Images
  • breastfeeding
    Seorang wanita menyusukan bayi. (Gambar fail: AP)

Kesedaran semakin meningkat terhadap khasiat susu ibu

KOTA BAHRU: Masyarakat Malaysia kini semakin bersikap terbuka serta mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kebaikan susu ibu dan memberi galakan bagi golongan ibu yang bersedia melaksanakan tanggungjawab itu.

Pengerusi Inisiatif Hospital Rakan Bayi Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Noraida Ramli berkata, susu ibu adalah satu langkah penting ke arah pembangunan dan pembesaran bayi yang sihat kerana ia bersih, seimbang dan paling sesuai untuk bayi.

“Di HUSM, sebelum seseorang wanita ingin menjadi ibu susuan kepada bayi pramatang yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU), beliau perlu melakukan beberapa prosedur termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengelakkan penyakit berjangkit kepada bayi yang disusukan,” kata Dr Noraida kepada para wartawan di Majlis Penutup Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 Peringkat USM pada Sabtu (1 Sep).

Majlis penutupan program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Sukari Halim.

Dr Noraida berkata jika keputusan pemeriksaan kesihatan yang dijalankan tiada masalah, prosedur akan diteruskan dengan rawatan hormon dan salinan dokumen pengenalan diri akan diberikan kepada dua belah pihak, iaitu ibu susuan dan keluarga bayi.

“Salinan dokumen itu sangat penting untuk menjaga keturunan bayi berkenaan, sekurang-kurangnya bayi berkenaan akan mengetahui butiran ibu susuannya nanti.

“Berbeza jika di luar negara, susu ibu yang didermakan akan dicampurkan dan diletakkan di tempat yang khas, sebelum diberi kepada bayi yang memerlukan, di mana proses ini akan mendatangkan keraguan dan kekeliruan mengenai keturunan bayi berkenaan,” kata Dr Noraida.

Seorang ibu susuan, Siti Nur Amalina Mohd Nasri, yang menyusukan bayi kembar pramatang di NICU HUSM berkata, beliau mula memberi susu kepada bayi berkenaan sejak bayi itu berusia sebulan dan kini sudah memasuki dua bulan.

“Kebetulan anak saya yang lahir pramatang turut dirawat di NICU, jadi saya dengan sukarela memberi susu saya kepada pasangan kembar atas permintaan ibu bayi berkenaan kerana susunya tiada,” katanya.

Beliau berkata, hampir 900 mililiter susu dapat dibekalkannya kepada anak susuan itu setiap hari. 

- BERNAMA/AI/ai

Top