Images
  • main kuih
    Aneka kuih-muih moden dan tradisional dalam bentuk unik diperkenalkan, saban tahun. (Gambar: BERITAMediacorp)

Kuih Raya moden disuntik elemen tradisional; diharap lestarikan warisan nenek moyang

BERITAMediacorp: Setiap kali menjelang Syawal, salah satu perkara yang menjadi 'buruan' pastinya adalah kuih-muih. Jika sebahagian orang memilih untuk membuat sendiri kuih raya mereka, sebahagian yang lain pula lebih gemar membeli sahaja - sama ada di bazar-bazar atau menerusi online.

Meskipun kuih-muih yang dianggap sebagai tradisional, seperti tat nanas, makmur, bantal peluk saloma dan batang buruk masih menjadi pilihan wajib bagi kebanyakan orang, kita tidak boleh menafikan tarikan biskut-biskut atau kek raya moden yang kian popular. Lebih-lebih lagi dengan adanya para peniaga kecil yang memanfaatkan wadah-wadah media sosial, seperti Instagram untuk memasarkan jenis kuih-muih 'baru'.

Saban tahun, bermacam-macam jenis kuih raya moden yang timbul bak cendawan selepas hujan. Namun adakah ini bermakna, kuih-muih tradisional Melayu akan hilang ditelan zaman? Atau dapatkah ia digabungkan untuk memenuhi citarasa orang lama dan generasi muda, sekaligus melestarikan kuih-muih warisan nenek moyang kita?

BERITAMediacorp menemui tiga peniaga kuih dan kek, yang menggunakan wadah online, seperti Instagram untuk memperkenalkan kuih-muih moden dan tradisional dalam bentuk unik, untuk mengetahui pandangan mereka.

ONDEH-ONDEH BROWNIE GAMBARKAN KREATIVITI

“Kami membuat pemerhatian dan berpendapat bahawa masyarakat Singapura secara umumnya mempunyai keberanian dalam mencuba makanan yang dikategorikan sebagai "fusion food". Maka, ini juga menjadi inspirasi kami untuk mengisi pasaran dan permintaan semasa, yang ada di kalangan masyarakat Singapura. Secara ringkasnya, penghasilan brownies ini juga adalah sebagai memenuhi permintaan "fusion food" yang menjadi trend buat masa ini,” kata Cik Adibah Anuar, 32 tahun, peniaga @brownie.connoisseur.sg yang antara lain menawarkan sebanyak 12 pilihan pelbagai perisa brownie.

Selain menawarkan 12 pilihan perisa, brownie @brownie.connoisseur.sg juga 'sedap' dipandang mata. (Gambar: @brownie.connoisseur.sg)

Antara perisa brownie yang dianggap ramai sebagai tradisional ialah bandung dan ondeh-ondeh. @brownie.connoisseur.sg diasaskan ibu dua orang anak perempuan itu, pada Oktober 2015. Beliau menjalankan penghantaran sekitar 25 sehingga 35 kotak tempahan brownie dua atau tiga kali seminggu kepada para pelanggan di merata Singapura. Suri rumah sepenuh masa itu juga meluangkan masa antara lima hingga lapan jam sehari bagi menghasilkan tempahan yang diterima pada satu-satu masa selain tambahan dua hingga empat jam keesokan harinya untuk menghias, memotong dan membungkus dan lain-lain sebelum menghantar brownie tersebut.

Banyak masa dan tenaga bagi menghasilkan brownie yang berperisa ‘tradisional’. Resipi brownie bandung memakan masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan secara sempurna manakala brownie ondeh-ondeh mengambil masa sekitar sembilan bulan!

Menurut Cik Adibah: “Kepuasan yang diperoleh melalui maklum balas positif daripada beberapa kenalan dan pelanggan sedia ada yang diberikan sampel secara rawak semasa proses menetapkan resipi brownies berikut. Dengan kata lain, kami mengambil kira pendapat para responden dan secara tidak langsung melibatkan pelanggan kami dari peringkat awal penghasilan brownies berperisa tradisional ini. Proses ini penting bagi memastikan brownies kami menepati citarasa masyarakat, secara khususnya, pelanggan-pelanggan sedia ada Brownie Connoisseur dan membantu dalam teknik pemasaran kami semasa melancarkan perisa-perisa tersebut.”

Selain itu, mutu brownie juga diutamakan. Brownie bandung yang dibuat menggunakan sirap ros sebenar, maka rasanya sama seperti air bandung yang digemari masyarakat tempatan. “Asas coklat digunakan sebagai bahan utama bagi memastikan supaya konsep brownies itu ditepati. Campuran bahan-bahan yang sama dalam pembuatan ondeh-ondeh dan minuman bandung pula digunakan untuk menghasilkan rasa yang serupa seperti gula melaka dan kelapa parut sebenar, pati sirap, krimer dan lain-lain. Tidak dinafikan, warna dan rupa brownies yang bukan konvensional juga menimbulkan daya tarikan visual terhadap brownies ini,” jelas Cik Adibah.

Kini, Cik Adibah sudah mengembangkan lagi perniagaannya untuk menghasilkan brownie yang dilabel ‘Mama Brownies’. Ini bagi memenuhi keperluan golongan ibu yang menyusukan bayi mereka dengan susu badan. Brownie laktasi dihasilkan menggunakan bahan-bahan bermutu serta organik bagi merangsang kesihatan para ibu sedemikian.

'ABANG' DISANGKA 'SIS'


Pengasas @batterhalves, Muhd Hidayat Sumri sedang dalam proses menyiapkan tempahan para pelanggan. (Gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

Bagi Encik Muhammad Hidayat Sumri, 32 tahun, pula peluang menjadi seorang pembuat kuih sepenuh masa dimanfaatkan dengan menubuhkan @batterhalves pada tahun 2015. Bapa dua orang anak perempuan itu memulakan perniagaannya setelah diberhentikan kerja di sebuah firma jurubina yang menjalani proses pengecilan syarikat lewat tahun yang sama. Encik Hidayat yang tidak mempunyai sebarang pengalaman menghasilkan kuih-muih, 'bereksperimen' dengan pelbagai resipi untuk menimba dan menajamkan kemahiran sebelum mengolah resipinya sendiri, bersesuaian dengan citarasanya.

Pelbagai manisan yang ditawarkan @batterhalves. (Gambar: @batterhalves)

Antara pencuci mulut yang ditawarkan oleh @batterhalves termasuk tat nutella yang dianggap ramai sebagi tat nanas 2.0 serta pelbagai perisa ‘cookie pie’ iaitu gabungan pai dan biskut. Terdapat empat perisa – Nutella Choc Chip, Speculoos Choc Chip, Milo Crumble & Basic Choc Chip – yang dijual dalam dulang dan boleh dipotong-potong. Perisa terbaru yang dihasilkannya adalah pandan gula melaka!

“Daya tarikan kuih-muih yang diubah suai (adalah) untuk mengikut aliran masa, daya tarikannya ialah untuk menangkap generasi muda untuk menikmati kuih-muih yang lama atau yang tradisional. (Ini) kerana mereka mungkin tidak mahu mencuba kuih tradisional, sebaliknya akan mencuba versi ‘hispsterised’.

"Misalnya, tat nutella, dengan yang asli adalah tat nanas, tetapi kini terdapat tat oreo, nutella, warna pelangi. Walaupun itu benda yang sama, tapi ia menjadi daya tarikan,” kata Encik Hidayat yang menghabiskan masa dan tenaga selepas pukul 10.00 malam setiap hari untuk menghasilkan pencuci mulut bagi memenuhi tempahan yang diterima. Encik Hidayat juga perlu mengimbangi peranan sebagai seorang suami dan ayah sepenuh masa ataupun lebih dikenali sebagai ‘house husband’.

Beliau mendedahkan bahawa ramai yang tidak menyangka @batterhalves dimiliki oleh seorang lelaki yang berpotensi membentuk cabaran unik. “Mereka terperanjat yang membuat kuih adalah saya dan bukan isteri saya, jadi ia menjadi daya tarikan untuk @batterhalves. Ia aspek yang agak unik,” seloroh Encik Hidayat.

Tambah beliau: “Secara umum, ramai pelanggan saya memanggil saya ‘Sis’ di Instagram kerana lumrah bahawa kaum hawa yang membuat kuih-muih. Jadi, saya meminta tolong isteri saya untuk menguruskan komunikasi dengan para pelanggan.”

AJAR PELANGGAN BUAT KEK SENDIRI

Sesetengah pelanggan juga memlilih untuk belajar menghasilkan kuih-muih sendiri. Ini mewujudkan peluang untuk peniaga memenuhi permintaan sedemikian. Pengasas @madbattersg, Cik Nur Zahirah Syed Hamid, 28 tahun, menawarkan kelas-kelas membuat kek sejak tahun 2015.

Kelas membuat kek tat nanas yang diadakan baru-baru ini dan disertai wartawan sendiri. (Gambar: BERITAMediacorp )

“Saya lihat yang dalam pasaran tempatan, ada permintaan yang banyak untuk kek-kek halal yang berbentuk dan (mempunyai) rasa yang unik. (Selain itu,) saya lihat, generasi muda sekarang, generasi Instagram, mereka lagi tertarik dengan bentuk kek tradisional, atau perisa tradisional yang berbentuk kek. (Bagi) kek tat nanas saya, saya hanya adakan kelas di bulan Ramadan sahaja dan ia menarik golongan ibu serta (pasangan) suami isteri (untuk) datang belajar,” kata Cik Zahirah. Beliau adalah lulusan bidang Seni Pastri dan Membuat Kek dari Akademi Sunrice Global Chef, sebuah institusi kulinari tempatan.

Kek tat nanas yang hanya 'timbul' sepanjang Ramadan dan Syawal. (Gambar: Helmy/BERITAMediacorp )

Antara kek popular oleh @madbattersg ialah kek tat nanas. Kelas kek tat nanas mula diperkenalkan tahun lalu dan hanya ditawarkan sepanjang bulan Ramadan bagi memelihara keunikan kek tersebut. “Pada tahun 2016, saya dan suami saya pergi ke Jakarta dan di sana saya lihat ada banyak kuih Nestar. Kuih Nestar itu kuih tat. Maka saya pulang ke Singapura dan saya membuat kuih Nestar yang kecil untuk jadi bentuk kek tetapi rasanya sama juga dengan kuih Nestar itu, ataupun nanas,” kongsi Cik Zahirah, ibu dua orang anak perempuan. Beliau sudah mula berjinak-jinak menghasilkan kek pada umur 13 tahun! Bagi memenuhi tempahan para pelanggan, beliau menumpukan perhatian di rumah dari pukul 11.00 pagi sehingga 3.00 petang.

LUMAYAN SEPANJANG TAHUN!

Keuntungan yang diraih berganda saban tahun, malah sepanjang tahun, memandangkan ia tidak hanya terhad kepada musim-musim perayaan sahaja. @madbattersg menawarkan kelas setiap hujung minggu. Secara purata, setiap kelas tidak melebihi tiga jam dan jumlah peserta yang kecil memastikan pengalaman pembelajaran yang memuaskan para pelanggan.


Antara manisan yang dihasilkan @madbattersg. (Gambar: @madbattersg)

Menurut Cik Zahirah yang sudah berumahtangga selama 10 tahun, sejauh ini beliau sudah mengendalikan kelas yang mengajar lebih 1,000 peserta! Ia sesuatu yang tidak dijangkakan memandangkan impian semasa zaman kanak-kanak beliau adalah untuk menjadi seorang pemain luncur ataupun jurulatih sukan kasut lereng (roller blading). Dalam pada itu, kelas juga dijalankan setiap hujung minggu dalam bulan Ramadan sehingga hari-hari terakhir Ramadan selain terus menerima tempahan sehingga Syawal.

Bagi @brownie.connoisseur.sg pula, jumlah tempahan melonjak semasa hari-hari istimewa, mencakupi sambutan Hari Guru misalnya ataupun apabila perisa baru diperkenalkan. Cik Adibah yang sudah berumahtangga selama lima tahun, memilih untuk meluangkan masa berehat bersama keluarga semasa berpuasa sebelum memulakan maraton memenuhi tempahan bagi hari-hari terakhir Ramadan menjelang Syawal.

Walaupun jumlah tempahan meningkat sebanyak sekitar 50 peratus bagi @batterhalves, Encik Hidayat tetap memastikan untuk mengetepikan masa bagi waktu rehat dengan menetapkan had pada jumlah tempahan. Bagaimanapun, beliau tetap menerima tempahan sehingga Syawal supaya dapat menyiapkan kuih-muih yang ‘segar’ buat para pelanggan yang menjamu tetamu mereka, tahun ini.

INSTAGRAM TONJOL KUIH MELAYU - MODEN & TRADISIONAL - KEPADA BUKAN MELAYU

Selain meraih manfaat ekonomi menerusi jumlah pelanggan yang meningkat saban tahun, segala yang diusahakan ketiga-tiga peniaga muda itu juga menyumbang kepada pelestarian warisan budaya Melayu.

Dalam pada itu mereka juga memperkenalkan kuih-muih Melayu yang diubah suai mengikut citarasa generasi muda masyarakat majmuk seperti Singapura, yang kerapkali mahukan kelainan. Dengan anak-anak muda sekarang yang gemar memuat naik gambar-gambar atau video online, ia sekaligus dapat menonjolkan keunikan satu-satu kuih bagi tatapan dunia menerusi Instagram.

“Ia akan membuat generasi muda menghargai makanan tradisional walaupun ia telah diperbaharukan, tetapi asas ciri-ciri kuih tradisional tetap ada, seperti tat ataupun ondeh-ondeh,” jelas Encik Hidayat.

Para pelanggan muda menunjukkan minat dalam mempelajari cara-cara membuat kek berperisa tradisional, seperti kek ondeh-ondeh dan lain-lain. (Gambar: @madbattersg)

Pandangan yang serupa turut disuarakan Cik Zahirah: “Saya membuat kek tat nanas jadi generasi yang kecil dan generasi yang tua-tua, dari anak kecil sampai ke datuk nenek boleh menikmati kek yang rasanya tradisional tetapi dalam bentuk yang unik dan rasanya tetap (sama)."

“Kek tat nanas ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh masyarakat Melayu Islam, tapi juga boleh dinikmati dengan masyarakat umum, sebagai contoh, Iftar, saya juga kadang-kala menjemput kawan saya yang bukan Melayu/Islam untuk datang ke rumah dan buka sama-sama dan mengadakan kek yang unik, dari segi rasanya, dan kelihatannya bukan tat nanas biasa, dapat dinikmati bersama,” tambah Zahirah lagi.

(Gambar: @brownie.connoisseur.sg)

Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa secara tidak langsung masih terdapat usaha memelihara warisan turun-temurun yang akan kekal dalam generasi seterusnya. “Dalam arus pemodenan yang pesat di Singapura, terdapat kemungkinan tinggi terhadap kepupusan nilai-nilai budaya, salah satunya dalam aspek makanan. Dengan menyediakan perisa brownies yang bercirikan makanan tradisional Melayu, kami berharap inisiatif ini dapat menyumbang kepada pengekalan makanan warisan Melayu, sekaligus memberi kesedaran kepada generasi hari ini mengenai khazanah yang pernah kita miliki. Perkara yang agak di luar jangkaan kami berlaku apabila brownies ini mendapat tempat bukan sahaja di kalangan pelanggan Melayu, malah terdapat pelanggan-pelanggan baru yang bukan Melayu juga menyatakan minat mereka terhadap brownies perisa tradisional ini,” ujar Cik Adibah. 

- BERITAMediacorp/HS/hs

Top