Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

M'sia antara 5 tempat terbaik untuk bersara

Malaysia dinamakan sebagai antara lima tempat terbaik di dunia untuk bersara, menurut International Living, sebuah pertubuhan yang membantu individu mencari tempat bersara dan peluang berhijrah. 

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia antara 5 tempat terbaik untuk bersara

Seorang lelaki berjalan melalui Menara Berkembar Petronas dari KLCC. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 04 Jan 2018 10:46PM Dikemas Kini : 04 Jan 2018 10:47PM

SINGAPURA: Malaysia dinamakan sebagai antara lima tempat terbaik di dunia untuk bersara, menurut International Living, sebuah pertubuhan yang membantu individu mencari tempat bersara dan peluang berhijrah.

Dalam Indeks Tahunan Bersara Sedunia bagi tahun 2018 yang diterbitkan pada Isnin (1 Jan), Malaysia mendapat kedudukan kelima dengan 87.7 mata, hanya empat mata di belakang Costa Rica yang mendapat tempat pertama.

Indeks tersebut menyenaraikan 24 negara persaraan terbaik dunia berdasarkan 12 ukur tara seperti kos sara hidup, khidmat jagaan kesihatan, hiburan, cuaca dan pemerintahan.

Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang menduduki 10 tempat tertinggi senarai tersebut.

Korespondan Malaysia bagi International Living, Keith Hockton, menyifatkan negara tersebut "mudah untuk pesara menyesuaikan diri, boleh berbahasa Inggeris dan sebuah negara Dunia Pertama". Beliau turut mengatakan bahawa pasangan pesara mampu hidup dengan AS$1,500 (S$1,990) sebulan, atau hidup mewah dengan AS$2,500 (S$3,320) sebulan termasuk sewa rumah.

Malaysia juga dapat mata tertinggi bagi kategori hiburan dan kemudahan disebabkan reputasinya sebagai syurga makanan di mana makanan tempatan berharga serendah AS$1.50 (S$2.00).

Dari segi khidmat jagaan kesihatan pula, Encik Hockton membuat perbandingan antara pembedahan lutut yang berharga AS$4,000 (S$5,300) di Malaysia dengan AS$45,000 (S$59,000) di Amerika Syarikat.

Namun demikian, dari segi diskaun dan faedah, terdapat ruang untuk diperbaiki di Malaysia dalam menyediakan faedah yang lebih menyeluruh untuk pesara.

Costa Rica mendapat tempat pertama dengan mencatatkan mata tertinggi bagi kos sara hidup yang rendah, keindahan alam semula jadi, juga jagaan kesihatan dan hartanah termampu. Menurut International Living, "puluhan ribu" rakyat Amerika Syarikat dan Kanada sudahpun tinggal di Costa Rica secara tetap mahupun sambilan. Sebuah pasangan boleh menyewa rumah dua bilik dengan harga AS$500 (S$660) dan belanja barangan pasar AS$25 (S$33) seminggu.

Negara-negara Asia lain yang tersenarai dalam indeks itu termasuk Thailand, Kemboja, Filipina, Vietnam dan Indonesia.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan