Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mahu kembara solo? Jangan takut, ini beberapa tips untuk anda…

Tak kira lelaki atau wanita, percutian seorang diri memerlukan keberanian, persiapan awal dan disiplin. Lebih-lebih lagi jika ia merupakan pertama kali anda ingin keluar bercuti secara solo. Tapi, tak perlu risau, bimbang atau takut. Yang penting buat ‘homework’ dulu sebelum berangkat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tak kira lelaki atau wanita, percutian seorang diri memerlukan keberanian, persiapan awal dan disiplin. Lebih-lebih lagi jika ia merupakan pertama kali anda ingin keluar bercuti secara solo. Tapi, tak perlu risau, bimbang atau takut. Yang penting buat ‘homework’ dulu sebelum berangkat.

Merasai sendiri percutian di luar negara pastinya merupakan salah satu cara untuk mengajar diri cara bagaimana kita dapat mengatur perjalanan dan menjadi seorang yang lebih berdikari selain mampu menghuraikan apa juga masalah.

Terdapat banyak yang boleh dipelajari melalui percutian solo kerana apa juga keputusan yang dibuat, ia bergantung pada diri sendiri. Bagi sesetengah orang, ia mungkin menakutkan lebih-lebih lagi jika anda seorang wanita. Tapi hakikatnya, dalam zaman moden ini, pengembara solo wanita juga semakin bertambah dan mudah untuk bertemu dan mengenali mereka semasa bercuti di sesebuah destinasi.

Apa pun, sebelum bercuti atau mulakan perjalanan solo anda pastikan untuk membuat perancangan dan persediaan awal. Tak kira lah sama ada destinasi pilihan anda merupakan pusat peranginan, Bandar atau kawasan perkampungan, yang penting percutian selamat dan mesti berseronok!

Untuk memudahkan persiapan percutian anda, ikuti senarai berikut. Bagi yang pertama kali bercuti sendiri, kami juga ingin berkongsi 5 destinasi yang ideal untuk pengembaraan solo!

8 PERKARA SEBELUM BERANGKAT

  1. Buat kajian dan selidik atau baca terlebih dulu tentang destinasi yang ingin dikunjungi. Fahami dan teliti budaya persekitaran kawasan.
  2. Pastikan jadual percutian sudah diatur dengan lancar. Contohnya tiket penerbangan, bajet anda dan tempat-tempat persinggahan yang ingin ditujui.
  3. Sebagai permulaan, bagi yang pertama kali ke luar negara secara solo, sebaik-baiknya anda pilih negara yang berhampiran.
  4. Penting untuk memastikan kelengkapan seperti ubat-ubatan di bawa bersama. Ia penting dan dapat memudahkan saat-saat kecemasan yang tidak diduga. Selain itu, pastikan juga pakaian dan wang yang mencukupi. Elakkan daripada membawa banyak wang, gunakan kad atas sebab-sebab keselamatan.
  5. Elakkan daripada membawa beg yang terlalu besar. Pilihlah beg yang mudah diangkat atau ditolak dengan saiz yang memadai agar ia memudahkan pergerakkan anda secara solo tanpa memerlukan bantuan orang lain.
  6. Jika anda bercadang untuk ke negara asing yang kurang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, sebaik-baiknya anda pelajari perkataan asas negara itu untuk memudahkan komunikasi sepanjang percutian anda.
  7. Jangan lupa untuk muat turun aplikasi telefon pintar yang dapat membantu memudahkan anda semasa di negara asing. Contohnya, aplikasi bahasa, pertukaran wang asing, tempat-tempat makanan halal dan lain-lain.
  8. Sebelum berangkat, pastikan tempat penginapan sudah ditempah dan dipastikan. Elakkan daripada membuat tempahan saat-saat akhir apabila sudah sampai ke destinasi.

7 PERINGATAN MUSTAHAK SEMASA MENGEMBARA

  1. Rancanglah atur cara (itineraries) anda dengan baik dan elakkan untuk jalan bersendirian pada waktu malam. Beli makanan dan minuman dengan secukupnya agar dapat disimpan di dalam bilik sekiranya anda terasa lapar pada waktu malam.
  2. Elakkan daripada berjalan seorang diri di kawasan atau lorong yang gelap atau tempat yang sunyi. Pastikan sekeliling anda sentiasa mempunyai ramai orang atau kedai-kedai berhampiran.
  3. Awas pergerakkan sekeliling dan pastikan tiada sesiapa yang mencurigakan atau memerhatikan anda. Jika berdepan dengan situasi yang mencurigakan, usah panik. Teruskan perjalanan di kawasan awam yang mempunyai ramai orang dan elakkan seberang komunikasi jika dihampiri.
  4. Elakkan daripada memegang dompet atau menyelitnya di poket seluar. Sentiasa peka dan letakkan barang yang dibawa di dalam beg selepang. Pastikan beg sentiasa di zip.
  5. Sentiasa berinteraksi dengan keluarga dan teman-teman rapat melalui pesanan ringkas untuk perkembangan anda dari semasa ke semasa agar mereka tahu anda sentiasa selamat.
  6. Bergaul dan berkawan dengan pengembara lain semasa pengembaraan anda. Siapa tahu mereka dapat menjadi teman pengembara atau bertukar informasi tentang tempat-tempat menarik.
  7. Sentiasa konfiden agar anda tidak mudah menjadi mangsa penyeluk saku atau sesiapa saja yang berniat jahat. Selalunya mereka akan menjadikan pelancong, terutama wanita sebagai mangsa apabila melihat mereka seperti ketakutan atau teragak-agak.

5 DESTINASI SOLO YANG IDEAL

  • Nepal

Sesuai bagi yang gemar trekking! Walaupun negeri ini pernah dilanda gempa bumi, masih terdapat banyak lagi kawasan yang tidak terjejas. Bagi anda yang merupakan trekker yang berpengalaman, anda boleh susuri Annapurna dengan mudah. Anda boleh upah saja porter atau pergi secara berkumpulan.

Tahukah anda, pengembaraan merentasi Himalaya memakan masa anggaran tiga minggu. Walaupun berjam lamanya, anda tidak akan rasa lengit kerana sepanjang perjalanan akan bertemu dengan penduduk gunung, kedai minuman dan makanan.

  • Selatan Thailand

Pantai dan pulau di sekitar Thailand ini memang tidak asing lagi bagi ramai pengembara. Tak kira sama ada anda pilih untuk ke kawasan teluk, lautan Andaman di bahagian Barat atau di Timur, yang pasti anda pasti akan tidak akan rasa kensunyian kerana akan sentiasa disapa mesra oleh penduduk setempat.

  • Rajasthan

Di sini terdapat pelbagai pilihan penginapan dengan pemandangan indah dengan harga yang sangat berpatutan. Tidak hairanlah jika destinasi ini menjadi pilihan ramai pengembara solo. Dipenuhi dengan kubu dan istana, ia mempunyai akses yang mudah untuk ke kawasan seperti Jaipur, Jodhpur dan Udaipur. Satu lagi tarikan, anda boleh cuba menunggang unta di padang pasir semasa festival unta yang selalunya diadakan pada setiap hujung tahun.

  • Pantai Timur di Australia

Terkenal dikalangan backpackers yang menggunakan jalan darat dari kawasan antara Melbourne dan Cairns, yang merupakan pintu masuk untuk ke Great Barrier Reef dan Daintree Rainforest. Sepanjang perjalanan and akan bertemu dengan ramai pengembara yang selalunya ramah tamah dan turut ingin menikmati keindahan negara ini.

  • Copenhagen

Kalau ada bajet lebih, anda mungkinmahu meneroka ibu negara Denmark. Tempatnya yang santai memberikan anda peluang untuk berjalan kaki, menaiki basikal untuk ke mana saja. Pelbagai pameran menarik dapat dilihat di muzium seni dan nikmati suasana malam yang meriah. Jika berada di sini pada musim panas, jangan lupa untuk beriadah di pantai.

Pada akhirnya, ke manapun destinasi anda bagi perjalanan solo, yang penting adalah anda benar-benar tahu apa yang anda lakukan. Punya pelan kecemasan dan tidak mudha panik. Tepuk dada tanya selera. Selamat mencuba! 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan