Images
  • woman baby
    (Gambar hiasan: Olexander Zobin/ AFP)

Kesuburan wanita mungkin berkait dengan faktor risiko serangan jantung: Kajian

REUTERS: Golongan wanita muda yang mempunyai kadar lemak yang tinggi dalam darah mereka mungkin lebih berkemungkinan mempunyai seorang anak sahaja atau tiada langsung menurut satu kajian, baru-baru ini.

Dr. Aleksandra Pirnat di Universiti Bergen, Norway dan pasukannya mengkaji kumpulan wanita yang berdaftar dengan dua pangkalan data yang besar: Pendaftaran Kelahiran Perubatan Norway dan Kohort Norway yang meliputi maklumat gaya hidup dan kesihatan mereka yang tinggal di Norway antara 1994 dengan 2003.

Dari 4,322 wanita yang ditinjau dalam kajian itu, seramai 2,157 mempunyai dua ataupun lebih anak, manakala 488 mempunyai hanya seorang anak dan 1,677 tidak mempunyai anak langsung.

Para penyelidik tersebut mendapati bahawa wanita yang tidak mempunyai anak ataupun melahirkan hanya seorang anak, berbeza daripada para ibu yang mempunyai lebih daripada seorang anak. Mereka biasanya lebih tua dan mempunyai berat badan yang lebih, menghidap penyakit kencing manis dan merokok. Selain itu, tempoh pendidikan mereka adalah kurang dan mereka lebih berkemungkinan mendapatkan rawatan IVF untuk membantu mereka mendapatkan anak berbanding wanita yang mempunyai sekurang-kurangnya dua orang anak.

Kajian itu “adalah menarik dan menimbulkan banyak persoalan,” kata Dr Katie Berlacher, seorang pakar jantung di Pusat Medikal Universiti Pittsburgh yang juga pengarah Program Jantung Wanita di Hospital Magee-Womens UPMC. “Namun, apa yang mereka dapati hanyalah satu kaitan.”

Hanya kerana penyakit jantung ada kaitan dengan kemandulan tidak bermakna ia mengakibatkan kemandulan, jelas Dr Berlacher.

- Reuters/HS/hs

Top