Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lindungi anak anda dari kegagalan bukan cara yang terbaik

Sudah menjadi lumrah untuk ibu bapa melindungi anak-anak mereka daripada sebarang kegagalan dalam hidup supaya mereka dapat membina keyakinan diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Lindungi anak anda dari kegagalan bukan cara yang terbaik

Seorang lelaki berkelah bersama anaknya di sebuah pantai. (Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 03 Aug 2018 07:16PM Dikemas Kini : 03 Aug 2018 07:22PM

PERTH: Sudah menjadi lumrah untuk ibu bapa melindungi anak-anak mereka daripada sebarang kegagalan dalam hidup supaya mereka dapat membina keyakinan diri.

Ia bagai sesuatu yang wajar dilakukan - tiada yang ingin berdepan dengan kegagalan. Ia membuat anda meragui keupayaan diri sendiri, sekaligus berasa marah dan kecewa kerana perlu melakukannya semua dari mula lagi.

Namun, kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang jarang berdepan dengan kegagalan dalam hidup akan menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah.

Dalam usaha ibu bapa mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik dan memastikan anak-anak mereka tidak gagal dalam apa jua yang dilakukan mahupun inginkan, mereka sebenarnya menyekat peluang mereka untuk menimba pelajaran hidup yang bermakna.

Kegagalan sememangnya memberi pengajaran yang tidak boleh dipelajari melalui cara lain. Kegagalan seperti satu 'bonus' yang sering disalah anggap sebagai pengalaman buruk. Kegagalan tidak bermakna seseorang tidak boleh mencapai kejayaan tetapi sebahagian daripada proses sebelum mencapai kejayaan yang diinginkan.

HIKMAH DI SEBALIK SETIAP KEGAGALAN

Apabila anda gagal, anda akan mengalami segala perasaan negatif seperti rasa kecewa atau marah. Kanak-kanak yang terlindung daripada perasaan seperti ini, satu ketika nanti akan berasa seolah-olah tidak dapat melakukan apa-apa jika berdepan dengan kegagalan.

Dalam erti kata lain, kegagalan bukanlah sesuatu yang perlu dielak. Sebaliknya, kanak-kanak perlu belajar secara bertahap-tahap tentang bagaimana mereka boleh menangani masalah masing-masing.

Tidak memberi pendedahan seumpama ini akan lebih meningkatkan kerentanan seseorang dan bukan membina keupayaan diri. Jika golongan dewasa terlalu mencuba untuk melindungi anak-anak mereka daripada kegagalan, anak-anak mereka kelak akan berasa tidak berdaya apabila berdepan dengan masalah.

(Gambar hiasan: Unsplash/Arwan Sutanto)

(Gambar hiasan: Unsplash/Arwan Sutanto)

Antara hikmah di sebalik kegagalan adalah kanak-kanak akan mempelajari tentang kesan setiap keputusan yang diambil. Ia satu konsep yang mudah seperti yang dibentangkan oleh para pakar: "Jika saya lakukan X, Y akan berlaku". Jika saya tidak belajar, saya gagal; jika saya tidak berlatih, saya akan kehilangan peluang untuk ikut serta dalam satu pasukan.

Membuka peluang kepada kanak-kanak untuk mengalami sendiri kegagalan dalam hidup mereka akan melatih mereka untuk membuat keputusan yang bijak.

Jika kegagalan terus dianggap sebagai kayu ukur keupayaan diri dan perlu dielakkan, kanak-kanak akan mula mengelak semua masalah yang mungkin boleh mengajar mereka perkara yang bermakna.

Kegagalan hanya akan menjadi satu anugerah jika kanak-kanak melihatnya sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu dan bukan sebagai hambatan. Ini semua bergantung kepada setiap individu.

(Gambar hiasan: MariMari1101/Pixabay)

(Gambar hiasan: MariMari1101/Pixabay)

Kanak-kanak dengan pemikiran terbuka boleh meningkatkan keupayaan diri dengan usaha yang gigih. Mereka yang sudah menetapkan pemikiran mereka pula akan berfikir mereka dilahirkan dengan keupayaan tertentu yang tidak boleh dikembangkan lagi.

BERI PUJIAN ATAS USAHA MEREKA

Apabila anak anda gagal dalam usahanya untuk mencapai sesuatu, anda boleh memberi kata-kata perangsang untuk membangkitkan semangatnya. Misalnya, ketika anak anda gagal memenangi satu perlumbaan.

Namun, anda perlu memujinya berdasarkan usahanya dan tidak menumpukan perhatian kepada kebolehannya mahupun memujinya secara berlebih-lebihan.

Kajian mendapati, kata-kata pujian yang berbunyi seperti "anda sudah lakukan yang terbaik" akan mendorong kanak-kanak untuk mencuba dengan lebih gigih lagi berbanding kata-kata pujian yang menyentuh tentang kebolehan mereka. Ini kerana, kanak-kanak mempunyai tanggapan bahawa mereka boleh mempertingkatkan lagi usaha tetapi tidak boleh 'merubah' kebolehan mahupun keistimewaan masing-masing.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan