan simtom semput dalam kalangan kanak-kanak

SYDNEY: Memakan ikan seperti salmon, trout dan sardin boleh mengurangkan gejala semput pada kanak-kanak. Demikian menurut satu penyelidikan oleh Universiti La Trobe Australia.

Ketua penyelidik, Maria Papamichael, berkata hasil kajian yang diterbitkan pada Isnin (5 Nov) itu mendapati diet sihat menjadi terapi paling terbaik untuk kanak-kanak yang menghidap semput, lapor agensi berita Xinhua.

"Kita sedia maklum diet tinggi lemak, gula dan garam boleh mempengaruhi perkembangan asma dan ia boleh dihalang menerusi pengambilan makanan sihat," katanya.

Daripada 64 kanak-kanak mengalami asma ringan yang mengambil bahagian dalam penyelidikan itu, sebahagian mengamalkan diet tradisional mediterranean berasaskan tumbuhan dan minyak ikan, manakala selebihnya lagi mengamalkan diet biasa.
Mereka yang mengikuti diet Mediterranean menunjukkan penurunan signifikan dalam radang bronkus.

"Ikan berlemak tinggi dalam asid lemak omega-3 mempunyai sifat anti-radang," jelas Papamichael.

Menurut Profesor Bircan Erbas, dari Sekolah Psikologi dan Kesihatan Awam La Trobe, "semput adalah penyakit pernafasan paling biasa di kalangan orang muda dan kebanyakan kanak-kanak seringkali dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital disebabkan serangan semput".

"Jadi adalah penting untuk kita mencari terapi baharu yang boleh kita gunakan bersama ubat-ubatan asma konvensional," kata Erbas.

- BERNAMA/TQ/tq

Top