Images
  • samsung s9
    Adakah S10 akan berjaya mengatasi prestasi Samsung Galaxy S9 ini yang kini di pasaran? (Gambar: Endgadget/Getty Images)

Kemungkinan ciri baru Samsung Galaxy S10: 3 kamera dan pengesan cap jari dalam skrin?

ENDGADGET: Berita baik bagi peminat tegar telefon Android, khususnya peminat Samsung Galaxy. Telefon akan datang Galaxy S10 dijangka membawa pembaharuan lebih ketara daripada telefon sebelumnya, S9.

Lelaman Endgadget.com menukil agensi berita kewangan Korea The Bell, yang mendakwa bahawa telefon Galaxy S10 akan dilengkapi pengesan cap cari di dalam skrin.

Ciri yang terdapat pada Oppo Find X yang bakal dilancarkan dan Vivo X itu, bermakna anda tidak perlu menggerakkan jari untuk mencari-cari pengesan di belakang telefon untuk membukanya.

Tambah Endgadget, pengeluar telefon itu juga sedang "penimbangkan" untuk melengkapkan alat itu dengan pengesan wajah ala iPhone X. Ini bererti pengguna boleh membuka telefon dengan pelbagai cara biometrik yang canggih.

Selain itu, menurut laporan ETNews yang ditukil Endgadget, syarikat itu mungkin juga akan memperkenalkan bukan satu, bukan dua, tetapi tiga model S10 - setiap satu daripadanya dibezakan dengan keupayaan kamera berbeza-beza.

Model paling murah akan dilengkapi dengan satu kamera, dan model kedua pula dilengkapi dua kamera.

Yang paling menarik pula adalah versi S10 bersaiz 6.2 inci (mungkin S10 Plus) yang mempunyai tiga kamera di belakangnya, sama seperti telefon P20 Pro oleh syarikat Huawei.

Semuanya kedengaran seperti suatu rancangan yang berani, tetapi ia mungkin diterima akal memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 siri telefon Galaxy S.

Samsung pastinya menghadapi tekanan hebat untuk menampilkan siri produk terbaru yang melambangkan kecanggihan masa depan, dan bukan sekadar peningkatan tidak seberapa daripada apa yang sedia ada.

- Agensi berita/TQ/tq

Top