Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

KISAH TABAH 3: Ruhaizah Selamat, ibu yang dirundung krisis, tetapi bangkit bak phoenix

Bayangkan apabila mahligai yang dibina selama dua dekad tiba-tiba hancur dipukul badai. Beliau perlu berdikari.

Anggaran Waktu Membaca:
KISAH TABAH 3: Ruhaizah Selamat, ibu yang dirundung krisis, tetapi bangkit bak phoenix

(Gambar: Ruhaizah Selamat)

Diterbitkan : 31 May 2018 01:00AM Dikemas Kini : 01 Jun 2018 01:12AM

BERITAMediacorp: Bayangkan apabila mahligai yang dibina selama dua dekad tiba-tiba hancur dipukul badai. Beliau perlu berdikari. Beliau tercabar untuk meneruskan kehidupan dan menyara kedua-dua anak perempuannya, selaku ibu tunggal.

Namun Cik Ruhaizah Selamat, 46 tahun, seorang ibu yang tidak menyerah kepada takdir. Tidak pasrah. Kegagalan dalam rumahtangganya bukanlah penyebab dirinya akan terus tenggelam. Beliau bangkit bak burung phoenix.

Dalam bahagian ketiga Kisah Tabah seorang ibu, BERITAMediacorp berkongsi perjalanan beliau untuk mencari haluan baru setelah dibelenggu krisis kehidupan. Ini kisah beliau.

DARI SURI RUMAH TANPA PENDAPATAN, BERCERAI … KEPADA GRADUAN DIPLOMA

Cik Ruhaizah boleh berbangga dengan pencapaian dan perubahan positif yang dicapainya sekarang. Pada 10 Mei lalu berkat kesungguhan dan jerih payahnya, beliau berjaya menamatkan kursus Diploma di Politeknik Temasek. Kursus Amalan Perniagaan (Pentadbiran Perniagaan) itu diambil secara sambilan, dan mengambil masa hampir tiga tahun untuk selesai.

Lebih memberangsangkan, beliau bakal melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah muda, pada akhir tahun ini.

“Ketika masih berkahwin dahulu, saya adalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa, tiada pendapatan sendiri dan dunia saya hanyalah untuk keluarga dan anak-anak. Ketika musibah melanda, dan kami terpaksa bercerai, saya harus memulakan kehidupan baru, bertemankan hanya anak-anak dan diri sendiri untuk meneruskan kehidupan kami,” jelas Cik Ruhaizah yang mempunyai kelulusan GCE ‘A’.

Cik Ruhaizah bersama anak-anaknya. (Gambar-gambar: Ruhaizah Selamat)

Cik Ruhaizah menceritakan kepada BERITAMediacorp bahawa sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pengajiannya, beliau berunding bersama kedua-dua anaknya, demi memastikan segalanya dapat berjalan dengan lancar dan sesempurna yang mungkin.

Anak-anak beliau, Nurul Afifah Hazrin, 22 tahun dan Nurul Batrisyia, 20 tahun juga merupakan bekas pelajar Politeknik. Jadi ini sekaligus menjadikan ketiga-tiga beranak ini graduan Politeknik Temasek yang sama!

Kini anak sulungnya, Nurul Afifah lulus dari Universiti Northumbria, dan mendapat Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Kelas Kedua (Atas) dalam Teknologi Komputer dan Rangkaian, tahun lalu. Manakala yang bongsu pula, bakal melanjutkan pelajarannya, dalam ijazah perfileman di Kolej LA Salle, bermula Ogos nanti, dan juga baru mendapat Diplomanya baru-baru ini.

Bagi dirinya sendiri, Cik Ruhaizah, beliau sudah pun mendaftar untuk kursus sarjana mudanya, dan memohon biasiswa bagi kuliahnya.

“Anak-anak saya sangat memahami dengan keinginan saya untuk belajar kembali. Mereka memberi saya motivasi dan galakan yang padu. Mereka menyokong saya secara moral dan ini memberikan saya semangat dan meningkatkan keyakinan diri saya.

“Untuk menunjukkan sokongan mereka, anak sulung saya sanggup pergi dan menyerahkan borang permohonan saya dan bahkan menemani saya ke sekolah pada hari pertama di Politeknik dulu,” ujarnya dengan senyuman.

CABARAN KEMBALI BERSEKOLAH PADA USIA LANJUT

Cik Ruhaizah menerangkan ketika menuntut di Politeknik dahulu, banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Selain perlu menghadiri kuliah 3 kali seminggu pada waktu malam, beliau juga perlu menyiapkan tugasan sekolah dan menghadiri perbincangan berkumpulan (group discussion).

Ini, selain bekerja sepenuh masa dan mengelolakan keluarganya. Oleh itu, beliau memperuntukkan sehari dalam seminggu untuk meluangkan masanya bersama anak-anaknya. Beliau juga berbesar hati kerana majikannya amat memahami dan memberikan dirinya kelonggaran untuk meningkatkan diri.

Cik Ruhaizah semasa berada dalam kelas. 

“Saya perlu menghadiri kelas tiga kali seminggu. Rasa memang berat dan kadangkala memang stres. Bagaimanapun, kerana fikirkan nak mendapatkan Diploma ini, ianya bak satu dorongan untuk saya teruskan juga usaha ini,” kongsi beliau tentang semangat juangnya.

“Hujung minggu pula, saya khaskan untuk tugasan sekolah saya dan kerja rumah. Nasib baik, majikan dan pengurus saya sangat menyokong dan membenarkan saya meninggalkan kerja lebih awal pada hari-hari saya perlu menghadiri kelas,” ceritanya lagi.

HAMPIR ALAMI NERVOUS BREAKDOWN

Beliau juga mengakui amat fobia pada peperiksaan dan hampir-hampir mengalami nervous breakdown ketika musim peperiksaan dulu. Selain tidak mendapati tidur yang mencukupi, kerana perlu bersengkang mata untuk belajar, beliau juga bergantung kepada kopi untuk tahan mata.

“Dipendekkan cerita... saya juga korbankan masa tidur dan juga masa bersama teman-teman dan keluarga. Selain itu, banyak cuti kerja yang diambil hanya untuk belajar, khusus ketika menjelangnya ujian dan peperiksaan.

“Namun, pada akhirnya saya berasa amat puas, kerana segalanya dapat diatasi dengan baik, dan Diploma yang saya idamkan di dalam genggaman akhirnya,” cerita Cik Ruhaizah dengan gembira kepada BERITAMediacorp.

IKTIBAR DAN WANITA

Bagi diri Cik Ruhaizah, ketika baru bercerai dahulu, beliau agak ‘hilang arah dan sayap’, buat seketika kerana bagi dirinya, banyak perubahan yang perlu dilakukan selain perlu menyesuaikan diri, seperti perlu mencari kerja dan berdikari. Namun segalanya dapat diatasi dengan baik dan dilakukan dengan bertahap-tahap.

Moto dirinya adalah, usah berputus asa dan perlu kekal positif, kerana apa juga yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Usah terus berendam air mata, biarlah ianya berlalu pergi, kerana kehidupan mesti diteruskan.

“Saya benar-benar bersetuju untuk wanita menaik tarafkan diri mereka dan meningkatkan kemahiran, kerana ini adalah untuk kebaikan dan untuk diri dan masa depan mereka. Saya percaya wanita harus mempunyai kebebasan untuk menjana pendapatan sendiri. Dengan pengetahuan dan latar belakang kewangan yang kukuh, jika berlaku pada perkahwinan mereka, seperti kematian atau perpisahan, wanita masih boleh bertahan dan bertakat.

“Nasihat saya kepada semua wanita atau ibu tunggal di luar sana - Percayalah kepada diri sendiri. Bahawa anda boleh melakukannya. Saya tahu perasaannya, kerana saya sendiri telah melaluinya,” luahnya meniup semangat kepada para ibu lain di luar sana.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan