Images
  • smoking
    (Gambar: Roslan Rahman/AFP) 

Larangan merokok di tempat awam kurangkan tekanan darah bukan perokok?

AMERIKA SYARIKAT: Sejauh manakah bacaan tekanan darah anda bergantung kepada tempat anda tinggal? Satu kajian Amerika Syarikat membayangkan bukan perokok yang ditinggal di kawasan yang mana merokok dilarang di tempat-tempat awam, mungkin mempunyai tekanan darah lebih rendah berbanding bukan perokok yang tidak dilindungi undang-undang sedemikian.

Dasar bebas asap rokok sebelum ini dikaitkan dengan kurangnya rawatan di hospital bagi penyakit jantung dan risiko serangan jantung. Namun, kurang diketahui kesan undang-undang sedemikian terhadap tekanan darah, terutamanya bagi bukan perokok.

Para pengkaji meneliti data 2,606 orang dewasa yang bukan perokok dalam kajian mengenai Risiko Penyakit Jantung dalam kalangan Orang Muda (CARDIA). Kajian itu bagi melihat sama ada terdapat kaitan antara larangan merokok di peringkat negeri, dan bandar dengan tekanan darah para peserta.

Kajian itu mendapati mereka yang tinggal di tempat-tempat yang dilarang merokok dikaitkan dengan tekanan darah sistolik yang lebih rendah. Bagaimanapun, larangan merokok didapati tidak mempengaruhi tekanan darah diastolik yakni tekanan semasa jantung berehat atau risiko mengalami tekanan darah tinggi.

Namun, keadaan itu tidak dijelaskan dalam kajian yang dijalankan Cik Stephanie Mayne semasa beliau menuntut di Sekolah Perubatan Feuinberg di Universiti Northwestern, Chicago.

Ia juga tidak membuktikan sama ada atau bagaimana larangan merokok, secara langsung boleh mengurangkan tekanan darah.

Meskipun demikian, hasil kajian itu menyokong dapatan yang membayangkan bahawa undang-undang larangan merokok di tempat awam memberi kesan yang positif terhadap kesihatan jantung, menurut Encik Judith Prochaska, seorang pengkaji di Universiti Stanford di California, yang tidak terlibat dalam kajian itu. 

- Reuters/NA/na

Top