Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mahu memandu sendiri semasa melancong? Ini 5 tips agar anda selamat...

Jjika tidak biasa dengan selok-belok dan peraturan jalan raya asing, ia agak mencabar dan mungkin boleh membahayakan nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahu memandu sendiri semasa melancong? Ini 5 tips agar anda selamat...

Gambar arkib kemalangan di New Zealand. (Gambar: Amas Chapple/NZ Herald/AFP)

BERITAmediacorp: Tahukah anda, rakyat Singapura yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di New Zealand semasa memandu sendiri, adalah ke empat paling ramai berbanding rakyat negara-negara Asia lainnya.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan New Zealand pada tahun 2017 itu, China menduduki tangga teratas, diikuti dengan India dan Filipina.

Memang ada banyak sebab sesetengah orang memilih untuk memandu sendiri kenderaan semasa melancong. Antaranya, dengan memandu sendiri sahaja, para pelancong dapat benar-benar meneroka sesebuah negara. Malah, kebebasan untuk bergerak ke mana-mana tanpa had waktu, memilih laluan sendiri atau berhenti pada bila-bila masa dan di mana sahaja, menawarkan suatu pengalaman yang jauh lebih menyenangkan.

Namun, jika tidak biasa dengan selok-belok dan peraturan jalan raya asing, ia agak mencabar dan mungkin boleh membahayakan nyawa.

Contohnya, baru-baru ini (24 Nov) lima warga Singapura terbabit dalam kemalangan jalan raya di Australia, dengan seorang daripada mereka terkorban. Pemandu kereta berkenaan, Nasuha Nasser, 21 tahun, didakwa di mahkamah Australia kerana dituduh memandu dengan cuai dan berbahaya.

Pada 2017, seorang pemandu lelaki rakyat Singapura maut dalam satu kemalangan di utara Perth, Australia, apabila keretanya yang turut dinaiki isteri dan dua orang anaknya bertembung dengan sebuah kereta yang lain. Manakala pada 2016, lima rakyat Singapura cedera di wilayah Victoria, Australia, dalam pelanggaran membabitkan dua buah kereta. Memang, malang tidak berbau.

New Zealand. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

10 PUNCA UTAMA PEMANDU ASING KEMALANGAN

Menurut Kementerian Pengangkutan New Zealand, ini merupakan 10 punca utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya di kalangan para pemandu warga asing di New Zealand, dari tahun 2012 hinggalah 2016:

1. Pemandu hilang kawalan
2. Gagal ubah suai kepada peraturan trafik & keadaan di NZ
3. Gagal berhenti atau beri jalan
4. Tidak nampak pihak lain
5. Tumpuan berbelah bagi
6. Memandu terlalu laju bagi keadaan jalan
7. Terlalu himpit kiri
8. Pemandu penat atau tertidur
9. Gagal kekal di kiri jalan raya
10. Kurang pengalaman

5 TIPS MEMANDU DI NEGARA ASING

BERITAmediacorp bertemu dengan seorang anak kelahiran Singapura yang kini menjadi pemandu pelancong dan pemandu upahan di New Zealand, Encik Saifudin Abu, dan mendapatkan lima tips atau petua berguna bagi para pelancong yang ingin memandu sendiri.

Bekas pegawai polis Singapura dan New Zealand itu sudah hampir 10 tahun bermastautin di New Zealand dan sekarang menawarkan khidmat pemandu upahan dipanggil Pengiring Travel sejak hujung tahun 2017. Malah pelanggan beliau termasuklah ahli korporat atau VIP dari Malaysia atau Brunei.

Jika anda sedang menimbangkan untuk memandu sendiri apabila melancong ke New Zealand, atau di mana-mana negara sekalipun, ini nasihat dan panduan memandu selamat dari Encik Saifudin:

New Zealand. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

1) KERETA BAGAIMANA PERLU DISEWA?

Encik Saifudin turut menekankan pentingnya memastikan kenderaan yang disewa adalah yang boleh dipercayai.

"Jangan kita nak jimatkan kos, kita ambil kereta yang tak berapa bagus. Kalau boleh ambil atau sewa kereta yang bawah dua tahun. Kalau setahun lagi bagus. Jadi kita tahu yang kereta tu masih baru, enjin dia masih baru, tayar dia masih bagus," ujar Encik Saifudin, 42 tahun.

2) ANDA JET LAG? TANGGUHKAN MEMANDU

Setelah menaiki penerbangan jarak jauh, faktor 'jet lag' perlu dipertimbangkan. Ini kerana ia boleh menjejas daya tahan seseorang dek kurangnya rehat yang mencukupi.

"Kalau tak perlu memandu pada hari itu juga, tak payah. Jadi kita jimat satu hari atau dua hari tanpa menggunakan kenderaan. Gunakan pengangkutan awam, kemudian hari ketiga baru kita sewa kereta dan teruskan perjalanan.

"Tak guna kita sewa kereta, memandu dan kita memaksa diri kita bila mata tak awas, fikiran kita letih dan kita punya bearing tu belum dapat lagi. Jadi nasihat saya untuk yang baru sampai, sekurang-kurangnya dua hari rehat, kemudian hari ketiga boleh mula memandu," ujar beliau.

3) ANDA SIHAT? MENTAL KUAT?

Encik Saifudin berkata, para pelancong perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum mereka tiba di destinasi yang ingin dituju.

Ini termasuk menilai diri sendiri sama ada yang akan memandu itu sihat atau tidak dan sama ada beliau mampu untuk memandu bagi perjalanan jauh.

"Kalau itu OK, penting buat persiapan dari segi cuaca, kelengkapan diri seperti pakaian. Sama ada musim sejuk, pakaian sejuk kita. Kita harus sentiasa bersedia berdepan dengan kejadian yang tak diingini," tambah beliau.

New Zealand. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

4) TAMBAH MASA

Encik Saifudin juga berkongsi panduan yang boleh dimanfaatkan oleh para pelancong yang mahu memandu sendiri.

Masa tambahan perlu dipertimbangkan, kata beliau, semasa memandu dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Contohnya, perjalanan dari Auckland ke Rotorua memakan masa tiga jam.

Bagi setiap jam perjalanan, perlu ditambah 15 minit. Ini bermakna, bagi setiap tiga jam perjalanan, perlu ditambah lagi 45 minit. Maka, keseluruhan masa perjalanan adalah 3 jam 45 minit.

"Ini bukan melebih-lebih dalam membuat persediaan, tapi kita mesti lihat cuaca, kerja-kerja jalan raya, perkara-perkara yang tidak diingini, kemalangan, kerosakan kenderaan mungkin boleh rosak, tayar boleh pancit. Semua perkara-perkara ini mmg di luar jangkaan," tambah beliau.

New Zealand. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

5) BELI INSURANS

Malang tidak berbau. Tiada orang yang mahu kemalangan namun kemalangan boleh berlaku. Jadi apa salahnya, mengeluarkan sedikit wang untuk mendapatkan insurans supaya tidak dibebani bayaran yang boleh mencecah ribuan dolar, sekiranya kemalangan berlaku.

"Kadang-kadang kalau kita timbang kesan-kesannya, lebih baik kalau kita belanja lebih sedikit untuk dapatkan ketenangan fikiran. Jadi kita tak terlalu fikiran, kita tak bersedia. Memang betul kadangkala, (macam) tak perlu insurans. Tapi pada saya kalau saya bawa tetamu memang saya ambil perlindungan insurans penuh untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dan di luar jangkaan kita," kata Encik Saifudin.

Demikian lima petua memandu di negara asing dari Encik Saifudin.

Menurut beliau lagi, ramai pelancong gagal membuat perancangan dengan baik sehingga menyebabkan mereka tergesa-gesa di jalan raya. Ini boleh menyebabkan memandu kereta menjadi tidak menyeronokkan.

"Kena tanya balik soalan kepada diri sendiri, adakah ini yang kita mahu untuk percutian kita? Rasa tertekan atau nak bersantai?" kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan