Images
  • coffee
    Gambar fail kopi. (Gambar: AFP)

Korea Selatan haramkan kopi di sekolah; guru pun turut dilarang

SEOUL: Korea Selatan akan mengharamkan penjualan kopi di sekolah-sekolah di merata negara itu dalam usaha untuk mencegah para pelajar daripada meminum terlalu banyak kafeina.

Larangan itu akan dikuatkuasakan di semua pekarangan sekolah dan ini bermakna setiap orang, termasuk guru-guru, tidak akan dibenarkan membeli minuman yang mengandungi kafeina.

Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-Ubatan Korea Selatan berharap larangan itu akan dapat membantu kanak-kanak mengamalkan tabiat memakan makanan yang lebih sihat dan berkhasiat.

Ini selepas ramai pelajar didapati meminum terlalu banyak minuman yang mengandungi kafeina semasa musim peperiksaan, dengan kanak-kanak kerap berdepan dengan tekanan akademik, kata seorang pegawai kementerian kepada agensi berita CNN.

Minuman-minuman lain dengan kandungan kafeina yang tinggi seperti minuman tenaga sudahpun diharamkan di sekolah-sekolah di negara itu.

CNN melaporkan bahawa tinjauan yang dijalankan pada 2012 ke atas lebih 5,400 pelajar menengah mendapati bahawa 19 peratus daripada mereka minum secawan atau lebih daripada secawan kopi setiap hari. Daripada jumlah itu, lebih separuh daripada mereka meminum minuman yang mengandungi kafeina untuk terus bertahan meskipun mereka tahu tentang bahaya kafeina.

Menurut laporan itu, "para pelajar menengah menyedari mengenai bahaya kafeina namun mereka masih meminum minuman tersebut. Ini menunjukkan bahawa tidak cukup setakat mendidik para pelajar mengenai bahaya mengambil terlalu banyak kafeina bagi mencegah mereka daripada membahayakan diri mereka sendiri."

Hasil tinjauan itu disokong oleh Kim Sang-hee, seorang penggubal undang-undang daripada parti politik Minjoo, yang mengusulkan rang undang-undang bagi mengharamkan penjualan minuman yang mengandungi kafeina.

Usulan itu kini menjadi undang-undang dan ia akan dikuatkuasakan pada 14 September, lapor CNN.

Bagaimanapun, para pengkritik menarik perhatian bahawa para pelajar boleh membeli kopi atau minuman yang lain di kedai-kedai yang terletak berhampiran sekolah.

Menurut Akademi Pediatrik Amerika, kafeina didapati ada kaitan dengan beberapa kesan berbahaya terhadap kesihatan kanak-kanak, termasuk ke atas sistem neurologi dan kardiovaskular mereka. Akademi Pediatrik Amerika menambah bahawa secara amnya, kanak-kanak harus menghindari minuman yang mengandungi kafeina, termasuk soda. 

- Agensi berita/AI/ai

Top