Images
  • healthy catering
    Encik Amrin Amin melihat contoh hidangan sihat oleh penyedia khidmat katering majlis perkahwinan (Gambar: HPB)

Lebih banyak penyedia katering tawar menu majlis kahwin lebih sihat

SINGAPURA: Bakal mempelai yang sedang membuat persiapan untuk "naik pelamin" mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyajikan menu sihat di majlis walimatulurus mereka.

Hujung minggu lalu (8 Sep), 23 penyedia khidmat katering menyajikan pelbagai masakan Melayu popular yang sihat dalam pameran The Wedding Asia 2018 di Singapore Expo.

Jumlah itu satu tambahan berbanding 19 pada April lalu.

Turut hadir di acara itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin. Encik Amrin mencuba sendiri pelbagai hidangan yang biasa disajikan di majlis-majlis perkahwinan, namun dalam versi lebih sihat.

Para pengunjung juga berpeluang menikmati beraneka hidangan yang telah disediakan mengikut Garis Panduan Katering Sihat yang diperkenal Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

Ini termasuk menggunakan bahan-bahan bijirin, nasi perang dan minyak yang sihat dalam masakan selain memilih buah-buahan untuk pencuci mulut.

Bagi menggalak masyarakat Melayu mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat, HPB bekerjasama dengan 107 syarikat penyedia makanan untuk menawarkan menu lebih sihat. 23 daripadanya menawarkan menu khusus untuk majlis perkahwinan.

Penyertaan HPB dalam pameran perkahwinan hujung minggu lalu adalah sebahagian usahanya untuk menyediakan sekitaran sokongan bagi menggalak masyarakat Melayu menjalani kehidupan bebas daripada penyakit kencing manis.

Dalam kalangan masyarakat Melayu apabila usia menjangkau 60-an tahun ke atas, separuh akan menghidap masalah kencing manis.

Faktor-faktor seperti makanan yang mempunyai kandungan kolesterol dan lemak yang tinggi, biasa terdapat dalam masakan Melayu. 

- BERITAmediacorp/tq

Top