Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lestarikan sajian Melayu agar tak luput dek zaman

BERITAMediaCorp memaparkan usaha dua individu untuk melestarikan makanan dan proses menyediakan sajian masyarakat Melayu agar tidak luput dek zaman.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Makanan memainkan peranan penting dalam menyatakan identiti sesebuah masyarakat. Bukan sahaja ia memaparkan citarasa sesuatu kaum, tetapi turut mencerminkan sejarah dan pengaruhnya dalam masyarakat sekeliling.

Dalam Segmen Gaya Hidup kali ini, BERITAMediaCorp memaparkan usaha dua individu untuk melestarikan makanan dan proses menyediakan sajian masyarakat Melayu agar tidak luput dek zaman.

Kerencaman makanan di Singapura boleh dikaitkan dengan kepelbagaian kaum di Asia yang pada awalnya bertapak di sini.

Bagi masyarakat Melayu, terdapat makanan-makanan tertentu yang dikaitkan dengan masyarakat itu sahaja. Contohnya, 80 peratus kuih tradisional menggunakan bahan asas santan, kelapa, gula melaka dan daun pisang.

Namun, arus pemodenan yang pesat dikhuatiri akan menyebabkan warisan makanan Melayu hilang tanpa disedari.

Bimbang ia mungkin akan berlaku, cef Siti Mastura Alwi mengambil inisiatif untuk membuka kelas membuat kuih tradisional.

Kata Cef Siti: "Saya rasa sejak kebelakangan ini, terlalu banyak perhatian tertumpu kepada kuih-muih moden seperti kek cawan dan tiramisu.

"Saya mengajar satu kumpulan anak-anak muda - pada awalnya mereka agak bosan, tapi bila mereka telah melakukannya (membuat kuih tradisional), dan merasanya, mereka kata tak sangka kuih ini sedap." 

Sejak kelasnya dibuka lebih sedekad lalu, Cef Siti sudah melatih hampir 4,000 orang dari pelbagai lapisan usia, termasuk para pelajar maktab rendah.

Bahkan Cef Siti berkata cara-cara tradisional masyarakat Melayu juga harus dipertahankan. Ini kerana sebahagian kemahiran itu hampir pupus kerana tidak dianggap penting oleh masyarakat Melayu itu sendiri - misalnya, menerusi cara lipatan daun pisang, kita boleh mengenali jenis kuihnya.

Mengulas fenomena sajian "fusion" sekarang ini, Cef Siti berkata beliau tidak menentangnya, selagi bahan dan rasa asas makanan itu dikekalkan.

Ini turut diakui Encik Mohd Hussin Abdul Kader Malim, pemilik gerai Sate Padang Alhambra, yang sudah menjual sate sejak 40 tahun lalu. Tahun lalu, ia memperkenalkan hidangan Bihun Sate, satu hidangan berasaskan sate yang diberi pengubahsuaian.

Encik Mohd Hussin berkata: "(Ilham untuk mencipta hidangan Bihun Sate datang) daripada pelanggan yang bungkus sate dan bawa balik rumah.

"Kuah sate, dia campur dengan bihun. Di situlah bermulanya. Kuah sate biasanya tak dicampurkan dengan kuah soto. Tapi, untuk membuat sate bihun, saya guna kuah soto campur. " 

Walaupun memberikan wajah baru kepada hidangan satenya, Encik Hussin masih mengekalkan keaslian hidangan satenya. Awal minggu ini, hidangan Bihun Sate beliau menjadi antara lima makanan jalanan Singapura yang dipaparkan dalam pameran Deliciously Singaporean bagi meraikan makanan jalanan tempatan.

Dengan sedikit pengubahsuaian, Encik Hussin percaya makanan tradisional dapat terus bertahan - dan begitu juga dengan kuih tradisional.

Ada pelbagai cara untuk mengubahsuai kuih tradisional. Misalnya, kuih nagasari yang biasanya dibungkus dengan daun pisang, boleh juga dibungkus dengan plastik.

Bagi kuih bakar pula, ia biasanya diperbuat oleh ubi kentang ataupun keledek, namun kini, biskut 'digestive' juga boleh digunakan.

Walau apapun yang dilakukan, rasa dan rupanya harus kekal seperti kuih tradisional biasa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan