Images
  • Sakit Mental
    Gambar hiasan. 

Krisis kesihatan mental; kos ekonomi global boleh lonjak AS$16 trilion jelang 2030

LONDON: Masalah kesihatan mental yang mencatat peningkatan di setiap negara seluruh dunia boleh menyebabkan ekonomi sejagat perlu menanggung kos sehingga AS$16 trilion (S$22 trilion) antara tahun 2010 hingga 2030 sekiranya isu ini tidak diberi perhatian.

Demikian menurut satu laporan pakar yang dikeluarkan baru-baru ini sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Laporan Suruhanjaya Lancet Commission oleh 28 pakar dalam bidang psikiatri, kesihatan awam dan neurosains, serta para pesakit mental dan kumpulan-kumpulan sokongan di peringkat global mendapati krisis yang kian membimbangkan ini boleh meninggalkan kesan buruk berpanjangan terhadap orang ramai, masyarakat dan juga ekonomi seluruh dunia.

Sesetengah kos yang perlu dibiayai boleh dilihat secara langsung seperti khidmat jagaan kesihatan, ubat-ubatan atau terapi. Namun, apa yang membimbangkan ialah sebahagian besar kos lain yang tersembunyi dalam bentuk kurang daya penghasilan, perbelanjaan kebajikan sosial, pendidikan serta perundangan, kata ketua pengarang laporan Vikram Patel.

Laporan itu bagaimanapun tidak memberikan pecahan kesan AS$16 trilion (S$22 trilion) yang dianggarkan ke atas ekonomi menjelang 2030.

"Situasinya amat membimbangkan," kata Encik Patel yang juga seorang profesor di Sekolah Perubatan Harvard di Amerika Syarikat.

Beliau menambah, beban masalah kesihatan mental meningkat "secara drastik" di merata dunia sejak 25 tahun lalu, sebahagian besar disumbangkan faktor masyarakat yang kian menua dan golongan dewasa. Namun, malangnya "tiada negara yang membuat pelaburan benar-benar mencukupi" untuk menangani masalah ini.

"Masalah kesihatan mental adalah satu aspek kesihatan yang jarang sekali diberi perhatian penuh oleh manusia," kata Encik Patel.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 300 juta orang seluruh dunia mengalami masalah kemurungan dan 50 juta lagi yang mempunyai demensia. Pesakit skizofrenia pula dianggarkan berjumlah 23 juta orang manakala 60 juta lagi mengalami gangguan bipolar.

Laporan Lancet mendapati bahawa di banyak negara, ramai pesakit mental yang mengalami masalah seperti kemurungan, keresahan dan skizofrenia seringkali dicabuli termasuk dikongkong, didera dan ditahan.

Richard Horton, ketua editor jurnal perubatan Lancet, yang membiayai laporan itu, mengatakan bahawa mereka turut mendapati "perlakuan kejam terhadap pesakit mental di merata dunia".

Ia menggesa supaya pendekatan yang tidak melanggar hak asasi pesakit seperti itu, diambil di mana mereka masih boleh meneruskan kehidupan, termasuk mendapat akses kepada pekerjaan, pendidikan dan pengalaman hidup yang bermakna.

Ia turut menyarankan peralihan kepada penjagaan berciri kemasyarakatan bagi pesakit kesihatan mental di mana para pesakit tidak hanya menjalani terapi tetapi sebaliknya mendapat sokongan menyeluruh dari pekerja kesihatan masyarakat, rakan, guru dan anggota-anggota badan agama.  

- Reuters/AQ/aq

Top