Images
  • kunyit 1
    Gambar hiasan

Kehebatan kunyit dalam kecantikan wajah dan kulit anda

BERITAmediacorp: Ia bukan saja dijadikan sebagai salah satu bahan dalam masakan. Tumbuhan ini mempunyai 1,001 khasiat untuk kecantikan luaran dan dalaman seseorang. Bukan satu penemuan yang baru, kunyit amat popular dan digunakan sebagai bahan penjagaan kulit sejak zaman nenek moyang kita dahulu, menggantikan safron yang harganya lebih mahal.

Tidak hairanlah jika saintis kecantikan di Barat giat meneroka pelbagai manfaat yang terdapat di dalamnya untuk dijadikan sebagai bahan alami yang terbaik untuk merawat pelbagai masalah kulit dan kecantikan.

Mengandungi pelbagai zat dan vitamin, kunyit diperkaya dengan Vitamin C selain bahan antiseptik yang dapat mencegah radang kulit akibat tumbuhan jerawat atau luka. Selain itu kunyit juga dapat memperbaiki kulit yang rosak akibat terdedah di bawah pancaran matahari.

Tidak kira sama ada mempunyai masalah kulit atau tidak, dengan kerap mengamalkan penggunaan bahan kunyit dalam rejim kecantikan, anda pasti akan dapat melihat perbezaannya. Yang pasti, kocek tidak berlubang kerana 6 rejim yang kami kongsikan ini berbaloi dan mudah disiapkan.

Yang paling menggembirakan, keberkesanannya amat ketara. Kulit bersih dan mulus!


Seorang wanita menyapu kunyit di wajahnya (Gambar: AFP)

6 KHASIAT KUNYIT UNTUK KULIT

1. Membasmi sel kulit mati
Kehadiran sel kulit mati di permukaan kulit akan membuat kulit tampil kusam serta tidak bermaya. Terdapat pelbagai cara untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati ini agar ia dapat memberi ruang untuk penumbuhan sel-sel yang baru.

Dengan menggunakan kunyit untuk proses eksfoliasi ia terbukti amat berkesan kerana tekstur dan kandungan kunyit dapat membantu dalam pengelupasan sel kulit mati. Ianya lembut dan menepati setiap jenis kulit tanpa menyebabkan iritasi. Tahukah anda, skrub yang mengandungi kunyit merupakan pilihan yang tepat untuk menghuraikan masalah sel kulit mati yang bertompok!

2. Selamat tinggal jerawat
Dalam cuaca yang tidak menentu ada kalanya kulit juga tidak dapat bernafas dengan baik. Bagi kulit yang sensitif dan mudah terdedah pada jerawat, anda bolehlah mencuba cara ini. Kunyit boleh menyingkirkan jerawat kerana ia mengandungi sejenis bahan yang digelar curcumin yang mengeluarkan warna kuning dan memiliki sifar antiseptik dan antibakteria.

Kedua-dua sifat ini dikatakan dapat menghapuskan bakteria dan kuman yang merupakan antara punca jerawat. Bertindak dengan hebat, curcumin juga dapat mengelakkan tumbuhan jerawat yang baru hendak berjinak-jinak di permukaan kulit.

3. Melembutkan kulit tumit
Tiada siapa yang inginkan kulit merekah di bawah tumit. Terutama wanita yang prihatin dengan penampilan dan sentiasa ingin tampil cantik dari hujung rambut ke hujung kaki. Bagi ramai kehadiran kulit kering dan merekah di bawah tumit merupakan satu masalah dan jika ia tidak ditangani, keadaan akan bertambah buruk.

Percaya atau tidak, kulit yang berkerak, kering dan keras boleh kembali lembut dengan menggunakan kunyit. Caranya, campurkan serbuk kunyit dengan minyak kelapa dan sapukan pada kulit yang merekah pada tumit kaki. Sapu rata agar ia dapat meresap pada kulit yang kasar. Biarkan ia serap anggaran 10-15 minit dan bilas dengan air, cuci bersih. Lakukan rejim ini seberapa kerap untuk dapatkan hasil yang mujarab!


Kaki seorang wanita dilumurkan serbuk kunyit (Gambar: AFP)

4. Atasi kulit berminyak
Habuk dan kotoran mudah hinggap dan terperangkap pada kulit yang berminyak. Ia akan menjemput bakteria untuk membiak dan lahirlah jerawat. Oleh itu, penting untuk mencuci dan membersihkan kulit dengan kerap. Tak boleh malas dan ambil lewa dengan setakat mencuci menggunakan air saja kerana ia tidak berkesan.

Sebaliknya, campurkan dengan kunyit jika inginkan proses mencuci muka menjadi lebih efektif. Kunyit mengandungi minyak mudah meruap (volatile) yang berfungsi sebagai antiradang dan mampu mencegah jerawat yang tidak diingini selain mengawal lebihan pengeluaran minyak dan sebum pori-pori kulit wajah.

5. Cegah pigmentasi
Diperkaya dengan bahan antioksida yang penting untuk kembalikan kulit yang normal. Kesan antiradang dan antipseptik yang hadir dalam kunyit ternyata dapat menghuraikan masalah pigmentasi dan sekaligus menyejukkan kulit yang sering terdedah pada pancaran matahari yang merbahaya.

6. Hapuskan kedutan
Ramai yang tidak inginkan kulit kedut sebelum tiba masanya! Untuk mengekalkan keanjalan dan seri pada wajah sememangnya tidak sukar. Kehadiran antioksidan dalam kunyit dapat memelihara kecantikan kulit wajah. Malah, kandungan nutrisi dalam kunyit juga didapati dapat melewatkan proses penuaan kulit dan menghapuskan kedutan selain merangsangkan kelembutan.

Caranya dengan membuat masker wajah dengan mencampurkan kunyit parut bersama parutan timun. Praktikan rejim ini sekali setiap dua minggu dan lihatlah keberkesanannya!

Nah! Itu dia enam petua yang mudah dan murah yang boleh anda cuba untuk mengekalkan dan mengembalikan kecantikan kulit anda. Selamat mencuba! 

- BERITAmediacorp/tq

Top