Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kereta pandu sendiri Apple dilanggar semasa diuji di jalan raya

Sebuah kereta pandu sendiri keluaran Apple yang diuji di jalan raya sebenar dilanggar dekat ibu pejabat syarikat itu di Silicon Valley bulan lalu (Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Kereta pandu sendiri Apple dilanggar semasa diuji di jalan raya

Logo syarikat Apple. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 01 Sep 2018 01:49PM Dikemas Kini : 01 Sep 2018 01:51PM

CALIFORNIA: Sebuah kereta pandu sendiri keluaran Apple yang diuji di jalan raya sebenar dilanggar dekat ibu pejabat syarikat itu di Silicon Valley bulan lalu (Ogos).

Demikian menurut syarikat itu dalam laporan kemalangan yang dimuat naik pada Jumaat (31 Ogos). Ia mengesahkan syarikat pengeluar telefon iPhone itu bakal menjadi pesaing utama dalam perlumbaan untuk menghasilkan kenderaan pandu sendiri.

Setakat ini, sudah 30 syarikat mendapat kebenaran daripada pemerintah California untuk membuat pandu uji sistem pemanduan automatik di Silicon Valley.

Kemalangan berlaku pada 24 Ogos sekitar 3.00 petang ketika kereta Lexus RX450h yang dipandu uji bagi sistem perisian yang dibangunkan Apple dilanggar sebuah kereta Nissan Leaf.

Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada orang cedera dalam nahas tersebut. Di bawah pelan keselamatan California, seorang pemandu keselamatan harus dapat mengambil alih kawalan kereta tanpa pemandu yang diuji.

Seorang jurucakap Apple mengesahkan syarikat itu sudah memfailkan laporan tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

Risiko keselamatan kereta pandu sendiri merupakan sumber keprihatinan utama penguasa pengangkutan di Amerika Syarikat. Berita nahas yang melibatkan sebuah kereta pandu sendiri yang dikendali Uber Technologies mengejutkan dunia automotif. Kenderaan yang dikatakan bergerak sekitar 64 km/j melanggar dan membunuh seorang wanita berusia 49 tahun ketika beliau berjalan kaki sambil menolak basikal menyeberangi jalan raya di Arizona.

Menurut Jabatan Kenderaan California, setakat 31 Ogos, pihaknya menerima 95 laporan pelanggaran melibatkan kenderaan tanpa pemandu. Meskipun, syarikat-syarikat mendapat permit untuk menguji kenderaan sedemikian di jalan raya, permit itu menetapkan kehadiran seorang pemandu keselamatan. 

Sumber : Reuters/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan