Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kerjaya alternatif versi ‘main-main’: Azmi Rosli, Izzat Ishamuddin antara karyawan generasi baru

Diselubungi keringat, dikelilingi pokok dan ditemani jeritan dan tawa. Ada ‘permainan’ Ninja Warrior, ada juga keperluan melompat dari tempat tinggi dan bergayut seperti Spider-Man. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjaya alternatif versi ‘main-main’: Azmi Rosli, Izzat Ishamuddin antara karyawan generasi baru

Pengurus besar Forest Adventure, Azmi Rosli, dan jurulatih BOUNCE inc, Muhammad Izzat Ishamuddin. (Gambar: Ira Musfirah)

BERITAMediacorp: Diselubungi keringat, dikelilingi pokok dan ditemani jeritan dan tawa. Ada ‘permainan’ Ninja Warrior, ada juga keperluan melompat dari tempat tinggi dan bergayut seperti Spider-Man.

Jika anda fikir ini suasana bermain untuk bersuka-ria, sangkaan anda meleset sama sekali. Yang pasti, ini bukan kerja 'main-main', tetapi ini kerja betul! Itulah pekerjaan bukan konvensional yang dilakukan dua karyawan Melayu yang pastinya tidak mengikat mereka dengan frasa ‘kerja pejabat’ atau ‘meja pejabat’.

Namun pekerjaan ini menjadi pilihan sebahagian anak Melayu kita.

Dengan lebih banyak pilihan kerjaya bukan konvensional terus muncul di Singapura seperti bidang kegiatan lasak, lebih ramai orang muda dijangka mempunyai kerjaya alternatif yang tidak terdapat sebelum ini.

Dua profil kerjaya alternatif yang BERITAMediacorp paparkan ini menjadi buktinya.

AZMI ROSLI – PENGURUS BESAR FOREST ADVENTURE

Encik Azmi Rosli, seorang Pengurus Besar di Forest Adventure – sebuah syarikat kegiatan lasak yang melibatkan aktiviti cabaran-cabaran merentas halangan di tempat tinggi atau ‘treetop obstacle course’. Forest Adventure terletak di Kolam Air Air Bedok.

Tidak kurang juga orang-orang terdekat yang menyapa dan bertanya beliau sama ada pekerjaannya itu "stabil" seperti pekerjaan-pekerjaan lain di pejabat. Pendapat seumpama itu, yang kerapkali dilemparkan kepada Encik Azmi, ternyata tidak sedikit pun menghambat tekadnya untuk mencari rezeki sambil menceburi bidang yang diminati.

"Mestilah kerja betul, sebab kita juga bekerja dan berinteraksi dengan manusia. Bukan saja kemahiran teknikal, dari segi penyenggaraan seluruh kawasan, kita juga mempelajari kemahiran insani semasa menyampaikan taklimat keselamatan dan membantu orang ramai," ujar Encik Azmi kepada BERITAMediacorp.

Minat beliau dalam kegiatan luar sejak 16 tahun lalu sedari zaman sekolah terus mendorongnya untuk akhirnya mengorak langkah dalam kerjaya ini.

"Yang paling saya suka, saya tidak berada di meja pejabat. Saya dapat menghirup udara segar dan menikmati kehijauan dalam suasana yang mendamaikan," terang bekas penuntut Politeknik Singapura dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu.

BELAJAR KEMAHIRAN DAN KESABARAN

Kini, Forest Adventure ibarat rumah kedua bagi Encik Azmi yang sudahpun berkhidmat di sana selama lapan tahun.

Sebagai seorang pengurus besar dan sekaligus fasilitator kem, beliau antara lain harus menangani jangkaan pelanggan, menurut Encik Azmi. Hanya 26 orang sahaja yang dibenarkan mencuba bagi setiap 30 minit. Ini termasuk pelanggan dari sistem tempahan online dan kemasukan langsung di kemudahan itu.

Di samping itu, beliau juga harus melatih kakitangan, menyenggara kemudahan dan menjalankan perolehan (procurement).

"Selain memberi taklimat sebelum mereka merempuh cabaran, mereka juga harus tahu cara bangkit jika jatuh dan cara menggunakan wisel. Pendek kata, saya mengendalikan situasi di sini."

"Saya juga mendapat kemahiran perkhidmatan pelanggan dan juga kemahiran teknikal semasa menggunakan peralatan. Bagaimanapun, menjadi fasilitator di sini mengajar saya tentang kesabaran, terutama sekali semasa membantu kanak-kanak keperluan khas," jelasnya.

AZMI: PASARAN AKAN BERKEMBANG, SENTIASA PERLUKAN INSTRUKTOR

Meskipun pekerjaan sebagai seorang fasilitator mungkin masih dianggap sebagai 'kerja main-main' oleh sesetengah pihak, adakah Encik Azmi merasakan pasaran kegiatan luar seperti Forest Adventure akan terus berkembang?

"Forest Adventure adalah kemudahan 'high rope' komersil di luar yang pertama di Singapura. Malah, sejak kebelakangan ini, terdapat lebih banyak gim memanjat, taman permainan berjaring di udara selain Outward Bound Singapore. Kami akan sentiasa memerlukan instruktor dan pasaran kegiatan luar jelas berkembang," kata Encik Azmi kepada BERITAMediacorp.

Bahkan, beliau juga sempat berkongsi tentang pengalaman seorang wanita 76 tahun yang turut menyertai kegiatan di Forest Adventure!

"Yang penting, jika anda di sini, jangan terburu-buru untuk menghabiskan cabarannya, usah risau tentang keselamatan, datang dengan minda yang terbuka dan nikmati pengalamannya."

MUHAMMAD IZZAT - JURULATIH SUKAN LASAK DI BOUNCE INC

Bagi Muhammad Izzat Ishamuddin pula, seorang jurulatih di taman trampolin BOUNCE Inc, beliau juga tidak menyangkal ada keraguan daripada ahli-ahli keluarga tentang kestabilan kerjanya.

"Makcik-makcik dan pakcik-pakcik mungkin ada yang tanya 'apasal kerja macam main-main?' Kerana pada mereka, sukan bukanlah kerjaya yang wajar diceburi. Terpulang kepada mereka untuk menilainya.

“Bagi saya, saya mahu memastikan keselamatan pelanggan dan mahu mereka menikmati masa di sini. Jika mereka nak tahu, datanglah, jadi mereka tahu apa yang saya lakukan di sini," seloroh Izzat.

TINGKATKAN DIRI SEBAGAI INDIVIDU, JURULATIH

Izzat yang sudah bekerja di BOUNCE Inc sejak perasmiannya dua tahun lalu, mengajar kelas gimnastik, BOUNCEFIT serta kegiatan fizikal di taman trampolin itu selain memastikan keselamatan pelanggan.

Malah, pelanggannya juga termasuk kanak-kanak yang menyertai Tramp Camp dan KinderGym.

"Seronok bekerja di sini dan perasaannya bukan macam pekerjaan luar yang pernah saya cuba. Banyak juga yang boleh saya manfaatkan, termasuk menggunakan kemudahan untuk meningkatkan lagi diri sebagai seorang individu dan seorang jurulatih.

"Bekerja di pejabat bukanlah untuk saya, tidak berapa sesuai dengan personaliti saya. Saya lebih selesa berada di luar dan melakukan sukan ekstrem," jelas Izzat kepada BERITAMediacorp.

CABARAN DAN KEPUASAN

Namun begitu, Izzat tidak menyangkal juga wujudnya cabaran bagi pekerjaan sebegini. Sebagai contoh, jika pelanggan tidak mengikut peraturan di taman trampolin tersebut dan mengawal orang ramai pada hujung minggu.

"Bagaimanapun, saya anggap cabaran-cabaran itu sebagai satu cara bagi saya meningkatkan diri lagi sebagai seorang individu," ujarnya.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

Malah, Izzat akur bahawa sebagai seorang jurulatih, beliau juga mempelajari daripada pelanggannya sendiri, tentang bagaimana untuk mendampingi setiap golongan dengan cara dan pendekatan yang berbeza.

"Selain itu, saya juga belajar membancuh kopi!" selorohnya, yang juga adakalanya bertugas di bahagian kaunter membuat air di Bounce Inc.

Yang jelas, di sebalik segala titik peluh jurulatih ini, Izzat turut akur pekerjaan ini amat memberi kepuasan kepada dirinya.

"Apabila pelanggan yang datang mencuba suatu cabaran itu dengan bersungguh-sungguh dan tidak berhasil, seronok jika mereka datang semula kerana mahu mencuba lagi dalam merempuh halangan itu.

"Tetapi yang lebih utama, adalah apabila mereka menghargai usaha yang saya berikan bagi kesemua kelas gimnastik yang saya adakan. Itu memberi kepuasan kepada saya," kongsinya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan