Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

KISAH TABAH 2: Julie Faridah, ibu yang anaknya “akan mati” dek sakit kronik Tahap 4

Bayangkan, jika anak kesayangan anda, tiba-tiba rebah dan diberitahu oleh doktor pakar, bahawa dia mempunyai hanya 50 peratus peluang untuk hidup. Malah anak anda itu akan mati, jika tiada penderma organ yang tampil ke hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
KISAH TABAH 2: Julie Faridah, ibu yang anaknya “akan mati” dek sakit kronik Tahap 4

Julie Faridah. (Gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 30 May 2018 12:20AM Dikemas Kini : 31 May 2018 11:25PM

BERITAMediacorp: Bayangkan, jika anak kesayangan anda, tiba-tiba rebah dan diberitahu oleh doktor pakar, bahawa dia mempunyai hanya 50 peratus peluang untuk hidup. Malah anak anda itu akan mati, jika tiada penderma organ yang tampil ke hadapan. Semua ini berlaku hanya dalam masa 2 minggu – dan kehidupan sekeluarga ini berubah dengan serta merta!

50 orang doktor, jururawat dan karyawan perubatan lain kemudian menjalankan pembedahan ke atas anaknya itu.

Itulah sekelumit kisah hidup Cik Julie Faridah Omar. Kisah Cik Julie ini adalah profil kedua daripada empat profil, yang kami ketengahkan tentang ibu-ibu tabah dalam menempuhi ranjau dah duri kehidupan. Cerita beliau ini mengajar kita supaya jangan sekali-kali berputus harap. Ayuh kita selami kisah perjuangan beliau itu.

TAHU-TAHU SAHAJA, ANAKNYA HIDAP KEGAGALAN HATI TAHAP 4!

Cik Julie Faridah Omar, seorang peniaga busana dan keperluan wanita. Beliau juga merupakan ibu kepada 6 anak - berusia antara 1 hingga 12 tahun.

Kisah sedihnya bermula pada Julai tahun lalu apabila anak keduanya, Md Fardeen Altaf Md Faizal (ketika itu berumur 10 tahun), secara tiba-tiba menghidap penyakit hati yang kronik, atau Acute Liver Failure atau Kegagalan Hati Kronik. Lebih memeranjatkan lagi, penyakit itu sudahpun berada di Tahap 4.

Menurut usahawan yang berusia 34 tahun itu, symptom penyakit yang dialami Md Fardeen bermula dengan deman panas dan muntah-muntah. Pada awalnya, ibu ini menyangka ia hanyalah demam dan penyakit biasa. Namun apabila kedua-dua mata anaknya bertukar menjadi kekuningan, berbekalkan surat rujukan dari doktor keluarga (GP), anaknya terus dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk pemeriksaan lanjut.

Di KKH, anaknya disahkan menghidap Kegagalan Hati Kronik dan para doktor di sana cuba ‘memperbaiki’ organ hati tersebut. Tetapi atas sebab-sebab dan kerumitan yang lain, Md Fardeen perlu ditukarkan pula ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan mendapatkan rawatan intensif di sana.

“Ketika di bilik ICU, keseluruhan tubuh anak saya menjadi kuning dari mata, kulit, sehingga air matanya – semuanya, bertukar kekuningan. Badannya menjadi begitu lemah dan kesihatannya bertambah teruk hari demi hari, dan pengsan.

“Ketika diberitahu tentang keseriusan penyakitnya, dan peluang untuk hidup hanya 50 peratus sahaja, memang saya tidak boleh terima. Waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya, dan hanya air mata dan doa yang tidak terputus sahaja, yang menjadi peneman saya saban hari!” cerita Cik Julie Faridah kepada BERITAMediacorp tentang cubaan hidup yang menyelubunginya.

BERUSAHA CARI PENDERMA HATI MENERUSI MEDIA SOSIAL

Dalam masa kurang 14 hari, keluarga ini perlu mencari penderma yang sesuai dan berdarah O+, kerana pembedahan mesti dilakukan dengan secepat mungkin. Cik Julie dan suaminya Encik Md Faizal Alia Marikan, 40 tahun, cuba menjadi penderma. Namun ia didapati tidak sepadan. Malah kesemua ahli keluarga terdekat dan adik beradik Cik Julie Faridah dan suaminya didapati tidak sesuai untuk menjadi penderma kepada Md Fardeen.

Mereka juga meminta bantuan keluarga yang lain, selain merayu di media sosial, seperti Facebook, untuk mencari penderma yang bermurah hati untuk menolong anak mereka. Bagi Cik Julie Faridah, sebagai seorang ibu beliau berasa amat kecewa kerana tidak dapat meringankan beban anaknya. Maka dari itu, tanpa mengenal jemu beliau berusaha dan meminta bantuan dari keluarga, kenalan dan juga mereka yang prihatin terhadap Md Fardeen.

“Waktu di hospital dulu, keadaan memang amat mencabar, genting dan kami amat tertekan, kerana selain perlu menemani Md Fardeen, saya juga perlu memberikan perhatian kepada anak-anak yang lain. Dan yang bongsu baru berusia 6 bulan ketika itu.
“Kerana terdesak, hinggakan saya merayu di laman Facebook, meminta bantuan dan penderma yang berdarah O+ yang sanggup membantu menyelamatkan nyawa anak saya, yang benar-benar tenat ketika itu,” jelas Cik Julie Faridah.

BERKAT IKHTIAR, AKHIRNYA MUNCUL 10 PENDERMA HATI

Sejak ceritanya di muat naik sendiri di laman Facebook, Cik Julie Faridah menerima banyak sokongan dan menerima sehingga 10 penderma budiman yang tidak dikenalinya secara peribadi, tampil dan sanggup menderma hati mereka dengan sukarela.
Namun, akhirnya, abang iparnya yang berusia 50 tahun, Encik Kamsor Sohor (suami kepada kakak Cik Julie Faridah), yang didapati sesuai untuk mendermakan hatinya, dan pembedahan kecemasan dilakukan pada 26 Julai tahun lalu.

Pembedahan berjalan selama 15 jam dan memerlukan sehingga 50 doktor, jururawat dan karyawan perubatan lain untuk mengendlaikan pembedahan tersebut. Kos perubatan tersebut pula melebihi $50,000, setelah mendapat subsidi dari Pemerintah.

Syukur, pembedahan berjaya dan mereka berdua kini sihat. Md Fardeen diberi cuti sakit dan tidak perlu ke sekolah selama 6 bulan, manakala Encik Kamsor pula mendapat cuti sakit sehingga 2 bulan untuk pulih seperti sedia kala. Md Fardeen, seorang murid di Sekolah Rendah East Spring, kini masih perlu menjalani pemeriksaan dan terus memakan ubat setiap hari serta memantau pemakanannya.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Julie Faridah Omar)

ANAK KINI MAHU JADI PEMAIN BOLA SEPAK PROFESIONAL!

Bagi diri Cik Julie Faridah, episod sedih dan fasa pahit kehidupannya mungkin sudah berlalu, tetapi beliau tidak dapat melupakan jasa ramai ibu-bapa, anggota keluarga, teman-teman dan orang tidak mereka kenali yang sanggup berikrar dan ingin menderma organ kepada anak lelakinya, yang kini berusia 11 tahun.

Walaupun ‘hatinya tercalar’, semangat Md Fardeen nampaknya tidak begitu. Dia yang meminati Roberto Firmino dari kelab Liverpool, bercita-cita ingin menjadi pemain bola sepak profesional suatu hari nanti.

“Saya berharap, kepada ibu-ibu yang mempunyai anak berpenyakit kronik dan mempunyai masalah kesihatan, usahlah berputus harap dan perlu kuat dan sabar untuk mengharungi. Carilah sokongan dan bantuan yang disediakan, usah memendam rasa seorang diri.

“Saya percaya, Allah memberikan kita semua ujian, dan beliaulah juga yang akan memberikan kita jalan kemudahan dan jalan penyelesaian, mesti kekal positif,” luah Cik Julie Faridah lagi kepada BERITAMediacorp.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan