Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lupakan sebentar gajet, eratkan silaturrahim di Aidilfitri

Lupakan sebentar gajet pintar dan elakkan diri daripada 'terperangkap' dalam dunia tersendiri pada sambutan Aidilfitri ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lupakan sebentar gajet, eratkan silaturrahim di Aidilfitri

Gambar hiasan (Gambar: AFP/Kim Jae-Hwan)

Diterbitkan : 17 Jul 2015 09:45PM Dikemas Kini : 20 Jul 2015 11:54AM

KUALA LUMPUR: Lupakan sebentar gajet pintar dan elakkan diri daripada 'terperangkap' dalam dunia tersendiri pada sambutan Aidilfitri ini.

Itu saranan Pengarah Latihan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr Izham Nayan yang melihat gajet seumpama itu sebagai "ancaman" yang boleh mengikis komunikasi mesra sesama masyarakat di hari raya.

"Jika terperap dalam rumah menonton rancangan televisyen menarik sepanjang hari raya, itu mungkin tidaklah begitu serius kerana kita masih boleh berkumpul satu keluarga.

"Tetapi dengan telefon pintar umpamanya, ia akan menjadikan seseorang lebih individualistik meskipun berada dalam satu rumah yang sama," katanya.

Bagi Dr Izham, masyarakat harus sedar cuti bersempena hari raya adalah ruang untuk berkumpul dan berkomunikasi mengenai pelbagai perkembangan diri dan paling utama untuk bermaafan dan mungkin juga memulih hubungan yang terjejas sebelum ini.

Beliau menarik perhatian bahawa golongan muda nampak begitu cenderung menggunakan gajet pintar terutama untuk bermain pelbagai 'games' yang cukup memerlukan tumpuan.

"Mereka menjadi hamba kepada gajet tanpa mengendahkan tanggungjawab melaksanakan komunikasi sosial dengan masyarakat sekeliling terutama di hari perayaan.

"Ini satu senario yang sangat membimbangkan. Bayangkan satu keluarga yang berada di meja makan tidak berkomunikasi kerana masing-masing sibuk dengan gajet, sedangkan makan bersama ini masa untuk berkumpul dan berbual," katanya.

Dr Izham tidak menafikan bahawa gajet pintar berguna untuk kemudahan kerja serta berperanan bagi menyatukan kembali rakan-rakan lama.

"Itu memang banyak membantu tetapi jangan kita lupa, dalam keadaan tertentu respons secara fizikal antara manusia lebih penting berbanding respons melalui alam maya. Kesannya berbeza," jelasnya.

Justeru, beliau berkata penting bagi masyarakat kini melupakan seketika segala 'keseronokan' teknologi dalam menyambut Aidilfitri supaya amalan mengeratkan silaturrahim semasa hari mulia ini tidak terus hambar.

"Lupakan sebentar gajet, jangan biarkan atuk, nenek kita pun tidak dapat bermesra dengan cucu, sebab cucu lebih 'mesra' dengan gajet mereka," katanya. 

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan