Images
  • sh thesis
    Kerusi roda dan tesis Stephen Hawking meraih jutaan dolar dalam acara lelong Christie's. (Gambar: AP)

Kerusi roda, tesis Stephen Hawking raih jutaan dolar dalam acara lelong

LONDON: Sebuah kerusi roda milik Stephen Hawking dilelong pada harga hampir £300,000 (S$537,000) manakala salinan tesis kedoktoran mendiang pula dijual pada harga £585,000 (S$1.1 juta) di satu acara jualan lelong, menurut jurulelong Christie’s.

Kerusi roda bermotor yang pernah digunakan oleh ahli fizik itu selepas beliau lumpuh akibat penyakit saraf - yang juga dikenali sebagai Sklerosis Lateral Amiotrofik (ALS) atau Lou Gehrig - berjaya mengutip £296,750 (S$531,000) dalam acara lelong online Christie’s. Jumlah itu adalah hampir 19 kali ganda lebih tinggi berbanding ramalan sebelum ini iaitu £15,000 (S$26,800).

Hasil pendapatan yang diraih daripada penjualan kerusi roda itu akan disalurkan kepada dua badan kebajikan - iaitu Yayasan Stephen Hawking dan Persatuan Penyakit Saraf Motor.


(Gambar fail: Toby Melville/Reuters)

Sementara itu, tesis Hawking bertajuk "Properties of Expanding Universes", yang diterbitkan pada 1965 semasa beliau menuntut di Universiti Cambridge, dijual pada harga £584,750 (SS$1.1 juta) - iaitu lebih dua kali ganda berbanding unjuran sebelum acara lelong itu.

MEMPERINGATI STEPHEN HAWKING

Hawking mengubah tanggapan kita mengenai alam semesta dan masa. Beliau melakukan itu semua meskipun tidak dapat bertutur dan ‘terkurung’ di atas kerusi rodanya.

Dilahirkan di Oxford pada 1942, Hawking yang pada awalnya bukan seorang pelajar cemerlang didiagnosis mengalami penyakit saraf degeneratif pada usia 21 tahun. Mendiang juga pernah diberitahu beliau hanya dapat hidup selama beberapa tahun sahaja.

Hawking bagaimanapun terus menjalani kehidupan selama beberapa dekad sebelum meninggal dunia pada bulan Mac, pada usia 76 tahun.

Anak perempuan mendiang, Lucy Hawking, berkata penjualan itu memberi "peluang kepada para peminat karya Hawking untuk memiliki barangan peribadi ayahnya sebagai cenderamata".

Anak-anak Hawking juga merancang untuk memulihara karya saintifiknya bagi Britain.  

- Reuters/AI/ai

Top