Images
  • Juzaila Waty (1)
    Juzaila Waty. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

KISAH TABAH 4: Walau dilanda diabetes, Juzaila Waty positif & mampu berbadan 2

BERITAMediacorp: Disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapinya pada awal tahun ini, pada usia 38 tahun, wanita ini nekad untuk berubah. Berubah ke arah pemakanan dan aktiviti sihat.

Tapi akhirnya bukan dirinya sahaja yang diubah. Malah teman-teman yang lain turut sama terpaut untuk mengamalkan gaya hidup sihat yang diamalkannya.

Bermula dari situ, beliau mula berkongsi pelbagai ‘rahsia’ kesihatan termasuk menurunkan berat badan dengan berkesan, tanpa pengambilan ubat-ubatan dan berbelanja besar.

Juzaila Waty Jumari adalah profil keempat dan terakhir dalam siri Kisah Tabah yang kami paparkan. Beliau seorang ‘ibu’ dalam banyak erti kata dan mencerminkan kisah perjuangan di sebalik dugaan kesihatan. Ini cerita Cik Juzaila Waty...


HILANG 12 KILO DAN AKHIRNYA… MENGANDUNG

Perjalanannya semenjak terkena kencing manis sungguh tidak malap. Siapa sangka, dari kencing manis, beliau akan menjadi ibu seperti yang diidam-idamkannya.

Hakikatnya Cik Juzaila Waty Jumari, sudahpun menjadi 'ibu' kepada kanak-kanak di tadikanya di Masjid Al-Iman dan juga penasihat kepada ‘murid-murid dewasa’ bagi grup pemakanan sihat, ‘Keto’ atau diet Ketogenik.

Ini dikendalikannya di media sosial. Beliau juga berperanan sebagai ‘ibu’ bagi kelab bola jaring khas untuk wanita dan Muslimah sebagai ketuanya.


(Gambar: Juzaila Waty/Facebook)

“Sejak didiagnosis dengan penyakit kencing manis pada Januari lalu, saya agak terperanjat dan cuba sedaya-upaya, untuk mengelakkan diri dari mengambil ubat diabetes ini. Saya berusaha dengan mengamalkan gaya hidup sihat, makanan seimbang atau diet Keto.

"Hanya di bulan pertama, saya berjaya menghilangkan sehingga 12 kilo. Sebelum didiagnosis, saya cuba hamil tetapi tidak berjaya dan menghentikan apa-apa percubaan untuk hamil kerana diabetes.

"Alhamdullilah, mungkin kerana penurunan berat badan ini, saya akhirnya mengandung, dan bakal melahirkan anak pertama pada Disember nanti,” jelas Cik Juzaila riang yang akan melahirkan anak sulungnya pada akhir tahun ini.

MENGAMALKAN PEMAKANAN SIHAT YANG BERKESAN DAN MURAH

Ekoran kencing manis juga, Cik Juzaila ‘diperkenalkan’ kepada kaedah pemakanan sihat dipanggil Keto. Ini perjalanan makanan sihat beliau.

Menurut Cik Juzaila, diet Keto berasal dari Barat dan diamalkan sejak sekian lama. Pada dasarnya, keto bermakna pengambilan karbohidrat yang rendah, tinggi kadar lemak, protein sederhana dan tiada pengambilan gula; di mana tubuh kita sendiri akan menghasilkan keton sebagai tenaga.

Pengambilan air putih yang banyak juga sangat digalakkan. Makanan lazim yang mempunyai kadar lemak yang tinggi adalah mentega, buah alpukat, lemak haiwan seperti kulit ayam, kekacang dan minyak zaiton.


Keton adalah hasil sampingan daripada metabolisme lemak (untuk membakar lemak). Diet ini memaksa tubuh membakar lemak secara berterusan dengan memastikan bekalan karbo kita dikawal dalam keadaan sentiasa di tahap rendah. Makanan yang kaya dengan sumber lemak dibekalkan kepada tubuh.

Tapi Cik Juzaila menegaskan, setiap individu mempunyai ketahanan tubuh dan metabolisme yang berbeza. Oleh itu lebih baik untuk merujuk dahulu kepada para doktor peribadi anda, sebelum memulakan apa-apa rejim kesihatan diet.

“Bagi saya, jika kita mempunyai penyakit kencing manis, ianya bak ‘gateway’ atau pembuka jalan untuk mendapat penyakit lain. Jadi, saya perlu cegah sebelum ianya lebih teruk dan merebak kepada komplikasi yang lain,” ujarnya.


Beliau juga berkata, diet Keto juga menggalakkan berpuasa berselang-seli. Tapi bagi beliau, berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis sudah mencukupi. Selain itu, beliau juga memberikan informasi dan menjawab segala persoalan secara percuma di Facebook, Mari KETO, dan berkongsi resepi sihat di laman Halal Ketogenic Kitchen.

“Saya juga menjadi ahli dietdoctor.com untuk meningkatkan pengetahuan, belajar tentang nutrisi dan mengetahui tentang rawatan semula jadi, ini semua dapat dipelajari dalam talian bersama doktor pakar dari seluruh dunia.

"Dari itu, saya mampu untuk berkongsi segala informasi mengenai diet Keto kepada mereka di laman Facebook kelolaan saya pula,” ujarnya lagi menceritakan laluannya mahu menjadi lebih sihat.

WANITA PERLU LUANG MASA UNTUK PERKARA INI...

Selain menjaga pemakanan, satu lagi aspek penting bagi seorang pesakit kencing manis adalah bersenam.

Bagi Cik Juzaila, setelah dirinya mula aktif bersenam, beliau melanjutkannya dengan memulakan acara bersenam beramai-ramai, secara santai. Beliau menyebarkan gaya hidup sihat dengan menganjurkan sukan bola jaring untuk wanita, sebulan sekali di padang Kallang Netball Centre, kendalian Singapore Sports Council (SSC).

“Wanita perlu memberi masa untuk diri mereka sendiri, untuk bermeditasi, bersenam, bersantai, tidur, belajar dan sebagainya dan tidak merasa bersalah mengenainya. Saya rasa kesihatan merangkumi semua itu. Apabila kita menjaga diri dengan baik, kita juga boleh menjaga keluarga kita dengan lebih sempurna lagi,” kata beliau.


Bagi dirinya, senaman adalah satu faktor yang terpenting untuk kekal cergas dan sihat. Beliau berkata, bersukan adalah salah satu aktiviti yang mudah untuk dilakukan dan lebih seronok jika ianya dilakukan bersama teman-teman yang lain.

“Saya berharap ahli kumpulan bola jaring ini akan terus berkembang dan kita boleh menganjurkan pertandingan mesra, suatu hari nanti. Bola Jaring adalah sukan yang agak mudah untuk dimainkan, dan peraturannya tidak rumit sehinggakan wanita yang tidak mempunyai pengalaman juga dapat bermain dengan baik.

"Saya rasa, pemakanan yang sihat dan diiringi dengan senaman yang konsisten dapat memberikan kita tubuh dan minda yang berkualiti, untuk kekal cergas sehingga ke hari tua nanti,” ceritanya lagi.


Begitulah sedikit sebanyak diari seorang pesakit kencing manis bernama Juzaila Waty. Tidak menyerah kepada nasib dan tidak setakat mengeluh dengan pelbagai persoalan. Sebaliknya bertanya apa yang perlu dan boleh dilakukan untuk meneruskan kehidupan dengan positif.

Jadi, jika anda berminat untuk mengenali Cik Juzaila lebih dekat lagi dan menyertai aktiviti sihat dan bersenam atau sukan bola jaring ini, sila lungsuri laman di http://bit.ly/MariNetball.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/WA/nk

Top