Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

KISAH TABAH 1: Aizimah Aziz, ibu 10 anak meniti kehidupan setelah suaminya bunuh diri

Berapa ramai di antara kita sekarang ini yang berusia 30-an tahun dan mempunyai 10 orang anak? Hampir tidak pernah kedengaran. Adakah orang sedemikian? Ini bukan tahun-tahun 1950-an atau 1960-an. Jawapannya: Ya, ada.

Anggaran Waktu Membaca:
KISAH TABAH 1: Aizimah Aziz, ibu 10 anak meniti kehidupan setelah suaminya bunuh diri

Nur Aizimah Abdul Aziz. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 28 May 2018 11:27PM Dikemas Kini : 31 May 2018 11:26PM

BERITAMediacorp: Berapa ramai di antara kita sekarang ini yang berusia 30-an tahun dan mempunyai 10 orang anak? Hampir tidak pernah kedengaran. Adakah orang sedemikian? Ini bukan tahun-tahun 1950-an atau 1960-an. Jawapannya: Ya, ada.

Inilah kisah yang akan BERITAMediacorp kongsikan dalam satu siri empat kisah yang mengetengahkan ketabahan sekumpulan insan yang dipanggil ibu dalam menempuh cabaran kehidupan, dan boleh dijadikan renungan dan iktibar oleh orang ramai.

Ini kisah dan profil pertama yang akan kami kongsikan. Kisah Cik Nur Aizimah Abdul Aziz, ibu ramai anak yang berfikiran positif dan berazam bangkit dari pengalaman hitam yang membelenggu kehidupan keluarganya…

Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang boleh diungkapkan bagi kehidupan seorang ibu tunggal yang mempunyai 10 orang anak ini. Ibu muda itu kini berusia 34 tahun. Anak-anaknya pula berumur di antara 2 hingga 18 tahun. Beliau kini bekerja sebagai juruwang dan menjadi Ketua Pasukan di syarikatnya.

Demi menghormati permintaan Cik Nur Aizimah Abdul Aziz dan keluarganya, kami mengkaburkan wajahnya dalam foto-foto yang disiarkan dalam artikel ini. Namun begitu, beliau begitu terbuka dan ingin mengongsi pengalaman hidupnya agar dapat menjadi iktibar pada semua.

Tidak seperti remaja lain yang masih bersekolah, Cik Nur Aizimah sudah pun mendirikan rumahtangga pada usia sangat muda, iaitu 16 tahun. Ketika itu, suaminya (kini Allahyarham) baru berusia 17 tahun. Lebih menyayat hati, suaminya meninggal dunia awal tahun ini pada usia 35 tahun, kerana membunuh diri.

Alam perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu, memang mempunyai banyak cabaran dan rintangan. Tetapi beliau dan pasangannya, melalui segalanya dengan sabar dan penuh kasih-sayang dan kesyukuran. 

BERUBAH JADI GANAS KERANA DADAH…

Cik Nur Aizimah memberitahu BERITAMediacorp, suaminya berubah secara perlahan-lahan sejak dipengaruhi teman-temannya. Dia mengambil ubat-ubatan terlarang dan mengalami kemurungan. Pasangannya juga pernah dimasukkan ke Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk mendapatkan rawatan.

Suaminya juga menjadi terlalu baran dan menggunakan kekerasan ke atas diri Cik Nur Aizimah, sehinggakan dirinya perlu mendapatkan perlindungan, iaitu Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) dari Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC).

Sejak peristiwa itu, Cik Nur Aizimah memfailkan proses penceraian dan tinggal di rumah perlindungan sementara bersama anak-anaknya.

“Pada mulanya, semuanya memang indah, walaupun kami mempunyai cabaran rumahtangga, tetapi kita dapat mengatasi dan mengharunginya bersama. Perkahwinan ini melalui fasa yang mencabar ketika beliau mencuba ubat-ubat yang diharamkan, untuk ‘merangsang seks’ yang dibeli di pasaran ‘gelap’.

“Beliau bukanlah seorang penagih dadah, dan kerana mengikut ajakan kawan-kawan, inilah kesudahannya. Sebelum pengambilan ubat-ubatan ini, beliau merupakan seorang suami dan bapa yang baik dan penyayang untuk kami semua,” cerita sang isteri lagi.

Menurut Cik Nur Aizimah, ubatan terlarang yang digunakan suaminya adalah seperti “Black Ant” dan juga dadah Ice.

“Segalanya berubah kerana pengambilan ubat-ubatan terlarang itu. Beliau menjadi seorang yang amat pemarah dan bengis, serta mencederakan diri saya, sehinggakan saya perlu mendapatkan rawatan dan perlindungan PPO, dan terpaksa juga tinggal di rumah perlindungan (shelter house).

“Dari situ juga, telah saya menuntut cerai darinya. Namun, ketika masih di dalam proses penceraian, beliau telah pun terjun flat dari rumah lama kami, di tingkat 7, pada awal tahun ini,” kata Cik Nur Aizimah dengan sebak.

AZAM SATUKAN SEMULA SEMUA 10 ANAK BAWAH 1 BUMBUNG

Kini Cik Nur Aizimah tinggal di rumah sewa sendiri di kawasan utara, bersama 3 orang anak-anaknya dan ingin memulakan lembaran baru dalam dirinya.

Anak-anaknya yang lain, tinggal bersama keluarga titipan kelolaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), dan ada yang masih berada di rumah kebajikan. Namun Cik Nur Aizimah berazam ingin tinggal semula secara bersama-sama dengan kesemua anaknya di bawah satu bumbung.

Beliau kini gigih bekerja demi menstabilkan kehidupan dan ekonomi keluarganya. Di samping itu, Cik Aizimah berusaha menaik tariff kemahiran dirinya dengan mengambil kursus kursus baru untuk masa depan yang lebih cerah lagi. Yang jelas, beliau enggan menoleh ke belakang!

“Saya berazam ingin memulakan kehidupan baru untuk bersama-sama kesemua 10 anak-anak saya. Walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kewangan dari mana-mana badan kebajikan, namun saya ingin kekal bekerja, berdikari dan membesarkan anak-anak sendiri. Kehidupan perlu diteruskan demi keluarga dan diri sendiri, dan tidak mahu menyalahkan takdir,” ujarnya tegas. 

KAUNSELING MEMBANTU, MAJIKAN JUGA MEMAHAMI…

Cik Nur Aizimah masih lagi mendapatkan kaunseling dan merasakan dirinya kini lebih positif, fokus dan lebih mudah untuk meluahkan perasaannya, daripada memendam rasa, seperti sebelumnya. Beliau juga amat berterima kasih kepada majikannya, yang sangat memahami dan memberikan dirinya ruang dan peluang, sesuatu yang beliau amat perlukan dan hargai sehingga kini.

“Apa-apa pun yang telah terjadi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, sebaliknya menganggap ianya sebagai satu pelajaran yang berguna dan pasti ada hikmah yang tersembunyi, hanya Allah sahaja mengetahuinya,” kongsi Cik Aizimah.

Beliau juga berharap untuk terus memperbaiki diri dan mendalami ilmu ukhrawi, serta merayu agar masyarakat tidak memandang serong dan rendah terharap ibu-ibu muda serta keluarga yang berisiko dan mereka yang memerlukan.

BERPAUT KEPADA AGAMA…

“Saya juga akur, ilmu agama yang kukuh, ilmu ukhrawi amat penting untuk kehidupan kita sebagai muslim. Dan saya sedang berusaha untuk memperbaiki dan mendalami ilmu agama kini, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi bersama anak-anak juga.

“Saya berharap masyarakat akan lebih memahami dan bersikap terbuka dan jangan stereotaip dan terus menghukum. Tidak semestinya mereka yang berkahwin muda akan berakhir dengan penceraian dan keluarga yang bermasalah tidak boleh berjaya di masa hadapan.

Lantaran itu, beliau berharap agar masyarakat memberi golongan seperti itu peluang dan dorongan untuk berubah.

“Kerana setiap dari kita, mampu untuk mengubahnya, Insya-Allah,” jelasnya kepada BERITAMediacorp dengan bersungguh-sungguh dan berharap untuk menjadi seorang jurusolek profesional, suatu hari nanti.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan